SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

‘Tak berhati perut’: Sampul Raya tanpa duit diisi nota

‘Tak berhati perut’: Sampul Raya tanpa duit diisi nota

Mar 31, 2026 | 2:39 PM

‘Tak berhati perut’: Sampul Raya tanpa duit diisi nota

sampul raya, nota gurauan, tidak berhati perut
Pengguna TikTok ‘hartinihariz’ berkongsi bahawa anaknya menerima sampul Raya dengan nota bertulis: ‘Better luck next time’ yang membawa maksud semoga berjaya lain kali. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK @HARTINIHARIZ

Walaupun mengecewakan, menerima sampul Raya kosong bukanlah perkara asing buat sesetengah orang.

Namun, bagi pengguna TikTok ‘hartinihariz’, satu kejadian di luar kebiasaan melibatkan anaknya telah mencetuskan kecaman meluas dalam talian.

Dalam video yang dimuat naik pada 30 Mac, beliau mendedahkan bahawa anaknya menerima sampul Raya yang tidak berisi wang, sebaliknya mengandungi nota bertulis ‘Better luck next time’ yang membawa maksud semoga berjaya lain kali.

Video yang telah meraih lebih 237,000 tontonan di TikTok itu disertakan kapsyen:

“Anak perempuan saya yang berusia lima tahun menerima ini untuk Raya… Ini bukan soal nasib, ini tidak berhati perut.”

Apa yang mungkin dimaksudkan sebagai gurauan dalam memberi duit sampul sedemikian, tidak diterima baik oleh ramai netizen.

Ruangan komen dibanjiri kritikan, dengan ramai pengguna menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sensitif dan tidak wajar, kerana amalan memberi mempunyai nilai budaya yang penting semasa sambutan Hari Raya.

Antara pengguna yang tidak setuju dengan tindakan itu ialah ‘faraheleow’ yang berkata:

“Sama ada beri dengan ikhlas atau tidak perlu beri langsung.

“Jangan lukakan hati seorang kanak-kanak tanpa sebab.”

Selain itu, pengguna ‘tulip.emas8’ berkata:

“Sampainya hati orang tu!! Kesian anak-anak, mereka memang mengharap. Apa salahnya letak $2 kalau tak boleh bagi banyak? Bila anak-anak gembira, pasti kita dapat doa daripada mereka.”

Sementara itu, ada juga yang cuba untuk bersangka baik dengan berkata bahawa kemungkinan si pemberi sedang mengalami fasa yang sukar untuk memberi duit Raya.

Pengguna ‘liyannnaaugesta’ berkata :

“Mari kita lihat dari sudut lain. Mungkin orang yang memberi itu sedang melalui masa sukar. Kita sama-sama bersangka baik dan berlapang dada.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg