Topik diikuti
Pergi ke BHkuBagi pemandu Gen Z di Singapura, kereta elektrik bukan sekadar pengangkutan, tetapi lambang teknologi
Bagi pemandu Gen Z di Singapura, kereta elektrik bukan sekadar pengangkutan, tetapi lambang teknologi
Tinjauan menunjukkan bahawa pemilik kereta Gen Z paling terbuka menerima kenderaan elektrik, dengan alasan kebolehpercayaan dan kepraktisan
Bagi pemandu Gen Z di Singapura, kereta elektrik bukan sekadar pengangkutan, tetapi lambang teknologi
Encik Kennedy Yong menghargai hakikat bahawa beliau tidak perlu lagi kembali ke sebuah kereta yang terlalu panas – walaupun selepas ia berada di tempat meletak kereta yang terdedah pada terik matahari selama berjam-jam.
Kini, setiap kali beliau bersedia untuk beredar, ejen hartanah berusia 28 tahun itu hanya perlu menghidupkan fungsi sistem penyejukan menerusi telefonnya. Sejurus beliau tiba di tempat meletak kereta, kereta elektriknya (EV) sudah dingin.
Ia merupakan salah satu ciri yang mendorong Encik Yong, yang memandu kereta BYD Sealion 7, untuk menukar kepada sebuah kenderaan elektrik (EV) enam bulan lalu. Beliau, sebelum ini, memandu sebuah kereta petrol terpakai selama tiga tahun.
Encik Yong tertarik kepada ciri-ciri teknologi yang terdapat di sebuah EV – fungsi-fungsi yang tidak wujud di kereta petrol, katanya.
Pengalamannya mencerminkan perubahan yang lebih luas dalam kalangan pemandu lebih muda yang muncul sebagai penyokong tegar EV – tertarik kepada gabungan kemudahan, teknologi dan kemampanan.
Dalam satu tinjauan Februari 2026 di kalangan 1,055 pemilik kereta petrol, hibrid dan elektrik, 77 peratus pemandu Gen Z (berusia antara 18 dan 29 tahun) berasa bahawa teknologi EV boleh dipercayai manakala 76 peratus daripada mereka berkata bahawa EV praktikal untuk penggunaan harian – paling tertinggi di kalangan semua peringkat umur.
Lapan puluh lima peratus daripada mereka percaya bahawa EV boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Tinjauan itu ditugaskan oleh SPH Media dan BYD. Responden diperoleh daripada Rangkaian Khalayak Profil Kantar. Kantar merupakan sebuah syarikat penyelidikan pasaran berdikari.
Lebih memudahkan
Perubahan paling ketara ialah bagaimana teknologi EV dapat disesuaikan kepada rutin harian Encik Yong. Selain menyejukkan kereta terlebih dahulu, aplikasi BYD juga membolehkan beliau mengawal kebanyakan fungsi aksesori dalaman dari jauh, dan memantau tahap bateri dan status pengecasan dalam masa nyata.
Beliau kerap membawa isteri dan ibu bapanya menaiki EV, mencatatkan jarak sekitar 2,000 kilometer dalam sebulan dan mengecas keretanya setiap tiga hingga empat hari dengan menggunakan pengecas awam.
Aplikasi tersebut membolehkan beliau memantau berapa lama beliau memerlukan untuk mengecas keretanya, aspek kesihatan kenderaannya seperti tekanan tayar atau sistem stereng. Beliau juga boleh memeriksa jika pintunya dikunci dengan selamat.
Pengalaman berteknologi itu memerlukan sedikit penyesuaian. “Semasa minggu pertama saya memandu EV, saya membawa kunci kereta bersama saya,” kata Encik Yong. “Kemudian, saya perlahan-lahan menyedari ia hanya barang tambahan yang saya bawa di dalam kocek saya, dan apabila saya sudah biasa menggunakan (telefon), ia sangat memudahkan.”
Dengan cukai pendahuluan kereta yang tinggi di Singapura, kemampuan kekal menjadi pertimbangan besar buat pemilik kereta Gen Z, kata pengurus besar platform automatif Sgcarmart, Encik Julian Kho. Tetapi, beliau telah menyaksikan peningkatan yang jelas dalam penggunaan EV sejak sekitar 2022 di kalangan pembeli lebih muda, terutamanya apabila EV beralih daripada kategori “niche ke normal”.
EV menyumbang sebanyak 62.4 peratus daripada 27,144 kereta baru yang berdaftar dalam enam bulan pertama 2026, menurut data Penguasa Pengangkutan Darat. 2026 menandakan tahun pertama EV mengambil alih kenderaan petrol dan hibrid dalam pendaftaran kereta baru di Singapura.
Pendaftaran bagi kenderaan petrol sahaja yang baharu akan tamat pada 2030, supaya ia sejajar dengan matlamat Singapura bagi kenderaan lebih bersih sahaja menjelang 2040.
Encik Kho berkata: “Pemandu lebih muda selalu menilai kenderaan seperti alat elektronik pengguna. Mereka melihat ‘interface’ pengguna, keterhubungan, fungsi aplikasi, kunci digital - ciri-ciri ini lebih bernilai dari ciri psikologi atau status sosial (badge value) yang ada.’’
Ia merupakan corak yang turut diperhatikan pengeluar EV China, BYD, dalam pasaran Singapura.
“Kami melihat minat yang semakin meningkat di kalangan pengguna lebih muda, khususnya milenial dan profesional lebih muda, kerana mereka cenderung lebih terbuka kepada teknologi baru dan lebih biasa dengan elektrifikasi,” kata pengarah pengurusan BYD Singapura, Encik James Ng.
BYD adalah jenama kereta terlaris di Singapura, menyumbang sekitar satu daripada empat daripada 27,144 kereta baru yang berdaftar dalam enam bulan pertama 2026.
Pemandu di bawah umur 35 tahun membentuk kira-kira 10 peratus daripada pangkalan pelanggan Singapura, walaupun Encik Ng berkata bahawa harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kekal sebagai penghalang utama kepada pemilikan kereta bagi ramai warga Singapura lebih muda.
Pencipta kandungan, Cik Silvy Wang, yang beralih kepada pemanduan EV pada 2023, juga tertarik kepada ciri-ciri yang didayakan teknologi tersebut. Bagi Cik Wang dan suaminya, 27 tahun, menggunakan aplikasi untuk mengurus kereta mereka terasa semula jadi.
“Saya suka dapat memantau perkara seperti julat bateri dan mengecas menerusi aplikasi,” katanya. “Ia juga menjadikan semuanya lebih lancar dan mudah.”
“Ia sangat mudah untuk mengesan pengecas, menjejaki pengecasan anda dan membuat bayaran, semuanya di satu tempat,” katanya lagi.
Kurang pelepasan, satu bonus
Melampaui teknologi, hasil tinjauan menunjukkan bahawa kemampanan juga merupakan sebahagian daripada dorongan untuk memiliki EV – walaupun ia mungkin bukan titik permulaan.
Cik Wang, yang melahirkan anak perempuannya pada Mac, berkata beliau memilih pilihan lebih bersih dan cekap tenaga jika beliau boleh.
“Saya rasa, menjadi seorang ibu telah membuat saya lebih sedar tentang persekitaran di mana anak saya akan membesar, maka hal-hal kemampanan menjadi lebih penting buat saya berbanding dahulu,” katanya.
Namun, kepraktisan masih menjadi keutamaan. Sebuah EV lebih memudahkan daripada sebuah kereta petrol bagi Cik Wang, memandangkan beliau tinggal di sebuah rumah berhalaman dan mempunyai pengecas peribadi.
Harga, kemudahan dan masa sentiasa menjadi keutamaan tertinggi bagi Gen Z dalam pemilihan pengangkutan, kata pakar ekonomi alam sekitar, Encik Alberto Salvo, yang menjalankan projek pada 2024 yang meninjau tentang cara perjalanan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS).
“Saya tidak fikir orang ramai suka mencipta pencemaran atau pelepasan,” kata Encik Salvo, yang juga profesor bersekutu dan pengerusi dekan di jabatan ekonomi di NUS. “Mereka lebih suka persekitaran yang lebih bersih,” katanya lagi, tetapi kemampanan jarang menjadi pemacu utama.
Encik Kho bersetuju: “Pembeli lebih muda prihatin (tentang kemampanan), tetapi di pasaran Singapura, kemampanan menjadi pengukuh dan bukan pencetus pembelian utama.”
“Apabila faktor kos dan teknologi sudah kukuh, kemampanan menjadi faktor “rasa baik” yang menjamin pembelian,” beliau menambah.
BYD melihat tumpuan yang lebih besar terhadap aspek kepraktisan, bukan sahaja dalam kalangan Gen Z, tetapi secara meluas merentasi semua peringkat umur, kata Encik Ng. Ia antara sebab mengapa pengeluar EV itu memperkenalkan model hibrid pemalam (plug-in hybrid) di Singapura pada tahun lalu, sebagai alternatif bagi pemandu yang inginkan penggunaan bahan api dan pelepasan yang lebih rendah berbanding kereta petrol konvensional.
Tidak seperti kereta hibrid konvensional, model plug-in hybrid menggunakan sistem “pintar mod dwi iaitu dual mode intelligent” (DM-i) yang mengutamakan pemanduan elektrik dan bukannya, enjin petrol,” kongsi Encik Ng.
Kereta plug-in hybrid BYD menawarkan jarak perjalanan EV sehingga 80 kilometer, yang menurut Encik Ng, mencukupi untuk penggunaan harian di Singapura. Apabila tahap bateri rendah, enjin pembakaran dalaman akan membantu mengecas semula kereta supaya ia boleh bergerak lebih jauh.
Bagi Cik Wang, kemampanan dan kepraktisan tidak bercanggah, tetapi ia mempunyai susunan yang lebih jelas. Dan kededua EV sesuai bagi golongan pemandu lebih muda yang semakin meningkat sepertinya.
“Bagi saya, ia bukan soal membuat pilihan “kemampanan sempurna”, tetapi lebih tentang membuat pilihan yang lebih sesuai untuk gaya hidup saya, di samping membuat pilihan yang lebih baik setakat yang saya mampu.” katanya.
In Perspective merupakan program kandungan yang dipacu penyelidikan oleh SPH Media yang menggabungkan penceritaan berasaskan cerapan dengan perspektif pakar tentang isu-isu utama yang membentuk masyarakat.