Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2025 suntik pembaharuan dalam usaha memperkukuh masyarakat Melayu/Islam

Berita Minggu (BM) menyusuri detik-detik penting yang membentuk landskap masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2025 – daripada perubahan kepimpinan, perkembangan kehidupan beragama, bidang pendidikan dan sosial, hinggalah usaha merakam jasa tokoh masyarakat.
Nov 30, 2025 | 7:52 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) berinteraksi bersama penduduk yang hadir di sesi dialog ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ anjuran M³@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan di Saffrons Wisma Geylang Serai pada 24 Ogos.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) berinteraksi bersama penduduk yang hadir di sesi dialog ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ anjuran M³@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan di Saffrons Wisma Geylang Serai pada 24 Ogos. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Tahun 2025 muncul sebagai titik perubahan penting bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura, dengan perubahan dalam kepimpinan, perkembangan ketara dalam bidang agama, serta usaha memperkukuh sokongan sosial dan pendidikan.

Pilihan Raya Umum (GE) 2025 yang buat kali pertama dipimpin Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membawa pembaharuan kepimpinan di peringkat Kabinet, termasuk bagi portfolio ehwal masyarakat Melayu/Islam.

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Sejak mengambil alih peranan itu, Dr Faishal telah mengumumkan lima bidang tumpuan iaitu, Keluarga; Banduan dan Keluarga; Belia; Pekerjaan dan Daya Kerja; serta Kesihatan Masyarakat.

Penyelidik Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata pendekatan Dr Faishal yang mendengar suara akar umbi dan membina kerjasama dengan badan Melayu/Islam turut dilihat sebagai gaya kepimpinan yang sederhana tetapi berkesan.

Anggota Parlimen Melayu/Islam baru termasuk Dr Syed Harun Alhabsyi, Cik Hazlina Abdul Halim, dan Dr Hamid Razak daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) serta Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Fadli Fawzi daripada Parti Pekerja (WP).
Anggota Parlimen Melayu/Islam baru termasuk Dr Syed Harun Alhabsyi, Cik Hazlina Abdul Halim, dan Dr Hamid Razak daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) serta Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Fadli Fawzi daripada Parti Pekerja (WP). - Foto MDDI

Menyusuli GE 2025, Encik Wong juga mengumumkan dua lagi pemimpin Melayu/Islam yang diberi jawatan politik – Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) pada 2026; serta AP baru Dr Syed Harun Alhabsyi (GRC Nee Soon), yang memulakan tugas sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) pada Oktober 2025.

Dr Syed Harun antara AP Melayu/Islam baru yang dipilih dalam GE2025. Yang lain termasuk Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) dan Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West) daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP); serta Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) dan Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) daripada Parti Pekerja (WP).

Dr Maliki Osman bersara dari politik setelah berkhidmat hampir 25 tahun.
Dr Maliki Osman bersara dari politik setelah berkhidmat hampir 25 tahun. - Foto ST

Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, pula bersara selepas 24 tahun dalam bidang politik.

Beliau kini menyumbang dalam bidang akademik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebagai Penasihat Kanan Program Asean.

CEO Yayasan Mendaki, Kolonel Mohamed Feroz Mohamed Akber.
CEO Yayasan Mendaki, Kolonel Mohamed Feroz Mohamed Akber. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di peringkat badan Melayu/Islam pula, Yayasan Mendaki menerima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru, Kolonel Mohamed Feroz Mohamed Akber, yang disokong dua Timbalan CEO, Cik Ezrina Elias dan Dr Noraslinda Zuber.

“Pembaharuan ini bukan sekadar perubahan individu, tetapi sebahagian daripada proses membina generasi pemimpin baru. Pemimpin muda harus diberi ruang untuk mencuba, gagal dan bangkit semula sebagai sebahagian daripada proses mematangkan kepimpinan,” tambah Dr Norshahril.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal  Ibrahim (tiga dari kiri), melancarkan Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau ‘Prominent Malays of Singapore’ (PMoS) di Galeri Nasional Singapura pada 11 Oktober. Beliau disertai (dari kiri) Pengerusi Panel Penasihat Melayu Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Dr Azhar Ibrahim; mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Ketua Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong; dan salah seorang individu yang dipaparkan di PMoS, Cik June Rusdon.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), melancarkan Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau ‘Prominent Malays of Singapore’ (PMoS) di Galeri Nasional Singapura pada 11 Oktober. Beliau disertai (dari kiri) Pengerusi Panel Penasihat Melayu Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Dr Azhar Ibrahim; mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Ketua Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong; dan salah seorang individu yang dipaparkan di PMoS, Cik June Rusdon. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam masa yang sama, usaha merakam dan menghargai tokoh Melayu diperkukuh melalui pelancaran portal Prominent Malays of Singapore (PMoS) atau Tokoh-tokoh Melayu Singapura, kerjasama antara Lembaga Perpustakaan Negara NLB dan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ia menghimpunkan lebih 100 profil tokoh dalam pendidikan, seni, politik dan sukan – satu langkah penting memelihara memori kolektif masyarakat.

Allahyarham Ustaz Syed Isa meninggal dunia pada 7 Julai di usia 87 tahun, meninggalkan legasi besar dalam pembangunan keagamaan dan sosial masyarakat.
Allahyarham Ustaz Syed Isa meninggal dunia pada 7 Julai di usia 87 tahun, meninggalkan legasi besar dalam pembangunan keagamaan dan sosial masyarakat. -  Foto fail MOHD TAUFIK A KADER

Namun, 2025 juga menyaksikan kehilangan dua tokoh besar, Mantan Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, dan Mantan Wanita Pertama Singapura, Allahyarhamah Puan Noor Aishah Mohammad Salim.

Puan Noor Aishah, 91 tahun, bergelar Wanita Pertama antara 1959 dengan 1970.
Puan Noor Aishah, 91 tahun, bergelar Wanita Pertama antara 1959 dengan 1970. - Foto ST

Dr Norshahril berkata perjuangan dan keikhlasan tokoh masyarakat perlu difahami generasi baru.

“Semangat juang mereka (tokoh) adalah untuk masyarakat dan mereka tidak mengedepankan kelebihan masing-masing atau kepentingan individu. Dari sejarah kehidupan mereka, mereka kadang-kadang dikritik, dicemuh dan sebagainya. Tapi mereka tetap terus dengan perjuangan mereka. Mereka tidak pentingkan populisme, tapi mereka tetap dengan semangat juang mereka,” kata Dr Norshahril.

Masjid Omar Kampong Melaka (MOKM) ialah masjid pertama dibina di Singapura. Pada 11 November 2001, Lembaga Warisan Negara (NHB) mengisytiharkan MOKM sebagai tapak bersejarah, menjadikannya lokasi ke-59 di Singapura yang menerima pengiktirafan tersebut.
Masjid Omar Kampong Melaka (MOKM) ialah masjid pertama dibina di Singapura. Pada 11 November 2001, Lembaga Warisan Negara (NHB) mengisytiharkan MOKM sebagai tapak bersejarah, menjadikannya lokasi ke-59 di Singapura yang menerima pengiktirafan tersebut. - Foto MASJID OMAR KAMPONG MELAKA

Dalam sektor keagamaan, Muis mengumumkan peraturan kesihatan haji baru bermula 2026, selaras dengan garis panduan Arab Saudi bagi memastikan jemaah berada dalam keadaan fizikal yang selamat.

Sekitar 76 peratus warga Singapura yang telah memohon untuk menunaikan ibadah haji telah mengisytiharkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sehingga 21 November lalu bahawa mereka disahkan sihat dari segi perubatan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu setelah menerima Surat Hasrat (LOI) mereka.

Baki 10 peratus pemohon telah memilih untuk menangguh ibadah haji mereka, manakala 1 peratus telah mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan haji mereka, kata jurucakap Muis.

Masjid baru di Tampines North akan membantu mengurangkan kesesakan di masjid-masjid lain yang berdekatan, seperti Masjid Darul Ghufran di Tampines, Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris dan Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok.
Masjid baru di Tampines North akan membantu mengurangkan kesesakan di masjid-masjid lain yang berdekatan, seperti Masjid Darul Ghufran di Tampines, Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris dan Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok. - Foto ZAOBAO 

Tambahan itu, dua masjid baru, Masjid Tampines North dan Masjid Tengah, turut diumumkan bagi memenuhi keperluan penduduk yang kian bertambah.

Sementara itu, Anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) bagi penggal baru dibarisi individu daripada pelbagai kepakaran profesional, diketuai pengerusi baru, Ustaz Nor Razak.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata bengkel yang akan diadakan bagi Raikan Ilmu disediakan untuk pelbagai segmen masyarakat.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata bengkel yang akan diadakan bagi Raikan Ilmu disediakan untuk pelbagai segmen masyarakat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dalam bidang sokongan pendidikan dan sosial, Yayasan Mendaki melaporkan peningkatan 80 peratus penerima bantuan sejak 2020.

Di bawah pengerusi baru, Encik Zaqy Mohamad, Mendaki bakal menyusun pelan kerja lima tahun untuk meningkatkan pencapaian pendidikan, daya saing ekonomi dan ketahanan keluarga Melayu/Islam.

Menurut Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, kerjasama antara pemerintah dan agensi di bawah M Kuasa Tiga (M³) kekal penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Penghargaan dan pencapaian

Penerima Anugerah Jauhari BH 2025, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, yang merupakan Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), menganggap setiap cabaran tidak mustahil untuk diatasi.
Penerima Anugerah Jauhari BH 2025, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, yang merupakan Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), menganggap setiap cabaran tidak mustahil untuk diatasi. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Tahun ini juga menyaksikan pelbagai pencapaian membanggakan.

Antaranya ialah, Brigedier-Jeneral Fairoz Hassan yang menerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 atas kecemerlangan hampir tiga dekad dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), manakala aktivis sastera muda, Cik Nur Aisyah Lyana, menerima Anugerah Jauhari Harapan.

Pengasas bersama kolektif sastera belia ‘Meja Conteng’, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun, diiktiraf Anugerah Jauhari Harapan atas usahanya memartabatkan seni dan persuratan bahasa Melayu.
Pengasas bersama kolektif sastera belia ‘Meja Conteng’, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun, diiktiraf Anugerah Jauhari Harapan atas usahanya memartabatkan seni dan persuratan bahasa Melayu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam bidang seni, komposer Cik Syafiqah ’Adha Sallehin meraih pengiktirafan sebagai salah seorang penerima Anugerah Artis Muda 2025 atas usahanya memperkenalkan muzik tradisional kepada generasi baru.

Secara keseluruhan, 2025 telah memperlihatkan masyarakat Melayu/Islam melangkah ke hadapan dengan gabungan pemimpin baru, penghargaan warisan, kekuatan sosial dan pencapaian cemerlang, demi masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg