Topic followed successfully
Go to BHkuBazar Geylang tapak sesuai terap usaha kitar semula sisa makanan
Bazar Geylang tapak sesuai terap usaha kitar semula sisa makanan
Langkah sedia ada bagi pengkomposan di bazar, namun masa terhad hambat pelaksanaan
Bazar Geylang tapak sesuai terap usaha kitar semula sisa makanan
Bazar Raya Geylang Serai, yang melabuhkan tirai pada 21 Mac setelah beroperasi sejak 14 Februari, merupakan tapak sesuai bagi menerapkan model pengurusan pengkomposan sisa makanan, iaitu proses mengumpul dan menjadikan sisa makanan menjadi baja organik.
Ini setelah syarikat penyelesaian makanan mampan, Rejuvrth, mendapati bazar itu telah meletakkan beberapa langkah sedia ada yang menepati kesesuaian model tersebut.
Hasil penyelidikan asas syarikat itu mendapati sesetengah pengendali makanan di bazar tersebut telah mula menggunakan sudu garpu dan bungkusan yang mudah kompos apabila dibuang.
Terdapat banyak tempat pembuangan sisa di sekitar bazar, sekali gus memudahkan pengunjung dan pengendali makanan membuang sisa makanan, kata pengasas syarikat itu, Cik Tripti Bhadauriya.
Kedua-dua faktor itu, katanya, antara kunci utama dalam pengkomposan sisa makanan, demi memacu usaha kemampanan bazar dengan mengitar semula sisa makanan untuk kegunaan lain.
Cik Tripti berkongsi demikian ketika dihubungi Berita Harian (BH), setelah syarikatnya mengadakan perbincangan awal bersama penganjur bazar, Wisma Geylang Serai (WGS), sekitar Januari untuk meneroka pelaksanaan model itu.
Beliau berkata: “Kami meninjau cara sisa makanan dikumpul dan diasingkan (di bazar Geylang). Dari segi konsep, ia amat wajar dan sesuai.”
Usulan terhadap pelaksanaan model itu tidak dapat direalisasikan untuk bazar Geylang 2026 disebabkan masa yang terhad, katanya.
Meskipun begitu, beliau melahirkan hasrat untuk terlibat sama dalam bazar berskala besar seperti bazar Geylang, sebagai salah satu usaha melestarikan amalan kemampanan.
Menjawab pertanyaan BH, WGS dalam satu kenyataan, berkata pihaknya dan Rejuvrth telah mengadakan perbincangan untuk meneroka pelaksanaan model pengurusan sisa makanan bagi edisi bazar kali ini.
WGS menambah walaupun cadangan itu telah diambil kira dan amat dihargai, tempoh masa yang singkat menjelang pembukaan bazar itu bermakna pihaknya tiada masa yang cukup bagi menilai dan melaksanakan model tersebut.
Namun, WGS berkata ia kekal terbuka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi atau penyedia termasuk Rejuvrth, dalam usaha kemampanan serupa bagi edisi bazar akan datang.
“Bagi acara berskala besar seperti bazar, sebarang inisiatif baharu perlu dinilai dengan teliti berdasarkan kebolehlaksanaan operasi, sumber yang ada dan kesan keseluruhan.
“WGS akan terus menilai idea dan kerjasama yang dapat memperkukuhkan usaha kemampanan sambil memastikan acara tersebut diurus dengan baik dan bermanfaat untuk penduduk dan pengunjung,” jelas kenyataan itu.
Cik Tripti berkata pengkomposan sisa makanan tidak memerlukan belanja besar kerana jika dilakukan secara persendirian, ia hanya memerlukan dua baldi dan dedak, dengan perbelanjaan bulanan dijangka tidak melebihi $90.
Dedak iaitu bahan sampingan daripada pemprosesan bijirin, bertindak sebagai kultur pemula untuk menapai sisa makanan di dalam baldi bebas oksigen, sekali gus mempercepat penguraian dan mencegah bau busuk.
Bergantung pada jenis sisa makanan, ia mengambil masa empat hingga enam minggu untuk diurai sepenuhnya, ujarnya.
Apa yang berbeza bagi projek berskala besar, kata beliau, adalah dari segi logistik kerana lebih banyak dedak perlu digunakan, di samping kos menyewa atau membeli tong besar khas dipanggil ‘aerobin’.
Tong tersebut direka untuk pengkomposan secara cepat, tidak berbau dan tidak memerlukan penyelenggaraan tinggi.
Tambahan juga, semua pengendali makanan perlu menggunakan sudu garpu dan bungkusan mudah kompos, manakala pengasingan sisa makanan dan sisa umum perlu dikuatkuasakan di tempat pembuangan sisa, jelasnya.
Cik Tripti berkata: “Cabaran dalam pelaksanaan model ini (pada skala besar) adalah dari segi logistik, pengangkutan dan kesedaran awam, kerana perkara utama dalam model ini adalah pengasingan sisa makanan (daripada sisa-sisa lain).”
Usaha mengitar semula makanan, sama ada dalam skala kecil atau besar, ini dilakukan sedang sisa makanan yang dihasilkan Singapura meningkat saban tahun.
Daripada jumlah itu, sebahagian kecil sahaja yang dikitar semula untuk dimanfaatkan bagi kegunaan lain.
Acara berskala besar seperti bazar pula lebih cenderung menghasilkan jumlah sisa makanan yang lebih tinggi.
Menukil laman rasmi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sekitar 784,000 tan makanan dijana pada 2024, naik daripada 755,000 tan pada 2023.
Daripada jumlah itu, sekitar 18 peratus sahaja yang dikitar semula.

