Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenantian dua dekad demi segulung diploma
Penantian dua dekad demi segulung diploma
Pemilik firma penerbitan kejar kelulusan formal bidang niaga, sambil cari keseimbangan sekolah, kerja dan keluarga
Penantian dua dekad demi segulung diploma
Bukan dua, tiga, mahupun lima tahun, tetapi Encik Muhammad Khairi Mohamad Shah, perlu menunggu 20 tahun untuk akhirnya meraih diploma.
Baginya, perjalanan itu bukan sekadar tentang lembaran kertas kelayakan, tetapi tentang menebus masa silam, memperbaiki diri, dan menjadi seorang anak, ayah, dan bos yang lebih baik.
Mengimbau kembali saat beliau tidak dapat menyelesaikan pengajian di Politeknik Nanyang (NYP) pada usia 16 tahun, Encik Khairi, kini 36 tahun, menerangkan bahawa beliau tidak dapat meneruskan persekolahan kerana mempunyai Purata Nilai Gred (GPA) yang rendah.
“Ibu saya rasa sedih kerana sebagai seorang guru, beliau mempunyai harapan agar saya menjadi pelajar yang bijak.
“Pada waktu itu, saya mematikan perasaan kerana tidak sanggup menanggung beban emosi akibat mengecewakannya,” kongsi beliau.
Kini, Encik Khairi berjaya menamatkan pengajian dalam kursus Diploma Amalan Perniagaan (Pentadbiran Perniagaan) daripada Politeknik Temasek (TP).
Ibunya, Cik Kartini Yayit, merupakan guru kanan di Sekolah Menengah Bartley.
Ketika di NYP dahulu, Encik Khairi memilih untuk mengikuti Diploma dalam Pengurusan Perniagaan Sukan dan Kesejahteraan kerana minat mendalamnya terhadap bola sepak.
Namun, anak sulung tiga beradik itu kemudian menyedari kursus tersebut lebih kepada aspek perniagaan daripada sukan.
“Saya tidak minat langsung dengan perniagaan. Saya cuma mahu jadi pemain atau jurulatih bola sepak, bukan seorang usahawan.
“Oleh kerana itu, disiplin saya di sekolah merosot. Saya pun jarang hadir kelas dan gred saya jatuh. Itu yang akhirnya menyebabkan saya tidak dapat meneruskan persekolahan.
“Itu kali pertama saya rasa gagal. Saya sedih tetapi lama-lama saya biasakan diri untuk tidak rasa apa-apa,” jelas Encik Khairi.
Beliau memperoleh 233 mata untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan kira-kira 15 mata untuk agregat L1R4 bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Tanpa kelulusan formal dalam bidang perniagaan, beliau membina kerjayanya berbekalkan minat dan kemahiran kreatif dalam fotografi dan videografi.
Pada 2013, Encik Khairi mengasaskan Wolfpac Productions, sebuah perniagaan penerbitan media yang kini mengendalikan projek korporat dan perkahwinan dan mempunyai sekitar 15 kakitangan termasuk tiga pekerja sepenuh masa.
Namun, bertahun-tahun mengemudi dunia perniagaan tanpa asas akademik dalam bidang perniagaan mula membuatnya menyedari beliau memerlukan pendidikan formal.
“Semasa saya baru memulakan Wolfpac, saya belajar daripada seorang pemilik perniagaan dan selepas beberapa bulan, saya sedar saya tidak dapat belajar apa-apa lagi daripadanya.
“Saya perlukan lebih ilmu dan ilmu yang berbeza, jadi saya belajar daripada orang lain pula. Kemudian, saya cari orang seterusnya dan belajar daripadanya.
“Selepas tujuh atau lapan tahun, saya mula menyedari bahawa tiada pemilik perniagaan lain yang mungkin mempunyai hala tuju yang sama seperti saya,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa ramai pemilik perniagaan yang ditemuinya turut belajar secara sendiri tanpa “sistem yang betul untuk diikuti”.
Perkara itulah yang akhirnya mendorong Encik Khairi, bapa seorang anak perempuan berusia dua tahun bernama, Daanya Inaya Muhammad Khairi, untuk melanjutkan pengajian secara sambilan di TP pada 2023.
Namun, beliau mengakui keputusan untuk kembali ke bangku sekolah datang dengan cabaran besar di samping perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang suami, bapa, dan pemilik perniagaan.
Kelasnya bermula selepas waktu kerja, dari 6 petang hingga 10 malam, dan diadakan tiga kali seminggu secara dalam talian dan bersemuka.
“Ada masa saya keluar rumah, anak saya masih tidur. Bila balik rumah, dia dah tidur. Kalau sebulan macam itu, memang saya tidak dapat jumpa dia.
“Orang selalu kata, ‘Penting untuk berkorban demi mencari keseimbangan antara sekolah, kerja dengan keluarga.’
“Tetapi apa yang saya sedar adalah apabila kita berkorban, sebenarnya tidak ada lagi keseimbangan.
“Kalau kita cuba cari masa, kita tidak akan menemuinya. Kita kena cipta masa. Kita memang akan penat, tetapi tetap kena buat,” terangnya.
Encik Khairi turut menghargai sokongan tidak berbelah bahagi isterinya, Cik Jahan Shukor, 36 tahun, dalam menguruskan rumah tangga ketika beliau berada di tempat kerja dan sekolah sepanjang hari.
Beliau turut berdepan ujian lain sepanjang tempoh pengajian di TP, termasuk pembedahan lutut akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), serta cabaran mengurus pekerja.
Menurut Encik Khairi, beliau malah kehilangan beberapa kakitangan berkebolehan disebabkan kekurangannya sendiri, khususnya dalam menunjukkan empati atau cara mengurus perasaan mereka.
“Kursus diploma saya bukan sahaja mengajar tentang aspek perniagaan, tetapi ia juga mengajar saya tentang empati, komunikasi, dan cara fahami orang lain.
“Apa yang saya pelajari di sekolah telah saya terapkan secara langsung di Wolfpac,” katanya.
Walaupun terfikir ingin menghentikan pengajian di TP ekoran cabaran yang dilalui, Encik Khairi memilih untuk meneruskannya kerana enggan mengecewakan keluarganya, terutama sekali ibu beliau.
Bagi Encik Khairi, diploma itu bukan untuk membuktikan orang lain salah, tetapi untuk membuktikan kepada dirinya sendiri bahawa beliau tidak lagi seperti dahulu.
Apabila ditanya makna di sebalik kejayaannya meraih diploma itu, beliau berkata:
“Saya rasa lega kerana saya terhutang budi kepada ibu...
“Ibu saya seorang guru yang berdisiplin dan beliaulah inspirasi utama dalam hidup saya.
“Daripada bangun awal setiap hari, hingga bekerja tanpa jemu untuk membesarkan keluarganya, pengorbanan itulah yang mendorong saya.
“Saya mungkin tidak boleh jadi macam ibu saya, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh membuatnya bangga.”
