Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuspek pukul isteri hingga keguguran pernah kahwin 9 kali
Suspek pukul isteri hingga keguguran pernah kahwin 9 kali
Suspek pukul isteri hingga keguguran pernah kahwin 9 kali
ALOR SETAR (Kedah): Siasatan polis terhadap seorang suspek kes pukul isteri sehingga parah dan mengalami keguguran di Sungai Petani, Kedah, minggu lalu, membongkar modus operandi lelaki itu yang menyasarkan wanita penjawat awam untuk dijadikan isteri bagi menyara hidupnya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu telah berkahwin sebanyak sembilan kali dan kesemua isteri serta bekas isterinya bekerja sebagai penjawat awam.
Polis turut mengesahkan suspek ialah lelaki yang sama terlibat dengan kes pukul isteri, iaitu Cik Jahidah Nordin sehingga koma di Larkin, Johor pada 2021.
“Suspek difahamkan masih mempunyai tiga isteri dan pernah berkahwin sebanyak sembilan kali. Suspek mencari pasangan yang mempunyai kerja tetap kerana dia tidak mempunyai kerja yang stabil.
“Apa yang boleh kami katakan, suspek ini seorang yang panas baran kerana mempunyai empat rekod jenayah lampau yang melibatkan Seksyen 325 Kanun Keseksaan (kerana mendatangkan cedera parah) dan Seksyen 323 (kerana menyebabkan kecederaan).
“Selain itu suspek turut mempunyai rekod kes Seksyen 318 (menyembunyikan kelahiran secara rahsia) dan Seksyen 506 (kerana ugutan jenayah),” katanya pada sidang media, mengikut laporan di laman web Astro Awani.
Beliau berkata polis berjaya menahan suspek di sebuah inap desa di di Alor Setar pada 28 April, menyusuli laporan yang dibuat oleh abang mangsa pada 23 April dan mangsa sendiri pada 26 April.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian keganasan rumah tangga sehingga mendatangkan kecederaan parah melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang dipukul oleh suaminya di Ambangan Heights di Sungai Petani.
“Pada awalnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, tetapi ia telah ditukar kepada Seksyen 326 (menyebabkan kecederaan dengan senjata) kanun sama, selepas mendapati mangsa dipukul menggunakan beberapa objek
“Ia termasuk antaranya batang besi dan penyangkut baju plastik sehingga menyebabkan mangsa lebam di seluruh badan, patah rusuk bahagian kiri, kanan dan tulang belakang serta keguguran,” katanya.
Beliau berkata suspek yang mempunyai 11 anak ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Mei depan untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita cedera dipercayai dipukul suaminya sehingga kandungannya gugur dan mengalami kecederaan pada tangan dan lebam pada muka,
Suspek juga didakwa melarikan barang kemas dan wang simpanan mangsa berjumlah hampir RM50,000 ($16,149).
