Topik diikuti
Pergi ke BHkuAbang cabul, rogol adik tujuh tahun dihukum penjara 18 tahun, 24 sebatan
Abang cabul, rogol adik tujuh tahun dihukum penjara 18 tahun, 24 sebatan
Abang cabul, rogol adik tujuh tahun dihukum penjara 18 tahun, 24 sebatan
Dia berusia 12 atau 13 tahun ketika mula mencabul adiknya yang ketika itu baru berumur lima atau enam tahun.
Pencabulan itu akhirnya meningkat menjadi rogol sehingga mangsa berumur 12 tahun.
Pada 18 Mei, pelaku yang kini 26 tahun, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 24 sebatan rotan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan rogol dan dua pertuduhan serangan seksual yang serius.
Lapan tuduhan lain – daripada pencabulan kepada rogol – telah diambil kira semasa hukuman.
Pelaku mengakui penderaan seksual itu berlaku antara 2012 dengan 2019, tempoh ketika mangsa berusia antara lima dengan 12 tahun, manakala pelaku berumur 12 hingga 19 tahun.
Hakim Mahkamah Tinggi Mavis Chionh, mengambil kira tempoh tujuh tahun kesalahan itu berlanjutan.
Hakim Chionh menegaskan, penderaan berpanjangan itu menyebabkan trauma psikologi parah, hingga mangsa mencederakan diri dengan mengelar pergelangan tangannya.
Mahkamah diberitahu bahawa pelaku dan mangsa tinggal bersama ibu bapa mereka serta dua adik-beradik yang lebih tua di sebuah flat satu bilik.
Kejadian berlaku ketika tiada orang lain di rumah atau semasa ahli keluarga lain sedang tidur.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Adelle Tai memberitahu mahkamah bahawa kejadian rogol pertama berlaku ketika mangsa berusia enam hingga tujuh tahun dan pelaku berusia 13 hingga 14 tahun.
Dalam kejadian itu, kedua-dua beradik tersebut berada di rumah bersendirian apabila dia memaksa mangsa melakukan perbuatan seks ke atasnya.
Pada satu lagi kejadian antara 2017 dengan 2018, pelaku memanggil mangsa ke bilik tidur dan dia menurutnya.
DPP Tai berkata mangsa, yang ketika itu berusia antara sembilan dengan 11 tahun, memahami bahawa dia perlu melakukan aktiviti seksual dengan pelaku dan kemudian menanggalkan pakaiannya sebelum serangan berlaku.
Pada satu lagi kejadian pada 2018, pelaku memberitahu mangsa untuk pergi ke tandas dengannya sementara seluruh keluarga sedang tidur.
Dia menyuruhnya melakukan perbuatan seks terhadapnya di tandas, tetapi mereka berhenti dan berpakaian semula apabila terdengar bunyi dari ruang tamu.
Pada 2019, selepas merogol mangsa, yang telah berusia 12 tahun, pelaku memberitahunya dia sudah terlalu tua untuk terus melakukan perbuatan seperti itu kepada mangsa.
Pada 22 Mac 2022, mangsa memberitahu kaunselor sekolah yang dia telah dianiaya secara seksual oleh abangnya.
Kaunselor melaporkan perkara itu kepada polis, dan pelakunya ditangkap pada 24 Mac tahun itu.
DPP Tai berkata mangsa tidak memberi persetujuan bagi semua perbuatan seks yang dilakukan ke atasnya.
“Pada beberapa kejadian ketika mangsa menentang tertuduh, dia menjerit kepada mangsa, mencubit, menumbuk, menampar dan menolaknya,” kata pendakwa.
Menurut perangkaan polis yang dilaporkan The Straits Times pada 29 Mac, jumlah kes serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh anggota keluarga atau saudara-mara terhadap mangsa bawah 16 tahun telah meningkat daripada 184 kes pada 2024 kepada 192 kes pada 2025.
Pada 2023, sebanyak 169 kes dicatatkan.
