Topic followed successfully
Go to BHkuUsahawan Johor digesa rebut peluang JS-SEZ
Usahawan Johor digesa rebut peluang JS-SEZ
Usahawan Johor digesa rebut peluang JS-SEZ
JOHOR BAHRU: Usahawan Bumiputera di Johor digesa merebut peluang pertumbuhan ekonomi yang semakin terbuka, khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), bagi melangkah ke pasaran lebih luas termasuk ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata negeri itu kini berada pada landasan kukuh dengan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan, sekali gus membuka ruang besar kepada usahawan tempatan.
“Johor kini berada pada landasan yang sangat kukuh dengan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan, termasuk melalui inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah membuka akses pasaran baharu yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.
“Ini bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, tetapi lebih penting membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2026, anjuran Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor, di sebuah hotel di sini pada 1 April.
Menurut beliau, kekuatan sebenar masyarakat usahawan Johor terletak pada semangat kebersamaan dan sokongan antara satu sama lain.
“Inilah kekuatan sebenar yang perlu kita pelihara; usahawan yang bukan sahaja berjaya secara individu, tetapi bergerak sebagai satu ekosistem yang saling menyokong,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kekal komited memperkasa sektor keusahawanan sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.
“Melalui pelbagai agensi termasuk Perbadanan Usahawan Johor dan rakan strategik, kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong usahawan,” katanya.
Antara inisiatif tersebut termasuk penyediaan pembiayaan dan akses modal kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, program pembangunan kapasiti serta latihan keusahawanan.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan platform pemasaran berskala besar serta menggalakkan pendigitalan perniagaan bagi memastikan usahawan kekal berdaya saing.
“Semua ini selari dengan aspirasi Agenda Maju Johor 2030 yang menekankan pembangunan ekonomi menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru usahawan agar bersedia menghadapi peringkat pertumbuhan baharu dengan lebih berani dan berdaya inovasi.
“Kita tidak boleh sekadar berniaga untuk bertahan, tetapi perlu berniaga untuk berkembang, berinovasi dan menembusi pasaran sejagat,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan kerajaan negeri sedang merangka beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan di Johor.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan berkongsi berita baik yang lebih besar dan penting kepada seluruh usahawan Johor,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi pembiayaan, malah melibatkan pembangunan kapasiti, jaringan perniagaan dan peluasan pasaran.

