Topic followed successfully
Go to BHkuMenteri Kesihatan M’sia tarik balik saman fitnah terhadap Najib
Menteri Kesihatan M’sia tarik balik saman fitnah terhadap Najib
Saman berkaitan hantaran Najib di media sosial pada 2021 mendakwa amal nepotisme
Menteri Kesihatan M’sia tarik balik saman fitnah terhadap Najib
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menarik balik saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak.
Saman itu berkaitan dakwaan nepotisme susulan pelantikan anak perempuan Dr Dzulkefly ke sebuah badan amanah berkaitan kerajaan.
Dr Dzulkefly berkata penyelesaian dicapai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib, selepas Encik Najib bersetuju untuk segera memuat naik kenyataan yang dibacakan di mahkamah ke Facebook miliknya, selain menurunkan hantaran lama yang berkaitan.
Menurut Dr Dzulkefly, Encik Najib menjelaskan, beliau mengambil maklum aduan di mahkamah bahawa hantaran bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, Cik Nurul Iman Dzulkefly.
Encik Najib juga menjelaskan, Dr Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan tersebut dan tiada unsur nepotisme di pihak Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
“Ini sekali gus memperjelaskan bahawa dakwaan nepotisme terhadap saya adalah tidak berasas.
“Dengan persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak, pihak saya telah bersetuju untuk memberhentikan saman sivil fitnah tersebut dan seterusnya menganggap perkara ini selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutama Hakim Mahazan atas kerjasama menyelesaikan perkara itu secara baik dan penuh penghormatan di Mahkamah Tinggi.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan peguam saya, ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan moral sepanjang proses undang-undang ini berlangsung.
“Tidak dilupa, sekalung penghargaan kepada rakan-rakan media atas liputan yang adil dan profesional yang diberikan kepada kes ini dari awal sehingga tamat,” katanya.
Dr Dzulkefly, 70 tahun, memfailkan saman terhadap Encik Najib pada 31 Disember 2021, mendakwa hantaran fitnah itu diterbitkan dengan niat memalukan dirinya, selain bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasi beliau.
Pada 7 April lalu, Dr Dzulkefly memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak tahu mengenai pelantikan anak sulungnya itu dalam dua syarikat yang didakwa berlaku sebelum dan selepas pelantikannya sebagai menteri.
Beliau berkata Cik Nurul Iman dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif AIM Solutions Group Bhd (AIM Solutions) pada 30 April 2018, iaitu sebelum pelantikannya sebagai menteri pada Julai tahun sama.
Sementara itu, pelantikan selaku ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berlaku pada Oktober 2018, iaitu selepas beliau memegang jawatan menteri.
“
“Ini sekali gus memperjelaskan bahawa dakwaan nepotisme terhadap saya adalah tidak berasas. Dengan persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak, pihak saya telah bersetuju untuk memberhentikan saman sivil fitnah tersebut dan seterusnya menganggap perkara ini selesai.”
