Topic followed successfully
Go to BHkuPemuda Umno terbuka terima kemasukan semula tokoh lama
Pemuda Umno terbuka terima kemasukan semula tokoh lama
Pemuda Umno terbuka terima kemasukan semula tokoh lama
Pergerakan Pemuda Umno menyatakan pendirian terbuka terhadap kemasukan semula beberapa tokoh lama ke dalam parti, sambil menegaskan ia tidak menjejas peluang golongan muda untuk terus diketengahkan di dalam pilihan raya.
Naib Ketua Pemuda Umno, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata perkara itu mencerminkan sifat keterbukaan kepimpinan tertinggi parti dalam menerima kembali mana-mana individu yang ingin menyumbang.
“Bagi saya, perkara utama adalah keterbukaan Presiden dan parti. Namun begitu, pucuk pimpinan tetap akan memilih yang terbaik untuk diketengahkan,” katanya kepada pemberita pada 29 Mac.
Beliau berkata kehadiran semula nama-nama besar ke dalam parti bukan satu ancaman, sebaliknya boleh memperkukuh perjuangan Umno dalam mendekati rakyat.
“Kita lihat hari ini ramai yang kembali ke dalam ‘rumah besar’ Umno. Saya berpandangan ini satu perkembangan yang baik kerana ia menunjukkan keyakinan terhadap parti,” katanya.
Menurut Encik Mohd Hairi, Umno juga kini memberi ruang lebih luas kepada calon muda yang dilihat lebih mudah mendekati pengundi, khususnya generasi baharu.
“Apabila calon-calon muda diketengahkan, mereka lebih mudah mendapat sokongan dan kepercayaan pengundi di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut merujuk kejayaan parti dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini yang disifatkan sebagai bukti pendekatan tersebut membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, kita berjaya memenangi hati rakyat di beberapa kawasan sebelum ini. Ini menunjukkan strategi yang dilaksanakan berada di landasan yang betul,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyambut baik hasrat mana-mana tokoh lama yang ingin kembali menyertai parti, dengan menegaskan proses penilaian tetap akan dilakukan oleh kepimpinan tertinggi.
“Saya ucapkan selamat kembali kepada mereka yang ingin bersama semula Umno.
“Akhirnya, segala keputusan bergantung kepada kebijaksanaan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi untuk menilai kesesuaian setiap individu,” katanya.
Ditanya mengenai kuota Pemuda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Encik Mohd Hairi berkata bagi Pemuda Umno, persaingan dalam parti adalah sesuatu yang sihat selagi ia membawa kepada pengukuhan pertubuhan dan kemenangan dalam pilihan raya.
“Kita menerima persaingan secara terbuka. Apa yang penting ialah usaha bersama untuk memenangi hati rakyat,” katanya.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, menegaskan prestasi dan rekod perkhidmatan sepanjang tempoh empat tahun akan menjadi penilaian utama menjelang pilihan raya akan datang.
“Rakyat boleh menilai sendiri gerak kerja kita selama ini. Ia menjadi satu penanda aras kepada semua bagi menunjukkan prestasi terbaik kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan setiap wakil rakyat dan jentera parti terus bekerja kuat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kita mahu pastikan segala usaha yang dilakukan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap parti,” katanya.
PRN Johor 2022 menyaksikan BN menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH menang 12 kerusi diikuti Perikatan Nasional (3) dan satu oleh Muda.
Pada 2025, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya.
“
“Bagi saya, perkara utama adalah keterbukaan Presiden dan parti. Namun begitu, pucuk pimpinan tetap akan memilih yang terbaik untuk diketengahkan. Kita lihat hari ini ramai yang kembali ke dalam ‘rumah besar’ Umno... Saya berpandangan ini satu perkembangan yang baik kerana ia menunjukkan keyakinan terhadap parti.”
