JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) bertekad menguburkan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selepas gabungan itu mengumumkan untuk bergerak secara solo.

Pengerusi PH Johor, Encik Aminolhuda Hassan, berkata perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana pihaknya pernah memenangi sehingga 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dahulu, lapor Harian Metro.

“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN, serta mentadbir negeri ini.

“Insya-Allah, dalam PRN akan datang, kita akan kuburkan mereka untuk kali kedua.

“Kita tidak mungkin menyerah kalah sebelum berjuang. Kita tidak akan mengaku kalah sebelum tumbang,” katanya, ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini pada 17 Mei.

Encik Aminolhuda, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu, turut mendakwa tindakan kerajaan negeri mewujudkan jawatan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan, sebagai kebimbangan BN hilang sokongan rakyat, khususnya di kawasan bandar.

“Ada tujuh DUN di Johor yang mempunyai lebih 100,000 pengundi, tetapi kerajaan negeri tidak berani laksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Kalau dibuat persempadanan semula, kawasan bandar akan bertambah, dan mereka tahu sokongan di kawasan itu banyak memihak kepada PH.

“Sebab itu, mereka tidak berani buat persempadanan semula,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Pada 16 Mei, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang, selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga Umno Johor.

Menurut Encik Aminolhuda, pengumuman berkenaan merupakan isyarat jelas ruang kerjasama politik di antara PH dengan BN di Johor sudah tertutup, lapor Harian Metro.

“Apabila beliau berkata nak bertanding 56 kerusi, beliau sendiri yang menentang.

“Sebelum konvensyen lagi, Naib Presiden Amanah Johor, Encik Suhaizan Kaiat, sudah melontarkan persoalan sama ada kerjasama BN-PH boleh dilaksanakan di Johor untuk pilihan raya.

“Tetapi sebelum konvensyen, mereka sudah keluarkan kenyataan begitu, maknanya beliau sendiri yang menutup pintu. Beliau sendiri isytiharkan tiada kerjasama dengan PH,” katanya.

Ditanya sama ada PH masih terbuka untuk meneruskan hubungan dengan BN di Johor, Encik Aminolhuda berkata pihaknya tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama tersebut.