SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Adun Permas cadang perluasan Bas Muafakat, bantu pekerja ulang-alik ke S’pura

Adun Permas cadang perluasan Bas Muafakat, bantu pekerja ulang-alik ke S’pura

Mar 27, 2026 | 1:17 PM

Adun Permas cadang perluasan Bas Muafakat, bantu pekerja ulang-alik ke S’pura

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Cadangan memperluas laluan Bas Muafakat Johor termasuk ke kawasan perindustrian dan pintu masuk sempadan wajar dipertimbangkan bagi membantu pekerja ulang-alik ke Singapura, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib.

Beliau berkata inisiatif itu boleh mengurangkan beban pekerja yang terpaksa keluar seawal 4 pagi untuk ke tempat kerja di Singapura.

“Kalau kita boleh bantu mereka jimat masa perjalanan dua jam, sekurang-kurangnya mereka tidak perlu keluar terlalu awal dan dapat sedikit keselesaan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurutnya, perkhidmatan Bas Muafakat Johor yang kini ditawarkan secara percuma boleh dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk oleh pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat laluan tertentu yang belum meliputi kawasan industri dan memerlukan penambahbaikan berdasarkan permintaan pengguna.

“Kalau ada permintaan, kita boleh cadangkan laluan tambahan dan perkara ini sedang dibincangkan bersama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ),” katanya.

Beliau berkata cadangan tersebut ketika ini dibincangkan di peringkat Mesyuarat Tindakan Daerah sebelum dipertimbangkan untuk pelaksanaan.

Dalam masa sama, Encik Baharudin menegaskan pengangkutan awam yang cekap perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi menangani masalah kesesakan trafik yang semakin meruncing.

“Walaupun jalan diperbesar, kesesakan tetap akan berlaku. Penyelesaian utama adalah pengangkutan awam yang cekap seperti bas dan kereta api,” katanya.

Beliau berkata keadaan kesesakan di Lebuhraya Pasir Gudang yang sering berlaku walaupun telah dinaik taraf menunjukkan bahawa pembesaran jalan sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah trafik dalam jangka panjang.

“Walaupun lebuh raya ditambah kepada tiga lorong sekalipun, dalam tempoh lima hingga 10 tahun kesesakan akan berlaku semula kerana pertambahan jumlah kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat keperluan mendesak untuk memperkenalkan alternatif pengangkutan awam termasuk perkhidmatan komuter dari Pasir Gudang ke Kempas Baru bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Menurutnya, cadangan perkhidmatan komuter itu masih di peringkat kajian, namun ia dilihat sebagai antara langkah penting untuk menyediakan pilihan perjalanan yang lebih cekap kepada penduduk.

“Jika sistem rel ini dapat direalisasikan, ia akan memudahkan pergerakan rakyat dan mengurangkan kesesakan di laluan utama,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan laluan khas untuk bas diwujudkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, selain memperkukuh penggunaan sistem rel sebagai pilihan utama rakyat.

Encik Baharudin turut membangkitkan keperluan pembinaan jambatan baru di kawasan Permas dengan anggaran kos sekitar RM212 juta ($68 juta) bagi mengurangkan kesesakan di laluan sedia ada.

“Dalam jangka panjang, kerajaan perlu memberi fokus kepada sistem pengangkutan awam yang menyeluruh kerana itulah penyelesaian sebenar kepada masalah kesesakan,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg