Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu projek tergendala: Pemilik BrandTok beri penjelasan, nafi dakwaan menipu
Isu projek tergendala: Pemilik BrandTok beri penjelasan, nafi dakwaan menipu
BrandTok hadapi cabaran operasi dan kewangan, jejaskan komunikasi dan kelancaran projek
Isu projek tergendala: Pemilik BrandTok beri penjelasan, nafi dakwaan menipu
Isu mengenai dakwaan kelewatan projek dan tunggakan pembayaran yang membabitkan pemilik BrandTok, Encik Sam Heedy (Noor Hidayat Samion), kini tular dan hangat diperdebatkan di media sosial.
Ketika diminta mengulas oleh Berita Harian (BH), beliau mengakui bahawa syarikatnya sedang berdepan cabaran operasi dan kekangan kewangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurutnya, situasi tersebut secara langsung telah menjejas aspek komunikasi, pengurusan tenaga kerja, serta kelancaran pelaksanaan projek di bawah kendalian syarikatnya.
“BrandTok mengalami kesukaran operasi dan kewangan dalaman yang menjejas beberapa kempen, termasuk garis masa dan komunikasi,” katanya.
Isu membabitkan BrandTok mula mendapat perhatian ramai selepas seorang usahawan tempatan meluahkan rasa kecewa di media sosial.
Beliau mendakwa syarikat pencipta kandungan dan pemasaran digital tersebut gagal menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan, meskipun bayaran hampir $10,000 telah dijelaskan.
Pemilik akaun @kaise.store, Cik Noor Shazniah Rahmat, 39 tahun, berkata beliau telah membuat bayaran sebanyak $8,800 pada 22 Disember 2025 untuk pakej penghasilan 20 video TikTok bersama tiga video tambahan percuma.
“Saya selalu nampak iklan syarikat mereka, dan video testimoni dari pemilik restoran Kucina, sangat meyakinkan. Saya tidak tahu cara media sosial dan algoritmanya berfungsi, itulah sebabnya saya memutuskan untuk mendapatkan mereka untuk membantu pemasaran saya,” katanya kepada BH sewaktu dihubungi.
Menurutnya, syarikat itu tidak mengotakan janji yang telah dipersetujui.
Meskipun projek itu dijanjikan siap sepenuhnya pada penghujung Januari, Cik Shazniah hanya menerima tiga video, diikuti empat lagi video pada bulan Februari.
Selepas itu, tiada sebarang kandungan baharu diterima hingga sekarang.
“Yang paling mengecewakan bukan sekadar video tidak siap, tetapi prosesnya sendiri.
“Saya terpaksa berulang kali mengejar mereka untuk jawapan, kemas kini dan urusan penggambaran. Permintaan bayaran balik juga ditolak atas dasar syarikatnya berada dalam situasi kewangan yang tidak baik,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Berhubung melalui wadah perbualan Whatsapp, Encik Sam menjelaskan bahawa semua pelanggan telah melalui proses perjanjian rasmi sebelum projek bermula, termasuk skop kerja dan dasar tiada pemulangan bayaran selepas produksi dimulakan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian pelanggan telah bersetuju untuk meneruskan projek masing-masing selepas pihaknya menawarkan pelan kerja semula sebagai langkah penyelesaian.
Apabila ditanya mengenai dakwaan salah laku, beliau menolak tuduhan tersebut.
“Adalah benar terdapat masalah operasi yang menjejas beberapa projek, tetapi dakwaan bahawa BrandTok menipu pelanggan adalah tidak tepat,” katanya.
Beliau menegaskan syarikat itu telah beroperasi beberapa tahun dan bekerjasama dengan lebih 100 pelanggan, dengan pelbagai kempen yang berjaya.
Menurutnya, pertikaian yang timbul hanya melibatkan sebilangan kecil projek dalam tempoh operasi yang mencabar.
“Kami terus berhubung dengan pihak terlibat dan mencari penyelesaian yang praktikal,” tambahnya.
Encik Sam juga menafikan dakwaan bahawa syarikat telah menamatkan operasi, meskipun status pada carian Google menunjukkan perniagaan tersebut sebagai “ditutup secara kekal”.
“BrandTok tidak ditutup dan masih beroperasi di Singapura, tetapi kini pada skala lebih kecil,” katanya.
Ketika ini, BrandTok tidak menerima pelanggan baharu, sebaliknya memberi tumpuan pada projek sedia ada sementara proses penstrukturan semula dijalankan.
“Keutamaan kami ialah melaksanakan tanggungjawab yang masih ada dan menstabilkan semula operasi,” katanya.
BrandTok sebelum ini dikenali sebagai agensi pemasaran media sosial yang menonjolkan rekod kejayaan kandungan tularnya.
Antara testimoni utama yang sering ditonjolkan ialah keberkesanan kempen bagi restoran Kucina, yang dijadikan contoh kejayaan strategi pemasaran mereka.
Apabila dihubungi, pemilik restoran Kucina, Cef Gero Di Maria (Mohammed Omar), berkata beliau telah bekerjasama dengan Encik Sam sejak 2023 untuk rekaan menu dan kandungan visual, termasuk video pemasaran ketika era TikTok mula berkembang pesat.
“Berdasarkan pengalaman saya sejauh ini, beliau tidak pernah mengecewakan. Jadi saya sendiri terkejut dengan apa yang sedang diperkatakan,” katanya yang menggunakan perkhidmatan produksi video syarikat tersebut.
“Sekarang saya membuat video saya sendiri, tetapi ada kalanya saya menggunakan perkhidmatan mereka, terumata untuk projek kolaborasi yang lebih besar,” kata Cef Gero.
Namun begitu, Cef Gero mengingatkan bahawa kejayaan kandungan video tidak bergantung hanya kepada video itu sendiri, tetapi faktor lain seperti strategi kandungan, dan personaliti.
Pengguna Daniel Yeow, mendakwa beliau membayar deposit 50 peratus daripada kos $10,500 yang dikenakan untuk 60 video TikTok.
Namun Encik Yeow hanya menerima satu draf yang tidak memenuhi standard dipersetujui.
Menurut beliau, selain kegagalan mematuhi tarikh akhir, sesi penggambaran juga kerap tertangguh manakala komunikasi daripada pihak syarikat menjadi semakin tidak jelas.
Beliau juga mendakwa bayaran dipulangkan hanya selepas membawa kes ke Tribunal Tuntutan Kecil (SCT).
Sementara itu, syarikat kunci pintu digital, Kaadas Singapore, turut tampil dalam ruang komen dengan mendakwa BrandTok masih mempunyai bayaran tertunggak sebanyak $8,577.50.
Jumlah tersebut berdasarkan keputusan mahkamah di Singapura yang masih belum diselesaikan sehingga kini.
Buat waktu ini, Cik Shazniah tidak mahu lagi mengaitkan syarikatnya dengan BrandTok dan juga tidak berharap mendapatkan wangnya semula.
“Biarlah ini urusan Allah. Saya mahu fokus dengan perniagaan dan saya tidak mahu lagi mengejarnya. Saya buat video itu untuk memberi kesedaran kepada peniaga lain, supaya lebih berhati-hati di masa depan,” katanya.
