Kurang sejam selepas sayap mahasiswa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), mengeluarkan kenyataan mendakwa hilang keyakinan terhadap parti itu di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiausaha agung sayap itu, Encik Aqeef Salih, tampil menafikannya.

Terdahulu, MKM mengeluarkan kenyataan menyatakan selepas menilai hala tuju parti, mereka percaya PKR semakin tersasar daripada semangat reformasi asal.

“Parti yang suatu ketika dahulu membawa semangat reformasi, keberanian melawan penyalahgunaan kuasa dan perjuangan membela suara rakyat, kini semakin jauh daripada prinsip perjuangan asal.

“Ianya pernah diyakini oleh ramai anak muda dan mahasiswa, tetapi kini kami hilang keyakinan,” menurut kenyataan yang turut dimuat naik di akaun Instagram rasmi MKM pada 10 Mei, lapor portal berita Malaysiakini.

Bagaimanapun, Encik Aqeef menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya berkata kenyataan media terdahulu itu tidak mewakili pendirian rasmi sayap berkenaan.

“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM.

“Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri, dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi.

“Lebih memalukan, kenyataan tersebut langsung tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya.

“Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik.

“Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi mahasiswa,” katanya dalam kenyataan itu.

Encik Aqeef berkata MKM sentiasa menjunjung disiplin organisasi, etika perjuangan dan proses demokrasi yang matang, sambil menegaskan pandangan peribadi tidak boleh dijadikan pendirian rasmi sayap tanpa mandat serta persetujuan bersama.

“MKM tidak akan sesekali membenarkan platform perjuangan mahasiswa diperalat untuk kepentingan politik individu tertentu.

“MKM sebagai sayap mahasiswa PKR akan sentiasa menghormati institusi Presiden dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Anwar yang juga Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, pihak sekretariat akan meneliti perkara ini dengan serius, termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama MKM tanpa kebenaran.

“MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti,” tambahnya.

Kenyataan awal yang menyatakan hilang keyakinan terhadap Datuk Anwar turut menyeru seluruh anak muda dalam PKR, khususnya mahasiswa, supaya menilai semula pendirian masing-masing.

“Kami menyeru agar semua pihak bermuhasabah dengan jujur tentang hala tuju perjuangan yang sedang dibawa hari ini.

“Kesetiaan kepada perjuangan tidak seharusnya mengatasi keberanian untuk mempertahankan prinsip,” menurut kenyataan itu.

PKR menubuhkan MKM pada 2012 bagi mewakili suara mahasiswa universiti awam dan swasta.

Sejak ditubuhkan, MKM secara konsisten memperjuangkan isu berkaitan kebajikan pelajar, kebebasan akademik dan keadilan sosial.