Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis rampas bunga ganja, syabu RM17.8j di KLIA, Ampang
Polis rampas bunga ganja, syabu RM17.8j di KLIA, Ampang
6 warga asing berusia antara 17 dengan 31 tahun ditahan
Polis rampas bunga ganja, syabu RM17.8j di KLIA, Ampang
SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya melumpuhkan jaringan penyeludupan narkotik bernilai kira-kira RM17.8 juta ($5.76 juta) selepas enam warga asing, termasuk tiga wanita, dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ampang, Selangor.
Dalam operasi pada 6, 9 dan 10 Mei lalu itu, enam warga asing berusia 17 hingga 31 tahun ditahan selepas bagasi dibawa mereka dikesan mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di KLIA.
“Dalam kes pertama 6 Mei, Polis Bantuan MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) KLIA mengesan tiga bagasi mencurigakan semasa melalui mesin pengimbas.
Menyusuli itu, polis menahan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita warga asing di sekitar terminal itu.
“Pemeriksaan ke atas bagasi terbabit menemukan 66 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 72.6kg dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5.8 juta,” katanya pada sidang media, di Shah Alam, Selangor, lapor Harian Metro.
Dalam serbuan kedua pada 9 Mei, empat bagasi dikesan mencurigakan semasa melalui mesin pengimbas membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dan seorang wanita warga asing di kawasan sama.
“Hasil pemeriksaan ke atas empat bagasi berkenaan, polis jumpa 136 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 72.8kg. Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM5.85 juta,” katanya.
Datuk Shazeli berkata dalam kes ketiga pada 10 Mei, polis menahan seorang lelaki warga asing menyusuli penemuan dua bagasi mencurigakan yang dikesan semasa melalui mesin pengimbas di terminal KLIA.
“Pemeriksaan awal ke atas kedua-dua bagasi menjumpai 52 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 27.4kg dan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM2.2 juta,” katanya.
Beliau berkata semakan mendapati semua suspek warga asing dalam ketiga-tiga kes menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki Malaysia, dipercayai pada akhir April lalu.
“Bagi kes pertama dan kedua, suspek adalah warga Eropah, manakala suspek kes ketiga dari negara jiran kita. Dadah pula dipercayai transit di sini sebelum dipercayai dibawa ke Eropah.
“Semua suspek dipercayai dalam sindiket berasingan, keseluruhannya membawa 254 bungkus bunga ganja seberat 172.8kg bernilai RM13.85 juta dalam sembilan bagasi.
“Mereka dipercayai menerima upah sekitar EU3,000 hingga EU5,000 untuk membawa bahan terlarang itu.
“Semua suspek tiada rekod jenayah, namun saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah,” katanya.
Kes keempat pada 11 Mei pula, kata Datuk Shazeli, membabitkan lelaki tempatan yang ditahan dalam kenderaan Ford di hadapan kediaman di Ampang bersama 79 bungkusan plastik, disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 79kg dan bernilai sekitar RM3.95 juta.
“Suspek berada dalam kenderaan ketika itu. Kita percaya dia sebagai transporter dan tidak sempat untuk membuat penghantaran (dadah) itu,” katanya menambah polis percaya kes lelaki tempatan itu tiada kaitan dengan tiga kes terdahulu.
Beliau berkata jumlah keseluruhan bunga ganja dan syabu dirampas dalam empat operasi berkenaan dianggar mampu menampung 839,000 pengguna.
