Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiasatan kes pelaburan RM1.1b didakwa libat Rafizi selesai
Siasatan kes pelaburan RM1.1b didakwa libat Rafizi selesai
SPRM teliti kemungkinan pelanggaran SOP atau tatacara pentadbiran kerajaan dalam proses keputusan
Siasatan kes pelaburan RM1.1b didakwa libat Rafizi selesai
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak kerajaan bernilai RM1.1 bilion ($360 juta) dilihat memasuki fasa penting.
Proses rakaman percakapan selama empat hari membabitkan Ahli Parlimen Pandan (Kuala Lumpur) itu kini selesai dan siasatan SPRM dikatakan berada pada peringkat akhir, sebelum tindakan selanjutnya, termasuk pendakwaan terhadap pihak terlibat, diambil.
Tumpuan siasatan terhadap Datuk Rafizi, yang menurut beliau sendiri lebih menjurus kepada proses dan prosedur membuat keputusan, termasuk mesyuarat, dokumen serta minit, membayangkan kes itu berlegar dalam ruang tadbir urus dan pematuhan prosedur, bukan sekadar isu transaksi kewangan.
Ia memberi gambaran bahawa penelitian SPRM terhadap Datuk Rafizi lebih kepada sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau amalan membuat keputusan yang tidak mengikut tatacara pentadbiran kerajaan.
“Tumpuan (siasatan) ialah proses dan prosedur membuat keputusan… tidak ada elemen wang langsung,” kata Datuk Rafizi, mengulas fokus siasatan SPRM terhadap beliau, sepanjang empat hari berturut-turut, yang memberi keterangan kepada agensi penguat kuasa rasuah itu sejak 4 hingga 7 Mei.
“Kalau kita memang tak ambil duit, maka tak ada money trail (jejak wang), atau bukti kekayaan mahupun kemewahan,” kata Datuk Rafizi.
Siasatan terhadap Datuk Rafizi berpunca daripada dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan antara Kementerian Ekonomi semasa beliau menerajuinya, dengan syarikat ARM Holdings (ARM) dalam perjanjian strategik industri semikonduktor bernilai RM1.1 bilion.
Datuk Rafizi, mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), meletak jawatan Menteri Ekonomi pada Jun 2025, selepas gagal mempertahan jawatan dan tewas di tangan mantan Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah, yang juga puteri sulung Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pemilihan parti pada Mei 2025.
Sejak tidak lagi berada dalam barisan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Datuk Rafizi lantang mengkritik kerajaan, terutama kepimpinan Datuk Anwar, yang dianggapnya gagal dalam menunaikan janji reformasi yang dibuat sebelum berjaya menerajui kerajaan.
Justeru, ada pandangan mengaitkan kelantangan Datuk Rafizi sebagai punca beliau disiasat SPRM.
Pandangan sama diutarakan bekas Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Ong Kian Ming, yang berpendapat siasatan terhadap Datuk Rafizi itu tidak dapat dipisahkan daripada konteks politik semasa, termasuk kelantangan mantan menteri itu mengkritik kerajaan dan institusi tertentu sejak beliau meninggalkan Kabinet.
Beliau, yang mengakui banyak bercanggah pendapat dengan Datuk Rafizi, berpendapat walaupun projek pelaburan semikonduktor itu mungkin bukan perjanjian terbaik dari sudut rundingan, tiada bukti menunjukkan wujud manfaat kewangan kepada Datuk Rafizi atau individu terlibat.
“Saya tidak fikir Datuk Rafizi akan dipanggil ke SPRM dan ‘dikritik’ jika beliau tidak meletak jawatan daripada Kabinet dan mula menonjolkan beberapa kelemahan kerajaan semasa terutama berkaitan isu-isu berkaitan SPRM itu sendiri, termasuk Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam,” kata Encik Ong di Facebook pada 7 Mei.
Walaupun mendakwa tidak dimaklumkan mengenai sebarang kemungkinan beliau akan menghadapi pendakwaan menyusuli siasatan SPRM terhadapnya, Datuk Rafizi secara sinis di Facebook rasmi beliau telah menyatakan kesediaan untuk ke mahkamah bagi menghadapi sebarang pendakwaan.
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang bakal tamat kontrak perkhidmatan pada 12 Mei ini, mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu berhubung siasatan membabitkan urus niaga pelaburan RM1.1 bilion dengan ARM, gergasi semikonduktor Britain.
Namun, Tan Sri Azam tidak mengesahkan ketika ditanya sama ada Datuk Rafizi antara dua individu yang dimaksudkan bakal didakwa.
Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan, berkata dalam kes berprofil tinggi seperti ini, ketiadaan penahanan tidak semestinya bermaksud individu tersebut bebas daripada sebarang tindakan undang-undang.
Sebaliknya, beliau berkata siasatan masih boleh diteruskan berdasarkan maklumat dan keterangan saksi lain.
“Walaupun belum ditahan, itu tidak bermaksud beliau tidak akan dituduh.
“Namun lazimnya, apabila individu peringkat tertinggi dipanggil memberi keterangan, ia adalah hasil daripada keterangan atau maklumat daripada pegawai di bawah atau saksi lain,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Mengulas lanjut, Profesor Azmi berkata kenyataan Datuk Rafizi bahawa siasatan tidak melibatkan unsur kewangan dan lebih menjurus kepada isu tadbir urus dan proses membuat keputusan dilihat selari dengan pendekatan siasatan yang sedang dijalankan, berdasarkan maklumat setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa walaupun aspek yang disiasat mungkin berkaitan tadbir urus, ia masih dalam ruang lingkup siasatan SPRM dan tidak boleh dianggap sebagai penutup kepada kemungkinan tindakan lanjut pada masa hadapan.
Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk Encik James Chai, yang juga penganalisis politik dan Datuk Rafizi.
Dalam konteks politik semasa, siasatan tanpa pertuduhan tetap memberi impak reputasi kepada pemimpin politik berprofil tinggi, khususnya apabila ia melibatkan projek berskala besar dan pertuduhan berkaitan keputusan kerajaan.
Penganalisis politik berpandangan siasatan SPRM terhadap Datuk Rafizi bukan sekadar isu undang-undang, sebaliknya turut membentuk satu ‘perang persepsi politik’ yang lebih luas.
Menurut Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, perkembangan kes itu mudah dimanipulasi dalam ruang naratif politik.
Ia pada pandangan beliau sama ada untuk menggambarkan kelemahan agenda reformasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar, atau membina persepsi bahawa terdapat unsur salah guna kuasa terhadap Datuk Rafizi, walaupun siasatan masih belum dimuktamadkan.
Dalam masa sama, beliau melihat isu itu turut memperlihatkan ketegangan lama dalam PKR, antara pendekatan politik pragmatik dengan idealisme reformasi, yang menurutnya semakin terserlah dalam beberapa keputusan politik kebelakangan ini.
“Pada masa ini banyak bermain dengan persepsi. Satu pihak cuba menggambarkan kerajaan Datuk Anwar lebih mementingkan politik berbanding reformasi.
“Satu pihak lagi dilihat bermain dengan naratif yang mengaitkan isu ini dengan unsur salah laku Datuk Rafizi, walaupun siasatan masih berjalan,” katanya kepada (BH).
Menurutnya, dalam konteks politik semasa, setiap perkembangan siasatan berprofil tinggi mudah ditafsir sebagai isyarat politik, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai spekulasi termasuk dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, walaupun perkara itu belum dibuktikan.
Profesor Ahmad Fauzi turut mengaitkan perkembangan kes tersebut dengan dinamik dalaman PKR, khususnya perbezaan pendekatan politik antara Datuk Rafizi dengan kepimpinan parti, termasuk isu dasar yang sebelum ini menjadi perdebatan terbuka.
Menurutnya, perbezaan pandangan tersebut telah lama wujud dan semakin ketara dalam beberapa perkembangan politik kebelakangan ini, yang turut memberi kesan kepada persepsi terhadap hala tuju reformasi parti.
Beliau turut menegaskan bahawa kes berprofil tinggi seperti itu boleh memberi kesan kepada sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan golongan profesional, yang merupakan antara penyokong utama Pakatan Harapan (PH).
“Datuk Rafizi mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi bandar dan golongan terpelajar.
“Jika persepsi ini berterusan, ia boleh memberi kesan kepada sokongan politik terhadap PH dan PKR dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengulas kemungkinan kesan jangka panjang, beliau berkata walaupun sebarang pertuduhan belum diputuskan, kesan terhadap reputasi politik seseorang tokoh boleh berlaku lebih awal melalui pembentukan persepsi awam.
“Dalam politik, persepsi kadang-kadang lebih cepat daripada keputusan undang-undang. Walaupun tidak bersalah, kerosakan reputasi boleh berlaku terlebih dahulu,” katanya.
Profesor Ahmad Fauzi dalam nada berani juga tidak menolak kemungkinan wujud cubaan menyingkirkan Datuk Rafizi daripada PKR yang dilihat tidak lagi seiringan dengan kepimpinan parti.
PKR kini dilihat berdepan pembentukan dua blok pengaruh utama – kem Datuk Anwar dan kem yang dikaitkan dengan Datuk Rafizi.
Perbezaan pendekatan antara dua tokoh utama itu dilihat semakin ketara dalam landskap dalaman parti.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu menyusuli aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa perjanjian projek antara Kementerian Ekonomi dengan ARM itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan dalam syarikat asing berkenaan selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.
Penantian kini tertumpu kepada dua individu yang bakal didakwa dalam kes ini.
“
“Walaupun belum ditahan, itu tidak bermaksud beliau tidak akan dituduh. Namun lazimnya, apabila individu peringkat tertinggi dipanggil memberi keterangan, ia adalah hasil daripada keterangan atau maklumat daripada pegawai di bawah atau saksi lain.”“
“Pada masa ini banyak bermain dengan persepsi. Satu pihak cuba menggambarkan kerajaan Datuk Anwar lebih mementingkan politik berbanding reformasi. Satu pihak lagi dilihat bermain dengan naratif yang mengaitkan isu ini dengan unsur salah laku Datuk Rafizi, walaupun siasatan masih berjalan.”