Perumahan, penjagaan, dan pendidikan prasekolah akan menjadi tiga bidang tumpuan kumpulan kerja antara agensi bagi menyokong pasangan berkahwin dan mendapatkan anak.

Demikian kata Pengerusi Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

Menurutnya, perubahan bakal dilakukan lebih awal bagi tiga bidang tersebut berbanding yang lain.

Cik Indranee menambah bahawa kumpulan kerja itu akan mengeluarkan hasil dapatan penuh mereka pada awal 2027, dan berkata, tiada sasaran khusus yang ditetapkan bagi kadar kesuburan serta garis masanya.

Namun, beliau berharap terdapat petunjuk kemajuan yang lebih luas.

Bercakap kepada wartawan di bangunan The Treasury pada 29 April, beliau berkata:

“Apa yang benar-benar baik adalah sekiranya kita mempunyai lebih banyak bayi berbanding tahun lepas (2025), dan jika angka Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) kita lebih baik dari tahun lepas.”

Penubuhan kumpulan itu merupakan antara usaha pemerintah bagi menangani isu berhubung TFR Singapura yang terus merosot ke paras terendah baru, dengan data awal menunjukkan kadar bagi 2025 ialah 0.87 – lebih rendah berbanding 0.97 pada 2024.

Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan itu akan meneliti faktor yang mempengaruhi perkahwinan dan keibubapaan di Singapura, seperti kos kewangan, sokongan kerja-kehidupan, penjagaan, perumahan, penjagaan kesihatan, prasekolah, dan pendidikan.

Selain Cik Indranee, kumpulan kerja itu terdiri daripada lapan Pemegang Jawatan Politik (POH) lain dari Kementerian Kesihatan (MOH), Pendidikan (MOE), Tenaga Manusia (MOM), dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan.

Cik Indranee menambah bahawa kejayaan usaha itu juga akan dicerminkan melalui lebih banyak peluang bagi golongan muda bertemu dan membina hubungan, serta bagi mereka yang masih mempertimbangkan untuk mempunyai anak, agar dapat melihat adanya sokongan dan kegembiraan dalam membina keluarga.

Tanda kemajuan lain termasuk pengurangan stigma terhadap rawatan kesuburan dan amalan tempat kerja yang lebih progresif bagi menyokong keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan berkeluarga secara lebih baik.

Mereka juga akan menumpukan pada tiga bidang, termasuk membangunkan hala tuju jangka panjang untuk menetapkan semula persepsi masyarakat dan sokongan terhadap perkahwinan serta keibubapaan.

Ia juga akan mencadangkan langkah dasar bagi menangani kebimbangan utama dan membolehkan peralihan itu berlaku, serta menggembleng masyarakat untuk menyokong rakyat Singapura dalam perjalanan berkeluarga mereka.

Cik Indranee menyatakan bahawa kumpulan kerja itu akan mendekati tugasnya melalui dua cara utama.

Pertama, ia akan menumpukan kepada peranan pemerintah, termasuk menyemak semula dasar-dasarnya untuk menyokong keluarga dengan lebih baik dalam aspek seperti kos membesarkan anak dan akses kepada perumahan mampu milik.

Ia juga akan meneliti apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat secara keseluruhan untuk menyumbang kepada isu nasional itu.

“Kami akan mengadakan sesi untuk berdamping secara meluas bagi mendapatkan idea serta maklum balas dan mendapatkan komitmen daripada pihak-pihak berkepentingan,” kata Cik Indranee.

“Saya meminta semua rakyat Singapura agar menjadi sebahagian daripada usaha ini dan membantu mengubah trajektori TFR kita melalui kuasa usaha bersama kita,” tambah beliau.

Kumpulan kerja itu, yang telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada Mac, ditubuhkan ketika Singapura mencatat TFR terendah setakat ini, iaitu pada paras 0.87 pada 2025, merosot daripada 0.97 pada tahun sebelumnya.

Cik Indranee berkata jika trajektori tersebut berterusan, ia akan membawa “akibat yang mendalam dan serius” bagi Singapura.

Beliau menambah:

“Ini adalah isu kewujudan bagi kita dan kita mesti menanganinya sebelum ia menjadi sesuatu yang tidak boleh diubah lagi.

“Memandangkan kepentingan isu ini, ia tidak boleh lagi dikendalikan seperti biasa. Kita memerlukan satu ‘reset’ (tetapan semula) bagi perkahwinan dan keibubapaan.”

Kumpulan kerja itu disokong oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), dan akan mengadakan sesi pendampingan secara meluas bagi mengumpul idea serta maklum balas mengenai dasar-dasar.

Ia juga akan mendapatkan komitmen daripada pihak berkepentingan termasuk majikan, perniagaan, organisasi masyarakat, dan setiap individu rakyat Singapura.

Mengulas mengenai aspek kesihatan, Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, yang juga merupakan anggota kumpulan kerja itu berkata:

“Memandangkan pasangan berkahwin dan memulakan keluarga pada usia yang lebih lewat, cabaran kesuburan menjadi semakin lazim.

“Kami memahami bahawa keputusan untuk mendapatkan bantuan kesuburan adalah sesuatu yang sangat peribadi dan prosesnya boleh menjadi sukar.

“Kementarian Kesihatan (MOH) akan bekerjasama dengan rakan kongsi penjagaan kesihatan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan kesuburan, serta memperkukuh sokongan bagi pasangan di setiap peringkat perjalanan kesuburan dan keibubapaan mereka.”

Pengerusi Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah (berdiri di hadapan tengah) bersama anggota yang lain. Ia terdiri daripada (bermula dari kiri, barisan belakang) Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Bermula dari kiri, barisan hadapan) Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang; Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan; dan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash.
Pengerusi Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah (berdiri di hadapan tengah) bersama anggota yang lain. Ia terdiri daripada (bermula dari kiri, barisan belakang) Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Bermula dari kiri, barisan hadapan) Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang; Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan; dan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI

Anggota Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan

Pengerusi:

- Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah

Anggota:

- Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling

- Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam

- Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash

- Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau.

- Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming

- Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim

- Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang

- Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan