Topic followed successfully
Go to BHkuPolis M’sia sita, beku aset sindiket pengubahan wang haram RM470j
Polis M’sia sita, beku aset sindiket pengubahan wang haram RM470j
Kes babit rangkaian kesalahan kompleks, termasuk pinjaman wang haram, manipulasi pasaran saham
Polis M’sia sita, beku aset sindiket pengubahan wang haram RM470j
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyita dan membekukan aset bernilai lebih RM470 juta ($150 juta) dalam satu kejayaan besar berhubung siasatan berterusan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang canggih, menerusi operasi dinamakan, ‘Op Viking’.
Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman berkata kes itu, yang dibuka pada Oktober 2025 hasil risikan yang dikumpul sejak 2018, membabitkan rangkaian kesalahan yang kompleks, daripada pinjaman wang haram dan manipulasi pasaran saham sehinggalah kepada pelanggaran pendedahan korporat.
Antara 15 Oktober 2025 dengan 13 Januari lalu, polis telah menahan 10 individu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan sindiket itu, terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal mafia korporat, Victor Chin Boon Loong.
Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Amla PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid, berkata siasatan mendapati kumpulan itu disyaki terbabit dalam kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, serta Akta Syarikat 2016.
Ia termasuk mengeluarkan perjanjian pinjaman yang mengelirukan, mengugut peminjam dan memanipulasi pasaran saham.
Pihak berkuasa turut membekukan aset yang terdiri daripada lapan hartanah, 32 kenderaan dan saham milik dua syarikat.
“Polis turut menyita 2.98 bilion unit saham dengan nilai pasaran RM323.6 juta, bersama akaun dagangan bernilai RM64.2 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta.
“Kami juga merampas barangan mewah termasuk kereta, motosikal, jam tangan, barang kemas, beg berjenama dan wang tunai dalam mata wang tempatan serta asing,” katanya dalam sidang media pada 31 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Datuk Fazlisyam, seramai 41 individu dirakam keterangan mereka ketika siasatan masih diteruskan.
Beliau berkata polis kekal komited untuk memburu mereka yang terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pengendalian dana haram.
“Siasatan dijalankan berdasarkan fakta dan bukti diperoleh, dengan semua tindakan diambil mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan aset atau hasil yang dikaitkan dengan kes itu, sambil menegaskan, kerjasama awam amat penting dalam membanteras jenayah kewangan.
Polis juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengelak sebarang kegiatan kewangan yang mencurigakan sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk mengekang pengubahan wang haram di negara itu.
Awal Mac 2026, media melaporkan jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing, serta dua kereta telah disita dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan Chin.
Serbuan itu sebahagian siasatan lebih meluas terhadap rangkaian “mafia korporat” yang didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan itu.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Chin, Datuk Fazlisyam berkata dia pernah ditahan bersama sembilan yang lain pada Disember 2025 kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram, sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Bagaimanapun beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula ahli perniagaan itu bagi merakam keterangannya.
Sebelum itu, Chin mendakwa membayar sejumlah RM9.5 juta kepada Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), bagi menangani tekanan yang dihadapi syarikatnya, NexG, sebagai “yuran perkhidmatan” dan bukan bertujuan menyelesaikan kemelut syarikatnya dengan agensi penguat kuasa.
Chin mendakwa beliau dan rakan niaganya berdepan ancaman serta gertakan dalam usaha pihak tertentu untuk “merampas” pegangan saham syarikat penyedia penyelesaian IT berkenaan.

