SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pelajar maut dilanggar kereta guru di sekolah Kelantan

Pelajar maut dilanggar kereta guru di sekolah Kelantan

Guru dipercayai tersalah tekan pedal minyak secara tidak sengaja, menyebabkan kenderaan rempuh dua pelajar
Apr 13, 2026 | 2:25 PM

Pelajar maut dilanggar kereta guru di sekolah Kelantan

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang guru di hadapan surau sekolah di Kota Bharu, Kelantan, pada 12 April.

Guru wanita berusia 57 tahun itu dipercayai tersalah tekan pedal minyak secara tidak sengaja, menyebabkan kenderaannya merempuh dua pelajar tersebut.

Insiden ini menyebabkan guru itu ditahan reman dua hari, bermula 13 April, bagi membantu siasatan lanjut. Perintah reman dikeluarkan Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah, lapor Harian Metro.

Media Malaysia melaporkan pada 12 April, bahawa mangsa maut ialah seorang pelajar Tingkatan Satu, manakala seorang lagi parah, selepas dirempuh kenderaan guru di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Penolong Pesuruhjaya Mohd Azmir Damiri, menjelaskan siasatan awal mendapati pemandu wanita itu dipercayai tertekan pedal minyak, menyebabkan kereta terbabas lalu melanggar dua pelajar.

Tragedi itu meragut nyawa Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Seorang lagi mangsa cedera parah dan kini dirawat di hospital.

“Siasatan awal mendapati, pemandu kereta yang berada di kawasan sekolah, tersilap tekan pedal minyak, lalu terbabas sehingga melanggar dua pelajar dan tiang batu.

“Mangsa ketika itu sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau. Akibat rempuhan itu, seorang parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” jelasnya.

Dalam nada reda, Encik Mohd Azaudin Abdullah, 43 tahun, bapa kepada Allahyarhamha Nur Fatimatul Hawa, memaafkan guru berkenaan dan menganggapnya ketentuan Ilahi.

“Sebagai seorang bapa, saya memaafkan guru tersebut. Saya reda dengan takdir yang menimpa anak dan keluarga kami.

“Malah, ketika di lokasi kejadian, saya melihat jasad anak kaku dan bertanya siapa yang melanggarnya. Guru itu mengaku.

“Namun, saya tidak berkata apa-apa, apatah lagi memarahi. Saya hanya berdiam diri dan menyerahkan segala urusan kepada polis untuk siasatan lanjut,” luah bapa mangsa.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg