SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PKR Johor nafi dakwaan Ahli Parlimen terima RM9.5j

PKR Johor nafi dakwaan Ahli Parlimen terima RM9.5j

Tuduhan disifat tidak berasas, gesa laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Mar 27, 2026 | 1:40 PM

PKR Johor nafi dakwaan Ahli Parlimen terima RM9.5j

Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata PKR tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas terhadap kepimpinan parti.
Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata PKR tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas terhadap kepimpinan parti. - Foto FACEBOOK FUZIAH SALLEH

JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menafikan dakwaan tular yang mengaitkan Ahli Parlimennya menerima wang sejumlah RM9.5 juta ($3 juta), menyifatkan tuduhan itu palsu dan tidak berasas.

Dalam kenyataan, PRK Johor berkata dakwaan oleh ahli perniagaan bernama, Encik Victor Chin, itu hanyalah kenyataan sepihak, tanpa sebarang bukti kukuh atau pengesahan pihak berkuasa.

Tuduhan sebegitu, tegasnya, tidak seharusnya dijadikan bahan untuk meracuni persepsi awam dan mencemarkan nama baik parti dan kepimpinan.

“Dakwaan tersebut tidak disokong dengan bukti sah dan tidak wajar dijadikan naratif untuk mencemarkan reputasi mana-mana pihak,” kata kenyataan itu pada 26 Mac.

PKR Johor pada masa sama menggesa individu terbabit tampil membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika benar wujud salah laku yang didakwa.

“Hanya melalui saluran undang-undang yang sah, kebenaran dapat dibuktikan dan keadilan dapat dicapai,” katanya.

PKR Johor turut berikrar akan terus mempertahankan pimpinan parti daripada tuduhan melulu, selagi ia belum disahkan melalui proses siasatan yang telus dan berwibawa.

Namun begitu, parti itu memberi jaminan tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap sebarang bentuk rasuah atau salah guna kuasa.

“Sekiranya terdapat bukti sah dan laporan rasmi dibuat kepada SPRM, PKR Johor akan menyokong sepenuhnya usaha siasatan demi menegakkan integriti,” tambah kenyataan itu.

Pada masa sama, PKR Johor menyeru semua pihak supaya tidak menyebarkan fitnah atau spekulasi yang boleh menjejas reputasi individu dan institusi.

“Hormatilah prinsip kedaulatan undang-undang dan biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, pada 25 Mac, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, dilaporkan berkata PKR tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas terhadap kepimpinan parti.

Dakwaan tular yang mengaitkan kepimpinan parti dengan penerimaan wang serta ciri “mafia korporat” adalah serius, namun tidak disokong bukti kukuh, tambahnya.

Menurutnya, tuduhan sedemikian mudah dibuat, khususnya oleh pihak yang cuba mengalihkan perhatian daripada kesalahan sendiri.

“Sebarang dakwaan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan PKR akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang berterusan menyebarkan fitnah atau tohmahan tanpa asas yang benar.

“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana individu, sama ada dalam atau luar parti, yang terlibat dalam penyebaran dakwaan tidak berasas ini,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg