Topik diikuti
Pergi ke BHku3 pelajar RP cerita bagaimana mereka jejaki remaja perempuan hilang di Pasir Ris
3 pelajar RP cerita bagaimana mereka jejaki remaja perempuan hilang di Pasir Ris
3 pelajar RP cerita bagaimana mereka jejaki remaja perempuan hilang di Pasir Ris
Apakah kebarangkalian untuk terserempak dengan individu yang dilaporkan hilang ketika sedang berkhemah di pantai?
Itulah pengalaman luar biasa yang dilalui tiga pelajar politeknik apabila mereka menemui dua remaja perempuan yang sebelum ini dilaporkan hilang di Pasir Ris.
Pelajar Politeknik Republic, Encik Muhd Danyal Ng, 23 tahun; Encik Kenric Tan, 22 tahun; dan Encik Ariel Pharrell, 20 tahun; sedang berkhemah di Taman Pasir Ris pada malam 28 April apabila mereka terserempak dengan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang.
Remaja perempuan itu adalah El Amrithanjali, 14 tahun, dan Daeng Nur’adriani Daeng Muhammad Fairus, 13 tahun.
“Pada lewat malam ketika kami sedang meneroka kawasan pantai berhampiran Campsite 3, dua remaja perempuan menghampiri kami dan bertanya tentang waktu pada masa itu,” kata Encik Danyal ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut beliau, peristiwa itu berlaku sekitar 11.45 malam.
Tidak lama kemudian, beliau dan rakannya terserempak dengan kedua-dua remaja itu yang dilihat berjalan berhampiran sebuah tempat barbeku.
Encik Danyal berkata rakannya, Encik Kenric, bertanya kedua-dua remaja perempuan tersebut sama ada mereka memerlukan bantuan.
Kedua-dua perempuan itu kemudian bertanya sama ada mereka mempunyai akaun Instagram dan jika mereka pernah melihat laporan mengenai remaja hilang.
“Kami terkejut kerana kami tidak tahu tentang kes remaja hilang yang sedang berlaku.
“Saya kemudian bertanya kepada mereka, ‘Adakah kamu sedang mencari rakan kamu yang hilang?’ Mereka menjawab, ‘Tidak’.
“Saya rasa curiga jadi saya bertanya, ‘Adakah kamu berdua remaja yang dilaporkan hilang?’ Sebaik sahaja mereka mendengar soalan itu, mereka terus beredar,” jelas beliau.
Setelah itu, Encik Danyal berkata beliau dan kedua-dua rakannya mula berasa semakin curiga dan segera mencari maklumat dalam talian.
Apabila mereka menemui artikel mengenai dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang, Encik Danyal dan rakannya segera memaklumkan polis.
Menurutnya, mereka turut membantu dengan memerhatikan pergerakan kedua-dua remaja perempuan itu dari jauh secara berhati-hati tanpa pengetahuan mereka sehingga pihak polis tiba.
Encik Danyal telah merakam pengalaman mereka bertiga menerusi laman TikTok beliau, danyd1p dengan video itu meraih lebih 8,700 tanda suka serta hampir 4,000 perkongsian.
“Kami amat menghargai segala pujian daripada semua orang terhadap tindakan kecil kami itu.
“Namun, fokus utama sepatutnya adalah kedua-dua remaja berada dalam keadaan selamat.
“Kami hanya gembira dapat memainkan peranan kami dan juga bertuah kerana kebetulan sedang berkhemah pada hari yang sama,” kongsi Encik Danyal.
