Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: Penyokong Umno boleh ‘bantu’ PN tubuh kerajaan negeri
PRN Johor: Penyokong Umno boleh ‘bantu’ PN tubuh kerajaan negeri
Pengarah Pilihan Raya Pas percaya ahli Umno yang tolak kerjasama Umno, DAP bakal jadi kunci buat PN rampas pentadbiran kerajaan negeri
PRN Johor: Penyokong Umno boleh ‘bantu’ PN tubuh kerajaan negeri
MUAR: Penyokong Umno yang menolak kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) boleh ‘membantu’ memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata menerusi bantuan mereka, PN akan dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas PRN.
Jelasnya, yang juga Bendahari Agung PN, walaupun pemimpin Umno menyokong DAP, ahli di peringkat akar umbi didakwa menolak kerjasama Umno dan DAP yang dipanggil `UMDAP’.
Menteri Besar Kedah itu berkata keadaan di Johor juga berbeza dengan keadaan kerajaan di peringkat Pusat kerana tidak wujud Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau percaya di sebalik ketiadaan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, pemimpinnya mempunyai perjanjian secara tersembunyi supaya `UMDAP’ dilihat tidak wujud di Johor.
“Saya rasa kalau orang BN di negeri-negeri selatan menolak DAP dan PH, orang-orang kampung boleh bersama PN dan kita boleh bersama menubuhkan kerajaan di Johor.
“Menteri Besar Johor kawan baik saya. Saya percaya dia orang baik dan kalau dia tidak suka DAP, dia beritahu saya,” dakwanya, lapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom pada 26 April.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal, dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Encik Nornekman Osman.
Datuk Muhammad Sanusi mendakwa kerjasama politik antara Umno dan PH mempunyai sebab lain, iaitu bagi membolehkan seorang pemimpin menjadi Perdana Menteri, manakala seorang pemimpin lagi terlepas daripada kes mahkamah.
Dalam sidang akhbar selepas program berkenaan, Datuk Muhammad Sanusi berkata terdapat beberapa tokoh baru daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang berminat menyertai PN.
Beliau juga memberitahu mereka merupakan beberapa tokoh baru dan terdapat permohonan rasmi yang sudah diterima, namun masih dalam pertimbangan dan belum dibincangkan secara muktamad.
“Ada banyak tokoh besar NGO dan parti-parti yang sedang berkawan dengan kita. Mereka dah buat permohonan, tetapi ini belum dibincangkan lagi.
“Ada yang mohon tetapi belum mengaku secara terbuka. Jadi saya tak boleh cakap lagi, nanti saya maklumkan kemudian,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Pejuang menyertai PN, beliau memberi bayangan rundingan masih berjalan, namun enggan mengesahkan secara terperinci.
Sementara itu, mengenai isu pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Datuk Muhammad Sanusi berkata perkara berkenaan perlu diputuskan Ahli Parlimen pembangkang sendiri dan dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang pada Jun (2026) ini.
Sementara itu, Datuk Mahfodz berkata Pas berhasrat merampas kerusi Parlimen Muar daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, Pas juga akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani pada PRN Johor akan datang.
