SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Majlis dihadiri Ketua SPRM dikawal ketat susulan protes ‘Tangkap Azam Baki’

Majlis dihadiri Ketua SPRM dikawal ketat susulan protes ‘Tangkap Azam Baki’

Bagi elak berulang kekecohan semasa acara awal sebelum ini
Apr 14, 2026 | 6:42 PM

Majlis dihadiri Ketua SPRM dikawal ketat susulan protes ‘Tangkap Azam Baki’

BANGI (Selangor): Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), di Bangi, Selangor, yang dihadiri Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berlangsung dengan kawalan keselamatan ketat oleh pihak berkuasa.

Difahamkan, kawalan ketat itu bagi mengelakkan kekecohan yang berlaku semasa Wacana Ilmiah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, yang dihadiri Tan Sri Azam. pada 7 April lalu, daripada berulang.

SPRM dilapor mengerahkan skuad taktikal khas serta memperketat kawalan keselamatan pada acara itu yang menampilkan Tan Sri Azam pada 14 April.

Tinjauan mendapati setiap pintu masuk di tempat majlis berkenaan menempatkan kawalan daripada pasukan keselamatan SPRM, selain turut kelihatan Polis Bantuan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Petugas media yang hadir juga perlu mendaftar dan diberi pas khas sebelum dibenarkan membuat liputan, lapor agensi media Malaysia.

Majlis yang bermula 8.30 pagi itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan yang tidak diingini.

Seramai 486 pegawai dari sektor awam dan swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang semuanya berpakaian jubah konvokesyen, menerima sijil setelah menamatkan program CeIO 2025 selepas mengikuti program anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca).

Dalam ucapannya, Tan Sri Azam berkata para pegawai tersebut mampu membantu memperkukuh kawalan dalaman serta memupuk integriti dalam organisasi masing-masing.

“Program CelO ini dirangka secara menyeluruh bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan.

“Malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara berkesan,” katanya di majlis itu.

Tan Sri Azam berkata Maca telah membangunkan Arahan Perdana Menteri 2026 yang baru bagi program CeIO untuk memastikan ia selaras dengan agenda nasional.

Terdahulu dalam kejadian pada 7 April lalu, tiga individu ditahan selepas mengangkat plakad ‘Tangkap Azam Baki’, ketika beliau menyampaikan ucaptama pada acara Wacana Ilmiah Perdana.

Dua lelaki dilaporkan tiba-tiba bangun dan mengangkat sepanduk yang mengecam Tan Sri Azam. Mereka turut melaungkan beberapa kenyataan terhadap beliau.

Dalam kejadian itu suasana dewan bertukar tegang apabila salah seorang daripada individu terbabit bertindak menjerit sambil cuba meluru ke hadapan pentas.

Ketiga-tiga mereka iaitu penyelaras badan bukan kerajaan, Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri), Encik Hamdin Nordin, dan Encik Fakrurrazzi Khairur Rijal; serta aktivis Liga Mahasiswa Malaysia, Encik Ahsanul Akmal Sulam, telah ditahan, sebelum dibebaskan pada 9 April.

Mereka kini disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam, menceroboh, melakukan provokasi serta mengganggu ketenteraman awam.

Tan Sri Azam sebelum ini menjadi tumpuan selepas media antarabangsa Bloomberg melaporkan pendedahan yang didakwa berhubung isu pegangan saham Ketua SPRM itu yang didakwa melebihi had dibenarkan ke atas penjawat awam.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg