Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsli ke tak? Gaya rambut ‘mohawk’ ejen hartanah curi tumpuan
Asli ke tak? Gaya rambut ‘mohawk’ ejen hartanah curi tumpuan
Asli ke tak? Gaya rambut ‘mohawk’ ejen hartanah curi tumpuan
Apa yang bermula sebagai cara santai untuk memberi diri motivasi akhirnya menjadi detik tular yang tidak disangka bagi ejen hartanah, Encik Muhammad Adam Kamsani.
Setiap bulan, beliau memuat naik pencapaian ‘Super Gold Award’ – anugerah bagi para ejen hartanah daripada agensi OrangeTee yang meraih komisen sebanyak lima angka.
Namun untuk lari daripada gaya hantaran yang biasa di media sosial, Encik Adam tampil dengan kelainan; mengenakan rambut luar biasa bagi hantaran tersebut.
Untuk pencapaian bulan Mac, beliau muncul dengan gaya rambut ‘mohawk’ yang tinggi mencanak.
Gambar berserta kapsyen ‘Model kalendar bulan Mac: Mr High Selling Mohawk’ itu telah mencuri perhatian ramai sehingga meraih lebih 8,000 tanda suka, malah mendapat perhatian daripada pengguna media sosial di luar Singapura.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Adam atau lebih dikenali dengan tagline ‘Adam KasiGo’, berkata:
“Saya tidak sangka hantaran tersebut menjadi viral. Geli hati saya saya membaca komen daripada para netizen,” katanya.
Namun, di sebalik penampilan mencuri tumpuan itu, rambut tersebut sebenarnya bukanlah asli, sebaliknya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Ada juga beberapa syarikat minyak rambut yang menawarkan peluang untuk bekerjasama.
“Ada yang ‘terpedaya’ dengan penampilan saya hingga menganggap ia merupakan rambut asli saya,” ujarnya.
Sebelum ini, beliau juga pernah tampil dengan gaya yang berbeza termasuk rambut panjang seperti ‘rockers’ serta misai melengkung seakan logo snek ‘Pringles’ bagi hantaran anugerah tersebut buat bulan-bulan yang sebelumnya.
Di sebalik unsur jenaka itu, ada strategi.
Dengan lebih sedekad pengalaman dalam industri – kini bersama OrangeTee selepas berkhidmat di ERA dan PropNex – Encik Adam sebenarnya menetapkan sasaran peribadi: memenangi anugerah tersebut setiap bulan sepanjang 2026.
Konsep “model kalendar” dengan 12 gaya rambut berbeza pula menjadi cara untuk kekal konsisten – sambil mencuri perhatian dalam ruang media sosial yang sering dipenuhi hantaran pencapaian yang serupa.
Idea-idea gaya rambutnya datang daripada rakan sekerja, perbincangan santai pasukan, dan juga rujukan kepada budaya pop.
Kedepannya, Encik Adam merancang dan berharap untuk mengumpulkan kesemua 12 gaya itu menjadi sebuah kalendar.
“Mungkin untuk dikongsi, mungkin juga saya nak jual,” katanya berseloroh.
Di ruangan komen pula, pelbagai reaksi lucu ditinggalkan netizen.
Pengguna bernama ‘jaanotgud’ berkata: “buka (ruang) komen pun nampak lagi rambut.”
Malah, Penasihat M³@Punggol, Encik Ahmad Firdaus Daud juga tampil dengan komen : “rambutnya menunjuk ke arah masa depan. Tegak menjulang ke atas.”
