Tiga daripada setiap empat pelajar Politeknik Ngee Ann (NP) dijangka menamatkan pengajian dengan pengalaman luar negara menjelang 2030.

Ia hasil usaha terkini institusi tersebut untuk menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara, terutama ke negara serantau.

Inisiatif lima tahun yang baru itu, SEA Unbound (Asia Tenggara Tanpa Sempadan), bertujuan memperdalam pemahaman pelajar tentang Asia Tenggara melalui dua program unggul yang dibiayai sepenuhnya.

Salah satunya ialah Program Soar (Kaji–Perhati–Sesuaikan Diri–Renung) Asia Tenggara, yang akan menyelitkan lawatan seminggu ke bandar Asia Tenggara ke dalam kurikulum pelajar.

Kegiatan yang bakal disertai termasuk kunjungan ke universiti tempatan dan syarikat, bengkel, serta penerokaan budaya.

Lebih 3,500 pelajar merentasi 17 kursus diploma terpilih – daripada pengurusan perniagaan seni hingga ke sains kejuruteraan – akan menyertai lawatan sedemikian untuk memahami bagaimana disiplin mereka diterapkan di rantau ini.

Program kedua ialah Program Penghayatan dan Kepimpinan Asia Tenggara (Sail), yang dijangka akan melibatkan 300 pemimpin pelajar sepanjang tempoh lima tahun.

Mereka akan menjelajahi dua bandar Asia Tenggara selama dua minggu, mendalami cabaran bandar melalui pertemuan dengan pemimpin industri, usahawan dan ejen perubahan, sambil bekerjasama dalam ‘hackathon’ untuk mencari penyelesaian.

Daya usaha itu disokong oleh Dana Bakat Asia Tenggara bernilai $10 juta daripada Ngee Ann Kongsi, yang turut membiayai latihan industri di rantau tersebut.

Langkah NP itu seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan (MOE), yang menyasarkan 70 peratus pelajar institusi pengajian tinggi menerima pendedahan di peringkat sejagat menjelang 2028, khususnya di rantau Asean-China-India.

Pada majlis pelancaran pada 28 Mei, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, menekankan SEA Unbound dilancarkan ketika dunia bergelut dengan peningkatan perlindungan ekonomi dan ketegangan geopolitik.

Beliau menggesa Asean agar lebih bersatu padu dalam menempuh ketidakpastian politik dan ekonomi sejagat.

Menurut Cik Gan, tenaga kerja masa kini mesti memiliki kemahiran teknikal, kecerdasan budaya dan perspektif serantau bagi mendepani landskap perniagaan Asean yang pelbagai.

Menjelang 2028, setiap pelajar NP akan menyerap kandungan pembelajaran berkaitan Asia Tenggara, dan seorang daripada tiga pendidik NP juga akan menyertai program pendedahan serantau.

NP juga telah mendirikan pusat di Bangkok, Ho Chi Minh City dan Jakarta untuk menyokong pelajar, menjadi jambatan penghubung mereka dengan syarikat, pemimpin industri dan alumni.

Matlamatnya adalah untuk melengkapkan kakitangan akademik yang dicalonkan dengan pengetahuan dan perspektif terkini mengenai rantau ini bagi membentuk kurikulum serta pengalaman pembelajaran luar negara pelajar.

NP turut menubuhkan pusat luar negara di Bangkok, Ho Chi Minh City dan Jakarta, masing-masing diketuai pengurus negara, bagi menyediakan sokongan di lapangan kepada pelajar yang menyertai program di bandar tersebut.

Selain menghubungkan pelajar dengan syarikat dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan budaya serta amalan perniagaan tempatan, pusat itu turut memudahkan jaringan dengan pemimpin industri, pengasas syarikat pemula niaga dan mentor alumni luar negara.

Bagi Cik Ariqah Mufidah Mohamed Yuhaid, pelajar tahun ketiga NP, program perintis Sail pada akhir 2025 bukan sekadar lawatan, malah satu transformasi.

Pengalaman di rantau ini memperkasa keyakinan, mendalami celik budaya, serta membuka matanya terhadap potensi kerjaya di persada antarabangsa.

Pelajar psikologi dan pembangunan masyarakat itu menghabiskan seminggu di setiap bandar, bekerjasama dengan rakan-rakan tempatan untuk merintis huraian bagi isu kritikal seperti jaminan bekalan makanan dan pengurusan sisa secara lestari.

“Apa yang paling berkesan bagi saya ialah pertukaran budaya.

“Kami bukan sahaja menyelesaikan masalah bersama, malah belajar tentang budaya, tabiat dan cara pandang dunia antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum itu, beliau pernah ke Yogyakarta, Indonesia, menerusi program ekspedisi Kor Belia NP untuk menyokong golongan yang kekurangan selama dua minggu.

Berbekalkan keyakinan daripada dua pengalaman tersebut, Cik Ariqah memohon peluang ketiga untuk kembali ke rantau itu melalui program latihan Industri keusahawanan sedunia NP.

Rakan sekuliahnya, Encik Jeffrey Chua, 18 tahun, pula sedang menjalani latihan industri pembangunan usaha niaga di ExpresSo NB, cabang inovasi korporat syarikat tenaga nasional Thailand, PTT.

Pelajar tahun ketiga pengajian perniagaan itu berkata pengalaman yang dibiayai sepenuhnya di bawah SEA Unbound memberinya pemahaman tentang cara mendekati pasaran baru dengan fikiran terbuka serta keyakinan untuk meneroka peluang di luar negara.

“Latihan industri di Singapura boleh dilakukan pada bila-bila masa, tetapi peluang seperti ini lebih jarang dan saya mahu keluar dari zon selesa serta mencuba sesuatu yang baru,” katanya.