KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya melancarkan serbuan mengejut ke atas sebuah pusat karaoke (KTV) mewah.

Premis yang terletak di dalam sebuah hotel di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu, diserbu pada awal pagi 15 Mei.

Pemeriksaan di tingkat satu dan lima kelab yang dikatakan ‘kebal’ daripada sebarang operasi pihak berkuasa itu, menyaksikan penahanan ratusan warga asing dengan majoriti mereka dari China dan ditemui sedang khayal dalam pesta dadah.

Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya turut menemukan dadah jenis ketamin serta kelengkapan menghisapnya, dalam setiap lapan bilik mewah KTV di tingkat lima.

Laporan Berita Harian Malaysia (BHM) menyebut bahawa bilik-bilik itu dipenuhi lelaki warga China dan Pelayan Pelanggan (GRO) asing, termasuk dari Vietnam, China, dan Thailand.

Meskipun dadah banyak ditemui, tangkapan yang dibuat terhad kepada kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen disebabkan tiadanya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahupun Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan tersebut.

JIM Putrajaya mendedahkan bahawa risikan rapi telah dijalankan ke atas premis itu sejak dua minggu lalu, berikutan maklumat mengenai kewujudan KTV ‘kebal’ di Bukit Bintang.

Kelab yang beroperasi sejak awal 2026 itu sarat dengan warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Pusat hiburan ini sukar ditembusi disebabkan dikawal ketat dari pintu masuk lobi hotel serta kawasan sekelilingnya, selain turut dipantau melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya ada cubaan sebarang serbuan atau operasi oleh pihak berkuasa.

“Justeru, pihak JIM, menempatkan pegawai dan anggota di tempat-tempat strategik sebelum serbuan dibuat pada 1 pagi 15 Mei, bagi mengelakkan sasaran melarikan diri,” katanya lapor BHM.

JIM mengesahkan bahawa ini adalah serbuan pertama yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Putrajaya ke atas lokasi berkenaan.

Risikan awal mendapati hanya warga asing dibenarkan berhibur di situ. Pihak berkuasa percaya kebanyakan mereka memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Mereka masuk ke Malaysia sebagai pelancong, penuntut institusi pengajian tinggi, malah ada yang berdaftar sebagai pembantu rumah, tetapi hakikatnya bekerja sebagai GRO.

JIM tidak menolak kemungkinan wujudnya penyalahgunaan permit, dan warga asing di premis itu disyaki merupakan ahli sindiket penipuan komersial, seperti ‘Macau Scam’.

Namun, fokus tindakan awal JIM adalah untuk menahan dan menjalankan siasatan lanjut terhadap semua warga asing terbabit.