SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Projek Pelita Hati beri sokongan emosi kepada keluarga banduan

Projek Pelita Hati beri sokongan emosi kepada keluarga banduan

Mar 14, 2026 | 10:11 PM

Projek Pelita Hati beri sokongan emosi kepada keluarga banduan

bantu keluarga banduan, Projek Pelita Hati 2026, Kamal Arts Studio, Wisma Geylang Serai, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, Bob Mubarak
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (berdiri, tengah), bersama Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), Cik Haslinda Putri Harun (kiri), dan pencipta kandungan gaya hidup, Bob Mubarak Mohd Nasir, menyaksikan Cik Siti (bawah, kiri) menggubah bunga bersama anak-anaknya semasa acara Projek Pelita Hati 2026 di Kamal Arts Studio di Wisma Geylang Serai pada 14 Mac. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ramadan dan Syawal 2026 disambut dalam suasana lebih suram buat Cik Siti (bukan nama sebenar) selepas suaminya kembali menjalani hukuman penjara akibat kesalahan dadah pada Oktober 2025.

Ini meninggalkan kesan mendalam kepada suri rumah berusia 41 tahun itu yang kini terpaksa menggalas tanggungjawab selaku ‘ketua keluarga’, termasuk menjaga anak bongsunya yang mengalami autisme dan masalah jantung.

Meskipun kecewa dengan sikap suaminya, beliau tetap menaruh harapan untuk menyambut Hari Raya bersama suami dan empat anaknya, yang berusia tujuh hingga 21 tahun, pada suatu hari nanti.

“Saya sangat sedih dan kecewa kerana saya tak nampak sebarang tanda dia akan kembali ke jalan gelap itu,” luah Cik Siti kepada Berita Harian (BH).

Beliau merupakan antara sembilan keluarga yang menyertai daya usaha Projek Pelita Hati anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada 14 Mac di Kamal Arts Studio, Wisma Geylang Serai.

Inisiatif itu – yang diadakan sejak 2019 – bermatlamat menyuntik keceriaan dan menghulurkan sokongan emosi kepada anak-anak banduan.

Program 2026 kali ini bertema, ‘Mekar Harapan’, dan HGEF telah mengadakan bengkel gubahan bunga yang dikendalikan oleh pencipta kandungan gaya hidup rumah, Bob Mubarak Mohd Nasir.

Anak-anak turut menerima kad Hari Raya yang ditulis khas oleh bapa mereka yang sedang menjalani hukuman penjara.

Program itu diusahakan dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan kempen Dadah Itu Haram di bawah naungan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir sebagai tetamu kehormat, menyifatkan inisiatif kreatif itu penting dalam membangkitkan semangat keluarga.

“Aktiviti seperti hari ini memberikan satu idea kepada mereka bahawa ada kegiatan lain yang boleh dilaksanakan untuk menceriakan kehidupan,” ujar Dr Faishal kepada BH.

Beliau menambah, kiriman kad Hari Raya oleh banduan kepada anak-anak mereka juga dapat menyatukan kembali hubungan yang terjejas akibat perpisahan fizikal.

Dr Faishal memuji usaha berterusan HGEF dalam memastikan keluarga banduan dapat rasakan ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka.

Cik Siti dan anak-anak turut mengalu-alukan peluang membaca kad Hari Raya daripada suaminya itu.

“Kami telah membaca kad tersebut dan kami terharu.

“Saya harap suami saya akan menepati kata-katanya dan tekad berubah menjadi lebih baik demi anak-anaknya dan kita dapat beraya bersama nanti,” tambah Cik Siti.

Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, berharap acara itu dapat memberikan harapan bagi keluarga, terutama kanak-kanak yang terlibat.

“Aktiviti seperti gubahan bunga ini melengkapkan suasana itu, memberi ruang yang tenang supaya mereka dapat menghargai detik bersama keluarga dan rasakan bahawa mereka tidak bersendirian,” ujar Cik Haslinda.

“Bagi HGEF, membantu keluarga pesalah bukan hanya tentang bantuan kewangan, malah tentang menjaga kesejahteraan emosi anak-anak supaya mereka tidak hilang keyakinan terhadap masa depan.

“Kami berharap melalui program seperti Mekar Harapan, anak-anak dapat rasakan sokongan daripada keluarga dan juga daripada masyarakat, supaya mereka terus menaruh harapan demi masa depan yang lebih baik,” tambah Cik Haslinda.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg