Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelatih meninggal dunia akibat strok haba ketika latihan

Jun 4, 2024 | 12:18 PM
Allahyarham Lans Koperal Mohd Zulkifly Rozak rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan pada 30 Mei, sebelum disahkan meninggal dunia pada 2 Jun.
Allahyarham Lans Koperal Mohd Zulkifly Rozak rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan pada 30 Mei, sebelum disahkan meninggal dunia pada 2 Jun. - Foto FACEBOOK PASUKAN GERAKAN AM

IPOH: Seorang peserta Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (KAPGA) Siri 1/2024 di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, Perak, meninggal dunia pada 2 Jun, dipercayai akibat strok haba.

Allahyarham Lans Koperal Mohd Zulkifly Rozak, 31 tahun, dari Platun 6, Kompeni B Batalion 7 PGA, rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan itu pada 30 Mei dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 7.45 pagi, 2 Jun.

Komandan Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafiz Kadir yang mengesahkan perkara itu berkata sebelum dibawa ke HRPB, mangsa yang rebah ketika merentas desa pada 30 Mei telah dibawa terlebih dahulu ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan di Kinta, Perak, menaiki ambulans.

“Ketika dibawa mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terus dirujuk ke HRPB, mangsa kemudian ditidurkan pada sebelah malam ketika di HRPB.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudian disahkan meninggal dunia pada 2 Jun, serta punca kematian Allahyarham Mohd Zulkifly disahkan oleh doktor akibat strok haba dan kegagalan organ,” katanya lapor Astro Awani.

Encik Mohammad Hafiz berkata Allahyarham Mohd Zulkifly yang sudah berkahwin, bersama 251 peserta yang lain melapor diri bagi menjalani kursus asas PGA bermula 28 April dan dijangka tamat pada 26 Julai.

Jenazah kemudian dibawa pulang ke Kuala Terengganu, Terengganu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin UniSZA, Kuala Terengganu.

Sebelum ini pada 22 April, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang disahkan meninggal dunia akibat strok haba selepas 44 hari koma sejak 9 Mac, ketika menjalani latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dua lagi kematian akibat strok haba turut direkodkan pada Februari dan April, melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan dan seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun di Pahang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg