SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pelan tenaga nuklear Malaysia sedang disemak

Pelan tenaga nuklear Malaysia sedang disemak

Mar 28, 2026 | 3:08 PM

Pelan tenaga nuklear Malaysia sedang disemak

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah tersebut merupakan usaha strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang sambil menyokong peralihan negara ke arah tenaga bersih.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah tersebut merupakan usaha strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang sambil menyokong peralihan negara ke arah tenaga bersih. - Foto fail

PUTRAJAYA: MyPOWER Corporation Malaysia sedang menilai potensi program tenaga nuklear negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penilaian ini merangkumi pembangunan dasar, rangka kerja perundangan dan kawal selia, kesesuaian projek, penyertaan industri, penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan kepakaran.

Beliau berkata penerokaan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik ialah usaha strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang serta menyokong peralihan negara ke arah tenaga bersih.

“Keperluan untuk menilai kesesuaian tenaga nuklear semakin penting dalam persekitaran tenaga dunia yang berubah, dipengaruhi oleh ketidaktentuan politik sejagat serta turun naik bekalan dan harga bahan api,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Mac, menurut Bernama.

MyPOWER, sebuah agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), telah dilantik sebagai Pertubuhan Pelaksana Program Tenaga Nuklear (Nepio).

Agensi itu menyelaras persiapan berasaskan pendekatan berfasa yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Datuk Seri Fadillah berkata ketegangan politik sejagat, khususnya di Timur Tengah, serta gangguan laluan tenaga utama seperti Selat Hormuz menjejaskan pasaran tenaga dan kemantapan bekalan.

“Dalam konteks ini, tenaga nuklear menyediakan bekalan asas stabil, rendah karbon serta mengurangkan keperluan untuk bergantung pada bahan api fosil,” katanya.

Beliau menambah beberapa negara Asean juga sedang menilai semula tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian mereka.

Filipina menyasarkan keupayaan tenaga nuklear sehingga 4,800 megawatt (MW) menjelang 2050, manakala Vietnam telah memperkenalkan semula tenaga nuklear dalam pelan tenaga nasionalnya.

Indonesia pula sedang meneroka reaktor modular kecil, termasuk reaktor terapung, dengan sasaran sekitar tahun 2030.

Datuk Seri menegaskan keutamaan Malaysia ialah memastikan sebarang pembangunan tenaga nuklear masa depan dikaji teliti melalui penilaian teknikal menyeluruh serta selaras dengan keutamaan negara dan kewajipan antarabangsa.

Pendekatan ini, katanya, mencerminkan visi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan mampan berteraskan ilmu demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg