KUALA TERENGGANU: “Saya nampak mayat di atas jalan raya tetapi tidak menyangka itu anak saya,” kata Encik Mazli Yusoh, 51 tahun, bapa kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarhamha Syakirah Hanan, 25 tahun.
Mangsa terbabit dalam kemalangan ngeri di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, tengah hari 5 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Mazli berkata ketika kejadian, beliau dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusan di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan sempat melihat mayat yang dipayungi di atas jalan raya ketika melalui kawasan lokasi, namun tidak menyangka mayat yang sudah diselimuti kain putih itu adalah anaknya.
Menurutnya, beliau menyedari mayat terbujur kaku itu anaknya selepas menerima panggilan daripada pegawai JPJ memaklumkan kenderaan yang didaftarkan atas namanya terbabit kemalangan.
“Ketika itu, saya berada di Kampung Tapu, Kuala Berang dan segera berpatah balik selepas menerima panggilan daripada pegawai JPJ sebelum tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada malam hari kejadian.
Encik Mazli yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut, berkata ketika kejadian, beliau percaya anak kedua daripada tujuh beradik itu dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk urusan praktikal (latihan mengajar) pada Mac nanti.
Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, arwah anak ada memberitahu bahawa beliau akan ke Perpustakaan Awam Negeri Terengganu sebelum ke JPNT.
“Malam tadi beliau menghubungi saya memberitahu perkara itu.
“Pagi tadi saya kebetulan ada urusan di Kuala Terengganu dan sempat bertemu arwah ketika singgah di rumah saya di Kampung Kuala Bekah yang kini diduduki arwah,” katanya yang tinggal di Jertih, Besut.
Katanya, beliau reda menerima kejadian yang menimpa anaknya itu sebagai takdir yang sudah ditentukan.
beliau mengakui pemergian wanita itu sangat mengejutkan, apatah lagi arwah seorang anak yang baik dan sangat rapat dengannya.
“Beliau sangat rapat dan manja dengan saya dan apa sahaja perkara sama ada berkaitan, pengajiannya atau urusan kerja, beliau akan mengadu kepada saya.
“Walau perit dan sedih sekalipun, sebagai orang Islam, kita perlu terima takdir yang sudah ditentukan.
“Semua orang akan mati, cuma cara kematiannya sahaja berbeza.
“Beliau pergi dalam keadaan itu (kemalangan) dan sudah tentu kematian sebegitu ianya mati syahid,” katanya.
Encik Mazli turut terkilan apabila hasrat anaknya untuk mengikuti jejaknya menjadi pendidik tidak kesampaian.
Katanya, arwah sangat meminati dunia pendidikan selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir sebelum menyambung pengajian di UniSZA pada April 2025.
Menurut Encik Mazli, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Bekah pada 11 malam 5 Januari.
Dalam pada itu, Encik Mazli berkata beliau menerima permohonan maaf daripada keluarga pemandu Honda Jazz yang terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa anak perempuannya.
Encik Mazli dikunjungi keluarga berkenaan ketika menunggu bedah siasat arwah anaknya di perkarangan Jabatan Forensik HSNZ.
“Ya, mereka datang meminta maaf atas kejadian yang berlaku.
“Saya maafkan mereka, lagi pun mereka tak bersalah.
“Dalam Islam kita wajib memaafkan kalau orang datang minta maaf.
“Apa yang berlaku ini semuanya sudah suratan takdir. Allah telah menetapkan. Itu dari segi hukum.
“Undang-undang dunia kita kena ikut juga... undang-undang dunia seperti kecuaian manusia dan sebagainya tetapi itu cerita lain lah... tetapi dari segi hukum kita terima sebab sampai masa kita akan mati,” katanya.
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil pada 1.38 petang 5 Januari, kereta Perodua Viva dipandu Allahyarhamha Syakirah Hanan yang juga penuntut UniSZA dilanggar sebuah Honda Jazz dipandu seorang lelaki yang datang daripada arah bertentangan ketika arwah membelok ke kanan jalan sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
Lelaki 32 tahun dari Kampung Bukit Cempaka, Tepoh, Kuala Nerus di sini, dikatakan dalam perjalanan daripada Jalan Kemajuan untuk pulang ke kampungnya.
Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tersepit dalam keretanya yang remuk.
Difahamkan, lelaki terbabit cedera parah termasuk patah tangan kiri serta leher dan masih dirawat di HSNZ.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg