Topic followed successfully
Go to BHkuWanita gagah tarik kereta BYD seberat 3,600kg di Hyrox
Wanita gagah tarik kereta BYD seberat 3,600kg di Hyrox
Wanita gagah tarik kereta BYD seberat 3,600kg di Hyrox
Niat asal Cik Firzanah Nazmi hanyalah untuk meluangkan masa menyokong rakan-rakannya di acara Hyrox pada 3 April lalu.
Namun, kunjungan itu berubah menjadi paparan kekuatan luar biasa apabila beliau secara spontan menyertai cabaran ‘BYD Power Pull-Up’.
Dalam cabaran tersebut, Cik Firzanah, yang mengenakan pakaian santai, memuatkan beg beras seberat 25 kilogram (kg) ke belakang kenderaan sebelum menarik kereta BYD seberat 3,600kg itu sejauh hampir lima meter.
Eksekutif bersekutu berusia 30 tahun itu mengakui bahawa niat untuk mencuba cabaran tersebut timbul selepas diberi galakan oleh beberapa rakan yang hadir.
“Saya sebenarnya tidak membuat sebarang persiapan, malah pada hari tersebut saya tidak mengenakan pakaian sukan yang sesuai. Semuanya berlaku secara spontan,” jelas beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Aksi memukau itu turut dikongsi melalui video di laman Instagram miliknya yang sehingga kini telah meraih lebih 361,000 tontonan, selain dihujani komen netizen yang kagum dengan kekuatan fizikalnya.
Pengguna ‘iamcheang’ berkata:
“Gayanya nampak macam nak terus pergi membeli-belah selepas tarik kereta itu. Memang ada class.”
Ternyata, penglibatan aktif beliau dalam sukan ‘Strongman’ (sukan yang menguji daya tahan dan kekuatan fizikal manusia ke tahap ekstrem) sejak 2025 membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan misi itu dengan tenang.
Ditanya mengenai rahsia kekuatannya, Cik Firzanah berkongsi bahawa beliau merupakan ahli SG Titans, sebuah kumpulan latihan komuniti percuma yang mengutamakan disiplin sukan ‘Strongman’.
“SG Titans merupakan kumpulan latihan komuniti percuma yang mengutamakan senaman berunsurkan sukan ‘Strongman’, iaitu sukan kekuatan yang menguji kemampuan atlet.
“Ini melalui aksi angkat berat dan luar biasa serta acara-acara yang melibatkan individu bergerak sambil mengangkat barang berat,” tambah beliau.
Antara senaman yang dilakukan bersama SG Titans termasuk gulingan tayar, log press (angkatan balak), yoke walk (jalan memikul beban) dan deadlift.
Cik Firzanah menyatakan beliau kini sedang giat berlatih empat hingga lima kali seminggu untuk menghadapi kejohanan Bloodhounds yang bakal menguji daya tahan fizikal dan mental pada Jun ini.

