Pemilik BrandTok, Encik Sam Heedy atau nama sebenarnya, Encik Noor Hidayat Samion, telah memohon maaf dan berkata beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas semua kegagalan operasi di bawah syarikatnya itu.

Ini menyusuli perbincangan hangat yang tercetus di media sosial melibatkan beliau di mana beberapa klien membuat beberapa dakwaan terhadap BrandTok, termasuk mengenai bayaran yang tertunggak dan projek yang lewat dikerjakan.

BrandTok menyediakan khidmat pemasaran di media sosial kepada perniagaan dan usahawan.

Dalam kenyataan media yang dimuat naik ke akaun Instagram middleeastsam pada 16 Mei, Encik Sam menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk mengambil duit klien dan melarikan diri.

Menurutnya, syarikatnya sedang mengalami penangguhan, kegagalan komunikasi, gangguan aliran kerja, isu operasi dan ketidakstabilan.

“Apa yang berlaku adalah keruntuhan perniagaan dan operasi yang disebabkan oleh sistem saya sendiri yang lemah, pengembangan yang terlalu agresif, tekanan kewangan, kesilapan kepimpinan bagi pihak saya, dan gangguan operasi yang serius semasa tempoh yang sememangnya sudah tidak stabil bagi syarikat,” kata Encik Sam dalam kenyataan itu.

Menambah, Encik Sam berkata beliau sedang menangani konflik bersama seorang pekerja bebas dalam syarikatnya di mana bayaran pekerja tersebut juga tertangguh kira-kira dua minggu.

Ekoran ini, keadaan di dalam syarikat bertambah buruk, menjejas sistem dan fail penting.

Encik Sam berkata beliau memahami sepenuhnya kekecewaan dan kemarahan yang dirasakan klien terjejas, lantas memberi jaminan bahawa beliau akan terus berhubung dengan mereka supaya dapat menyelesaikan urusan yang tergendala.

Beliau juga akui bahawa terdapat banyak andaian dan salah faham yang tular secara terbuka dalam talian, memandangkan beliau sering memuat naik kandungan di Tanah Suci.

“Saya bukannya berada di Makkah untuk ‘bersenang-lenang’ menggunakan wang pelanggan seperti yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Perjalanan dan kolaborasi di sana adalah atas jemputan khas berkaitan kerja kandungan saya, audiens media sosial, dan kerjasama yang datang melalui platform serta pengikut yang telah saya bina sepanjang tahun lalu sebagai seorang pencipta kandungan di Arab Saudi,” jelasnya.

Encik Sam meminta agar diberi peluang untuk membina semula segalanya.

“Saya sedang cuba untuk memperbaiki diri sebagai seorang individu dan sebagai seseorang yang mengendalikan perniagaan.

“Saya telah melakukan kesilapan, dan saya masih mempunyai banyak perkara yang harus dipelajari.

“Saya juga ingin bersikap realistik dan jujur bahawa membina semula daripada situasi sebegini tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

“Ia akan mengambil masa untuk saya menstabilkan semula operasi, membina semula dengan betul, dan berusaha secara progresif ke arah menyelesaikan urusan dengan penuh tanggungjawab bagi semua pihak yang terkesan,” katanya.

BH difahamkan bahawa sekurang-kurangnya 12 klien sebuah agensi pemasaran setempat tampil mendakwa projek mereka tergendala atau tidak menerima khidmat seperti yang dijangkakan.

Beberapa individu tersebut juga telah membuat laporan polis berhubung projek melibatkan agensi tersebut.

BH difahamkan jumlah kontrak bagi pelanggan ini adalah sebanyak $173,200, dan bayaran balik berjumlah $34,368 telah diberikan kepada lima pelanggan – empat menerima bayaran balik penuh manakala seorang menerima sebahagian sahaja.

BH telah menghubungi pihak polis dan difahamkan siasatan sedang dijalankan.