PUTRAJAYA: Bekalan diesel sebanyak 200 juta liter yang dilaporkan dalam perjalanan ke Australia disahkan bukan milik Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan perkara itu disahkan oleh Pusat Arahan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), menafikan laporan agensi berita dari Australia mengenai penghantaran bekalan dari beberapa negara termasuk Malaysia.

“Semakan mengesahkan bahawa itu bukan diesel Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, bekalan diesel itu adalah sebahagian daripada kontrak dagangan antara Australia dan syarikat petroleum antarabangsa, British Petroleum (BP).

Kapal pengangkut akan bertolak dari perairan Malaysia, tempat BP menyimpan bekalan.

Pejabat Perdana Menteri turut memperjelas, diesel itu milik syarikat antarabangsa yang membeli dan menyimpannya di Malaysia, dan kini dijual ke Australia melalui kontrak antara Viva Energy dan BP Australia.

“Ia disebut ‘dari Malaysia’ sebab kapal itu ambil minyak yang disimpan di Malaysia. Diesel itu bukan dari perut bumi Malaysia. Kerajaan dan Petronas tidak menjual minyak dan diesel kita,” kata kenyataan itu.

Petronas sebelum ini juga menafikan penglibatan dalam cadangan pembekalan bahan api ke Filipina.