Kes murid masuk hospital akibat didenda berjemur, kementerian ambil tindakan
Kes murid masuk hospital akibat didenda berjemur, kementerian ambil tindakan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab dalam kes murid Darjah 5 yang diserang strok haba selepas didenda seorang guru agar berdiri di bawah sinaran matahari.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata KPM tidak bertolak ansur dengan sebarang salah laku yang boleh menjejas kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah.
“Perkara ini dalam pengawasan rapi kami. Kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa.
“KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejas kesejahteraan dan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah.
“Justeru, pihak sekolah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan pengurusan pelajar semasa yang berkuat kuasa,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 29 Mei, ibu kanak-kanak itu, Cik AD Mogahana Selvi, 35 tahun, dilaporkan berkata Hospital Ampang, Selangor, sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat masalah kesihatan yang dialami.
Difahamkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba kesan berjemur selama tiga jam di tengah padang di bawah terik cahaya matahari.
Cik Mogahana juga mengatakan anaknya itu tidak lagi berkelakuan seperti biasa dan banyak menyorok dan bercakap seorang diri.
“Terus terang saya sakit hati melihat keadaan anak tidak seperti biasa lagi. Dulu dia kerap bermain dengan abang dan adiknya, sekarang dia banyak menyorok dan bercakap sendiri.
“Pihak hospital juga memaklumkan kepada saya bahawa anak sudah tidak boleh belajar di sekolah biasa akibat masalah kesihatan yang dialaminya dan minta saya hantarnya ke sekolah khas selepas ini,” ujar Cik Mogahana, lapor Harian Metro.
Susulan masalah kesihatan yang dialaminya itu, keluarga berkenaan akan memfailkan saman sivil.
Dalam satu laporan pada 27 Mei, kanak-kanak itu dikatakan telah dibawa ke hospital selepas dipaksa berdiri di bawah sinar matahari dari 10 pagi hingga 12.50 tengah hari pada 30 April.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Mohd Azam Ismail, berkata pihaknya sudah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

