SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kembara solo pertama, pencipta kandungan ke Uzbekistan hasilkan 40 video pendek

Kembara solo pertama, pencipta kandungan ke Uzbekistan hasilkan 40 video pendek

Perjalanan 12 hari, 40 video dan 1.8 juta tontonan: Amiera Raushan berkongsi tip hasilkan kandungan semasa mengembara
Mar 29, 2026 | 5:30 AM

Kembara solo pertama, pencipta kandungan ke Uzbekistan hasilkan 40 video pendek

Amiera Raushan terpesona dengan seni bina bangunan di Dataran Registan di kota bersejarah Bukhara.
Amiera Raushan terpesona dengan seni bina bangunan di Dataran Registan di kota bersejarah Bukhara. - Foto ihsan AMIERA RAUSHAN.

Sebagai seorang ahli strategi media sosial, pencipta kandungan dan jurugambar, Amiera, 32 tahun, menonjol dengan gaya fesyen yang unik dan sentuhan seni yang sentiasa mewarnai media sosialnya. Beliau memiliki lebih 30,000 pengikut di Instagram (@lrnchfl).

Pada awal 2026, Amiera membuat keputusan yang berani, melangkaui zon selesanya. Ibu kepada seorang anak ini memilih untuk mengembara ke Uzbekistan seorang diri, dengan tujuan membuktikan kemampuan dirinya untuk berdikari dan menguruskan segala-galanya sendiri.

“Sejak dulu, saya tidak pernah mengembara ke mana-mana sendirian. Selalunya ditemani kawan. Setelah berkahwin, suami pula yang menguruskan semua perancangan, membuatkan saya terbiasa dimanjakan sehingga tidak perlu berfikir apabila melancong,” jelasnya.

“Kali ini, suami memberi lampu hijau dan mencabar saya untuk pergi sendiri serta menguruskan semua keperluan,” kata Amiera, yang telah empat tahun berumah tangga dengan Arkitek Adib Jalal, yang juga pernah menjadi juri rancangan realiti ubah suai televisyen, Reka, selama dua musim.

Cabaran itu membawa Amiera ke Uzbekistan, dalam perjalanan solo selama 12 hari. Sepanjang tempoh itu, Amiera turut menghasilkan 40 video pendek (reels) yang menarik sekitar 1.8 juta tontonan.

Amiera memulakan perjalanannya dari Singapura ke Tashkent melalui penerbangan Air Asia. Sebagai persediaan, beliau menukar sejumlah wang kepada Dolar Amerika Syarikat di Singapura terlebih dahulu untuk memudahkan urusan pertukaran kepada mata wang Uzbekistan, iaitu SOM.

Di Tashkent, beliau sempat singgah ke Kompleks Khast Imam, sebuah tapak agama dan sejarah yang terkemuka, yang memukau dengan suasana tenang dan keindahan seni bina Islamnya.

Amiera turut kagum dengan seni bina corak geometri Islam yang menghiasi stesen Metro mereka yang canggih, membolehkannya bergerak bebas.

Untuk melancarkan pergerakan seterusnya, beliau telah menempah seorang pemandu pelancong melalui laman getyourguides.com, yang bersedia membawanya ke Amirsoy, Chimgan, dan Tasik Charvak.

“Memandangkan saya mengembara seorang diri, saya memilih untuk tidak membuang masa menguruskan pengangkutan. Mengikut pemandu pelancong dirasakan lebih selamat dan ini memberikan saya lebih masa untuk fokus menghasilkan kandungan,” jelas Amiera.

Tanpa disedari, jumlah kandungan yang dihasilkannya terus bertambah.

“Apabila dikira semula, ada sekitar 40 kandungan. Saya sendiri terkejut,” katanya.

“Ini jelas menunjukkan bahawa dengan fokus yang tinggi dan kurangnya gangguan, kita mampu menjadi sangat produktif.”

Pilihan Uzbekistan bukanlah sesuatu yang kebetulan.

Amiera mengakui tertarik dengan Asia Tengah – sebuah wilayah yang kaya dengan sejarah namun masih kurang diterokai. Uzbekistan khususnya, dengan warisan Laluan Sutera dan seni bina Islamnya yang mengagumkan, menawarkan pengalaman yang unik.

“Kebanyakan kajian dan tips yang saya peroleh adalah dari TikTok, dan Uzbekistan berjaya menarik perhatian saya,” terang Amiera.

“Bandar-bandar seperti Samarkand dan Bukhara seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman silam dengan masjid yang megah, jubin berwarna-warni, dan seni bina yang penuh perincian,” kata Amiera, yang berjaya menambah 1,800 pengikut baharu selepas berkongsi pengembaraannya itu.

Tempat-tempat yang disinggah merangkumi Kompleks Poi Kalyan dan Ark of Bukhara, kedua-duanya sarat dengan sejarah dan memaparkan bangunan yang tersergam indah, mencerminkan keagungan seni bina Islam masa lampau.

Perjalanan dengan kereta api, khususnya antara Samarkand dengan Bukhara, dimanfaatkan sebagai ruang untuk menyunting video. Sementara itu, kafe-kafe kecil pula menjadi tumpuan untuk menyusun dan memperhalusi idea.

Selain menikmati keindahan seni bina yang memukau, Amiera turut terpukau dengan pemandangan gunung-ganang bersalji yang terbentang luas di Amirsoy, Tashkent. Beliau juga melakukan lawatan sehari ke Tajikistan, khususnya ke gunung-ganang Fann, untuk menyaksikan Tasik Tujuh (Haft Kul).

“Saya diberitahu, pemandangan di sini lebih cantik dari banjaran Alps di Switzerland!”

Bagi Amiera, kunci utama dalam menghasilkan kandungan ketika melancong adalah mengelak daripada cuba merakam setiap inci perjalanan.

“Saya akan benar-benar menikmati tempat itu dahulu,” terangnya. “Hanya setelah saya menyelami suasana dan memahami inti cerita yang ingin disampaikan, barulah saya mula merakam.”

Pendekatan sedemikian menjadikan proses penggambaran bukan sahaja lebih pantas, tetapi juga lebih bermakna.

Dari segi peralatan, Amiera memilih untuk kekal minimalis. Kebanyakan foto dan video dirakam menggunakan iPhone 17 Pro, dibantu tripod untuk rakaman sendiri dan kamera Fujifilm X-T4. Proses suntingan pula dilakukan sepenuhnya melalui telefon menggunakan aplikasi CapCut.

Menurut Amiera, kandungan yang mendapat sambutan biasanya menggabungkan dua elemen – penceritaan peribadi dan nilai praktikal.

“Penonton tertarik dengan pengalaman sebenar seperti interaksi dengan penduduk tempatan atau suasana di pasar. Dalam masa yang sama, kandungan berbentuk cadangan – tempat makan, lokasi menarik atau hidden gems, juga sangat dihargai kerana memberi manfaat kepada bakal pelancong.”

Walaupun berpengalaman sebagai jurugambar, perjalanan solo bukan tanpa cabaran. Antara yang paling ketara ialah merakam gambar sendiri.

“Biasanya suami saya bantu memetik gambar. Bila buat sendiri, saya perlu guna tripod dan self-timer. Kadang-kadang ambil masa hingga 30 minit untuk satu gambar,” katanya.

Selain itu, mengurus peralatan, menjaga keselamatan barang dan merakam kandungan secara serentak memerlukan kesabaran yang tinggi.

Namun, di situlah terletaknya kekuatan pengalaman tersebut.

“Ia sangat memperkasakan. Saya sedar saya mampu lakukan semuanya sendiri,” ujarnya.

Tip ringkas untuk pencipta kandungan

Amiera turut berkongsi bahawa menghasilkan kandungan berkualiti tidak semestinya memerlukan kamera atau peralatan yang mahal. “Telefon sahaja sudah memadai,” katanya.

Antara tip ringkas yang dikongsikan Amiera termasuk:

- Membersihkan lensa kamera sebelum merakam.

- Memanfaatkan pencahayaan semula jadi, terutamanya waktu pagi atau ‘golden hour’.

- Memahami sudut dan komposisi.

- Menggunakan fungsi grid pada kamera.

- Merakam pelbagai jenis sudut, seperti sudut luas, jarak dekat, dan pergerakan.

“Rakam lebih daripada yang kita rasa perlu. Klip pendek seperti berjalan atau suasana jalanan sangat membantu semasa proses suntingan,” tambahnya. Walau bagaimanapun, Amiera mengingatkan, yang paling penting adalah pelancong harus menikmati perjalanan itu sendiri.

Untuk masa hadapan, Amiera merancang untuk membina komuniti pengembara wanita dan menganjurkan kembara khas ke Uzbekistan. Di sana, peserta boleh menikmati perjalanan tanpa perlu memikirkan soal kandungan, kerana semuanya akan didokumentasikan oleh Amiera.

Namun, buat masa ini, rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan ketidaktentuan global.

Walau apa pun, perjalanan ke Uzbekistan jelas menjadi titik perubahan buat Amiera, yang kini lebih yakin sebagai seorang pengembara solo.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg