Topic followed successfully
Go to BHkuPengembara S’pura diserang di Uzbekistan, dirompak di Kazakhstan
Pengembara S’pura diserang di Uzbekistan, dirompak di Kazakhstan
Namun, pengalaman mengerikan tidak ubah pandangannya tentang penduduk Asia Tengah
Pengembara S’pura diserang di Uzbekistan, dirompak di Kazakhstan
Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga, seorang pengembara warga Singapura diserang di Uzbekistan, dan kemudian dirompak di Kazakhstan sewaktu melancong ke negara itu bersama ibunya.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Encik Arfad atau nama pengguna @arfadafro, menurut Instagram dan saluran YouTubenya, memuat naik hantaran video yang menunjukkan beliau dalam dua situasi berbahaya sekitar 3 April.
Di Tashkent, Uzbekistan, Encik Arfad dan ibunya sedang menunggu teksi apabila mereka diganggu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
Dalam video hantarannya, lelaki itu cuba memukulnya, tetapi dapat ditahan berkali-kali dengan sebelah tangan, sementara tangan yang lain memegang telefon bimbit untuk merakam.
Menurut @arfadafro, lelaki asing itu telah mengganggu beliau dan ibunya berkali-kali sehingga mereka dikejar mengelilingi tempat letak kereta berhampiran stesen kereta api Tashkent.
“Sebelum saya merakam kejadian, kami dikejar mengelilingi tempat letak kereta, dan dia telah meresahkan ibu saya. Kami di situ sebenarnya menunggu teksi tempahan Yandex Go (aplikasi menempah kenderaan lebih awal),” kata Encik Arfad.
Pada penghujung rakaman, penyerang itu kelihatan dibawa pergi oleh seorang pegawai polis, dan beberapa orang awam turut memberi perhatian terhadap kejadian tersebut.
Walaupun diganggu sedemikian, @arfadafro berkata beliau sering melawat Uzbekistan dan ini kali pertama mengalami gangguan seperti itu.
“Ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja, saya tetap sukakan Uzbek Plov (makanan tempatan Uzbekistan)!” katanya dalam kapsyen video.
Video itu telah mendapat lebih 1.3 juta tontonan, dan ramai yang meninggalkan komen berpendapat lelaki itu tidak siuman atau berada dalam keadaan mabuk atau seorang penagih dadah.
Pada 7 April pula, Encik Arfad memuat naik satu lagi video yang menunjukkan beliau dirompak dan berkejaran dengan individu yang didakwa mencuri telefon bimbit ibunya.
“Dia kelihatan ramah dan baik, dan kami memintanya mengambil foto kami menggunakan telefon bimbit ibu saya. Tiba-tiba telefon itu dibawa lari, dan lelaki tersebut pecut dengan cepat, tetapi saya dapat mengejarnya!” kata Encik Arfad.
Ramai pengguna dari Kazakhstan meninggalkan komen mengatakan individu itu dipercayai bukan dari negara mereka, sebaliknya mungkin dari negara lain. Video itu telah menarik perhatian sekitar 96,400 penonton di Instagram.
Walaupun beberapa kali berdepan situasi tidak menyenangkan, Encik Arfad berkata rata-rata masyarakat di Asia Tengah sangat baik dan mesra, dan tidak akan melakukan perkara sebegini.
Walaupun lelaki itu berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam, Encik Arfad tidak menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Menjawab komen seorang pengguna @remy_border_collie_singapore, Encik Arfad mengaku telah melepaskan pencuri tersebut.
“Biar dia pulang ke pangkuan keluarganya, (saya) tidak mahu meletakkannya dalam kesusahan…”

