SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Badan silang agama mahu sebar mesej keharmonian dalam kejiranan

Badan silang agama mahu sebar mesej keharmonian dalam kejiranan

IRO anjur Karnival Keharmonian di Our Tampines Hub 11-12 April
Apr 9, 2026 | 2:08 PM

Badan silang agama mahu sebar mesej keharmonian dalam kejiranan

Karnival Keharmonian Hari IRO, anjuran Pertubuhan Antara Agama (IRO), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Persatuan Rakyat (PA), 11 dan 12 April di Our Tampines Hub
Karnival Keharmonian Hari IRO, anjuran Pertubuhan Antara Agama (IRO) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Persatuan Rakyat (PA), akan berlangsung pada 11 dan 12 April di Our Tampines Hub (OTH). - Foto fail

Buat julung-julung kali dalam sejarah 77 tahun, Pertubuhan Antara Agama (IRO) akan membawa mesej keamanan dan keharmonian secara langsung ke kawasan kejiranan.

Ini dilakukan menerusi Karnival Keharmonian Hari IRO selama dua hari di Our Tampines Hub (OTH) pada 11 dan 12 April.

IRO, yang selama ini dikenali dengan dialog peringkat tinggi antara pemimpin agama serta kerjasama dengan pemerintah, kini mengorak langkah baru dengan melibatkan diri secara lebih dekat di peringkat akar umbi.

Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, dijadual hadir selaku tetamu terhormat.

Berkongsi pandangan kepada Berita Harian (BH) melalui Microsoft Teams pada 8 April, Presiden IRO, Encik K. Elango, menegaskan bahawa langkah itu timbul disebabkan keperluan mendesak untuk menjadikan pemahaman antara agama lebih jelas dan mudah didekati oleh masyarakat.

Ini amat penting memandangkan jumlah pengunjung yang tinggi ke OTH setiap hari, yang beliau sifatkan sebagai “lokasi strategik” yang ideal.

“Selama ini, tumpuan kami adalah pada dialog dan kerjasama untuk merapatkan jurang kepercayaan dan persefahaman antara pelbagai agama di Singapura.

“Usaha ini sebahagian besarnya kekal di peringkat nasional, dan kini kami rasa tiba masanya untuk membawa mesej ini ke dalam kawasan kejiranan.

“Justeru, kami ingin mencuba pendekatan ini agar golongan muda dapat hadir dan menyelami dengan lebih dekat erti keharmonian kaum dan agama di Singapura,” jelas beliau.

Encik Elango menambah, penganjuran karnival itu tidak terkait dengan krisis Timur Tengah, terutama ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Dianjurkan bersama IRO, dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Persatuan Rakyat (PA), karnival itu direka sebagai pengembaraan interaktif merentasi lima zon bertema.

Setiap zon menyajikan cara berbeza untuk meneroka kekayaan landskap pelbagai agama di Singapura.

Antaranya, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran digital, mengambil bahagian dalam kuiz, serta merenung soalan yang dirangka untuk mencabar tanggapan salah tentang agama. Terdapat juga pameran artifak keagamaan – merangkumi kitab suci dan simbol daripada 10 agama – yang membuka ruang bagi orang ramai memahami tradisi yang mungkin jarang ditemui dalam kehidupan harian mereka.

Ketua Penyelaras Sayap Belia IRO, Encik Shukul Raaj Kumar, menyatakan, pendekatan karnival itu bertujuan melibatkan belia secara bermakna, termasuk mereka yang mungkin tidak mengaitkan diri dengan mana-mana agama.

“Inti pati usaha kami adalah untuk menyemai rasa ingin tahu dalam kalangan belia dan membolehkan mereka melihat bagaimana proses penerokaan kendiri terhadap kepercayaan, kerohanian, dan identiti mereka boleh muncul melalui perbualan yang kami permudahkan.

“Kami mahu belia dan orang ramai menghargai pelbagai perspektif dan identiti yang wujud secara harmoni dalam masyarakat kita... dan akhirnya menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk menjalin persahabatan sejati sesama sendiri,” jelasnya.

Karnival ini juga menawarkan sesi bengkel dan dialog yang menggalakkan pengunjung berbincang mengenai keadaan kehidupan sebenar dalam suasana selamat berpandukan pemudah cara.

Ia termasuk cara menangani salah faham antara jiran daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Mengulas lanjut, Encik Raaj berkata pemudah cara belia yang terlibat telah dilatih dan berpengalaman dalam mengendalikan perbincangan sedemikian.

“Pada dasarnya, kami ingin membolehkan peserta meneroka pelbagai senario penglibatan antara agama mungkin muncul, tetapi kerap tidak disedari.

“Kami mahu menarik perhatian mereka kepada beberapa aspek ini.

“Dari situ, peserta diberi peluang meneroka senario berbeza dan berbincang mengenai perasaan mereka serta cara mereka dapat menyatakan pandangan masing-masing,” ujarnya.

Encik Elango berharap pengalaman daripada acara sulung itu dapat menjadi panduan bagi penganjuran di kawasan lain di Singapura pada masa hadapan.

“Ini adalah proses pembelajaran bagi kami. Dengan meninjau kejayaan atau pengajaran daripada pengalaman ini, kami boleh menganjurkan acara serupa di kawasan lain di Singapura.

“Inilah usaha yang ingin kami jayakan. Kami mahu menunjukkan bahawa tujuan agama dan nilai adalah tentang kasih sayang, belas kasihan, kepercayaan, dan persahabatan,” ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg