Topic followed successfully
Go to BHkuM’sia tiada risiko alami ‘bankrap’ air
M’sia tiada risiko alami ‘bankrap’ air
Masih punya sumber air mentah tetapi hadapi cabaran pengurusan sumber air secara bersepadu
M’sia tiada risiko alami ‘bankrap’ air
KUCHING: Malaysia tidak berada dalam kategori negara yang berisiko mengalami ‘bankrap’ air seperti mana yang dibimbangkan dunia, kerana negara ini masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, bagaimanapun, berkata cabaran sebenar yang perlu ditangani adalah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara.
Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), berkata Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun, sekali gus menunjukkan Malaysia tidak berdepan kekurangan sumber air secara fizikal.
“Cabaran utama negara bukanlah kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik, bagi menjamin bekalan, daya tahan serta kelestarian bekalan air jangka panjang,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau mengulas saranan pakar mutu air dan permodelan mutu air yang menyarankan supaya kerajaan melalui Petra, merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi ‘kebankrapan air dunia’.
Dr Zaki Zainudin dilaporkan sebagai berkata istilah bankrap air bukan sekadar merujuk kepada kekurangan sumber air semata-mata, sebaliknya turut membabitkan aspek mutu air yang semakin terjejas akibat pencemaran.
Media Malaysia turut melaporkan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki era ‘kebankrapan air sejagat’.
Mengulas lanjut, Datuk Fadillah berkata antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan penyimpanan air secara pelbagai, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai serta kekurangan penyepaduan antara pelbagai sumber air gantian, seperti air bawah tanah, takungan air secara dalam jajaran dan pinggiran sungai, air kitar semula, sistem penuaian air hujan dan penyahgaraman.
“Secara umumnya, simpanan aktif empangan mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari atau tiga bulan.
“Pada masa yang sama, kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih berada pada tahap sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang,” katanya lagi.
Kehilangan air terawat itu, katanya, dianggarkan mencecah hampir RM2 bilion ($646.9 juta) setahun dari segi potensi hasil.
“Jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus sahaja, negara boleh menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari air tambahan tanpa perlu membina loji rawatan air baharu.
“Permintaan air negara pula dijangka terus meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030, berdasarkan kapasiti reka bentuk loji rawatan air, sekali gus memerlukan perancangan sumber baharu secara lebih strategik,” katanya.
Malaysia mempunyai 2,986 lembangan sungai, yang mana sekitar 30 peratus lembangan sungai utama negara dikenal pasti berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius, akibat pelepasan industri dan aktiviti guna tanah tidak terkawal, yang boleh menjejas operasi loji rawatan air.
Menurutnya, ketika ini kadar tarif air sedia ada bagi sesetengah operator air hanya mencukupi untuk menampung kos semasa.

