SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemandu lapor stesen minyak Taman Pelangi JB kehabisan RON97 pada 23 Mac

Pemandu lapor stesen minyak Taman Pelangi JB kehabisan RON97 pada 23 Mac

Mar 24, 2026 | 4:16 PM

Pemandu lapor stesen minyak Taman Pelangi JB kehabisan RON97 pada 23 Mac

Seorang warga Singapura melaporkan stesen minyak Shell di Taman Pelangi, Johor Bahru kehabisan minyak RON97 pada 23 Mac.
Seorang warga Singapura melaporkan stesen minyak Shell di Taman Pelangi, Johor Bahru kehabisan minyak RON97 pada 23 Mac. - Foto oleh NURZAHIRA AHMAD

Warga Singapura, Cik Nurzahira Ahmad, yang kerap memandu ke Johor Bahru untuk mengisi minyak, lazimnya melihat barisan panjang di stesen minyak di Taman Pelangi ketika dalam perjalanan pulang ke Singapura.

Namun, kira-kira jam 5.45 petang pada 23 Mac, beliau terkejut apabila mendapati stesen Shell tersebut lengang, dengan kenderaan yang datang berpatah balik selepas papan tanda menunjukkan minyak RON97 tidak tersedia.

“Petugas pam memaklumkan bahawa RON97 telah kehabisan sejak pagi semalam (22 Mac) dan tangki dijadualkan untuk diisi semula selepas jam 8 malam.

“Beliau juga berkata kesemua stesen Shell juga berdepan dengan masalah yang sama .

“Namun saya tidak dapat memastikan sama ada perkara tersebut sememangnya berlaku atau pun tidak,” katanya yang berusia 42 tahun ketika dihubungi.

Pengurus kanan bank itu juga mendapati banyak kereta Singapura pandu keluar dari stesen tersebut selepas diberitahu perkara yang sama.

Menurut laporan media Malaysia, harga bahan api di Semenanjung Malaysia melambung tinggi sedang kerajaan negara itu berusaha menyelaraskan kadar domestik dengan pasaran global yang terjejas akibat konflik Timur Tengah.

Berkuat kuasa pada 19 Mac hingga 25 Mac, harga petrol RON97 meningkat sebanyak 70 sen kepada RM4.55 seliter, manakala diesel di Semenanjung naik lagi 80 sen ke paras rekod RM4.72 seliter.

Menurut laman Shell Malaysia pula, V-Power Racing kini berharga RM7.88 seliter.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyiasat kes pengisian minyak RON95 ke dalam bekas plastik pada 21 Mac di stesen minyak Mutiara Rini, Skudai, Johor.

Stesen tersebut didakwa membenarkan dua individu mengisi petrol RON95 bersubsidi ke dalam bekas, bukannya terus ke tangki kenderaan.

Pengarah KPDN, Cik Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihak penyiasat akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen berkenaan, selain menyemak rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Kami mengesan dua transaksi melibatkan pembelian RON95, dengan satu diisi ke dalam tangki kenderaan, manakala satu lagi ke dalam bekas plastik di dalam but kereta dengan kuantiti yang melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

“Semasa pemeriksaan, pasukan penguat kuasa KPDN telah mengeluarkan amaran kepada pihak pengurusan stesen minyak mengenai kepentingan mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.”

“KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta, penjara hingga tiga tahun, atau kededua sekali.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg