SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peguam nafi Najib hantar permohonan pengampunan baru

Peguam nafi Najib hantar permohonan pengampunan baru

Mar 27, 2026 | 1:34 PM

Peguam nafi Najib hantar permohonan pengampunan baru

najib razak, 1mdb
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau pasti dimaklumkan sekiranya ada permohonan dibuat oleh Encik Najib Tun Razak. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menafikan laporan bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, mengemukakan permohonan pengampunan baru.

Tan Sri Shafee berkata tiada sebarang permohonan sedemikian difailkan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, sambil menambah beliau pasti dimaklumkan sekiranya ada permohonan dibuat.

“Saya akan menjadi orang pertama yang tahu, selain Najib, jika sebarang permohonan dikemukakan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang mendakwa Encik Najib, yang akan berusia 73 tahun pada 2026 ini, sudah menghantar permohonan pengampunan baru pada Ramadan lalu dengan salinan sudah dihantar ke Istana Negara.

Laporan itu turut mendakwa Encik Najib memohon untuk dibebaskan daripada semua kesalahan jenayah, namun tidak menyatakan sama ada permohonan itu membabitkan kes SRC International Sdn Bhd atau 1Malaysia Development Berhad (1MDB), atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman, serta mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Pada 22 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke menolak permohonan semakan kehakiman Encik Najib untuk menguatkuasakan perintah tambahan diraja yang akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Kini, Encik Najib menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada enam tahun di Penjara Kajang, Selangor, selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta ($13.5 juta) daripada SRC International.

Pada 26 Disember, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM13.4 bilion terhadap Encik Najib atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Datuk Sequerah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan dengan hukuman penjara sedia ada Encik Najib bagi kes penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.

Selepas dijatuhi hukuman itu, Encik Najib menerusi peguamnya, Tan Sri Shafee, dilapor memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkait kes 1MDB itu.

Tan Sri Shafee berkata pasukan pembelaan, menantikan peluang untuk berhujah mengenai apa yang disifatkannya sebagai kesilapan-kesilapan yang dilakukan dalam kes tersebut.

Peguam kanan itu berkata kes tersebut menyaksikan kali pertama dalam sejarah beliau selama puluhan tahun menjadi peguam bela berdepan situasi kalah dalam setiap hujah yang dikemukakan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg