Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angkatan Tentera S’pura, Brunei lancar logo bagi peringati hubungan pertahanan 50 tahun

Jan 13, 2026 | 8:53 PM
Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng (dua dari kanan) bersama Panglima Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Mejar Jeneral (MG) Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi Bol Hassan (kiri), Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, MG (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi Haji Mohd Yussof (dua dari kiri), serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei, Encik Mr Laurence Bay Siow Hon (kanan) memotong kek bagi memperingati hubungan 50 tahun pertahanan antara Singapura dan Brunei Darussalam.
Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng (dua dari kanan) bersama Panglima Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Mejar Jeneral (MG) Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi Bol Hassan (kiri), Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, MG (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi Haji Mohd Yussof (dua dari kiri), serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei, Encik Mr Laurence Bay Siow Hon (kanan) memotong kek bagi memperingati hubungan 50 tahun pertahanan antara Singapura dan Brunei Darussalam. - Foto MINDEF

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RBAF) telah melancarkan Logo SG-BRU 50 pada 12 Januari bagi memperingati hubungan 50 tahun pertahanan antara kededua negara.

Kementerian Pertahanan (Mindef), dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Januari, berkata logo tersebut melambangkan hubungan erat yang dibina atas pengiktirafan bersama, kepercayaan, dan kesetiaan antara Singapura dengan Brunei Darussalam.

Logo tersebut, tambahnya, akan dipakai oleh anggota SAF dan RBAF semasa interaksi dua hala antara kededua tentera itu sepanjang tahun.

Logo tersebut telah dilancarkan bersama oleh Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng bersama-sama Panglima RBAF Mejar Jeneral (MG) Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi Bol Hassan.

VADM Beng berada di Brunei Darussalam pada 12 Januari untuk menghos majlis jamuan makan malam peringatan yang melibatkan pemimpin pertahanan semasa dan dahulu dari Brunei Darussalam.

Berucap pada majlis jamuan makan malam tersebut, VADM Beng menekankan hubungan pertahanan dua hala yang kukuh dan lama terjalin antara Singapura dengan Brunei Darussalam yang telah membolehkan kededua negara bekerjasama dengan baik selama 50 tahun.

“Saya yakin Brunei Darussalam dan Singapura bukan sahaja akan memelihara apa yang telah kita bina sejak 50 tahun yang lalu.

“Malah, akan terus memperdalam perkongsian kita, menyesuaikan diri dengan cabaran baru, dan menyumbang secara bermakna kepada keamanan dan kestabilan di rantau kita untuk beberapa dekad akan datang,” kata VADM Beng.

Turut hadir pada majlis makan malam tersebut ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja MG (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi Haji Mohd Yussof yang hadir sebagai Tetamu Kehormat.

2026 menandakan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan antara Singapura dengan Brunei Darussalam.

Menurut Mindef, Singapura dan Brunei Darussalam telah memperdalam hubungan dua hala selama ini, dengan interaksi antara SAF dengan RBAF juga semakin berkembang dari segi skop dan kerumitan.

Kededua angkatan tentera juga berinteraksi secara berkala melalui latihan dua hala lain seperti Latihan Pelican dan Latihan Airguard, serta lawatan berkala, kehadiran silang kursus, dan pertukaran profesional.

Mindef menambah Tentera Darat Singapura dan Tentera Darat Diraja Brunei (RBLF) akan menjalankan edisi ke-28 Latihan Maju Bersama pada bulan ini.

Latihan tersebut akan melibatkan peserta dari Ibu Pejabat, Briged Infantri ke-2 Singapura (HQ 2 SIB), Batalion Pertama, Rejimen Infantri Singapura (1 SIR) dan Batalion Pertama RBLF.

Kededua negara juga akan menjalankan edisi ke-25 Latihan Rintis Bersama yang melibatkan peserta dari Jurutera Tempur Singapura dan Rejimen Jurutera RBLF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg