Topik diikuti
Pergi ke BHkuLembaga kemajuan Johor Tenggara perkuat strategi masa depan dengan S’pura
Lembaga kemajuan Johor Tenggara perkuat strategi masa depan dengan S’pura
Lembaga kemajuan Johor Tenggara perkuat strategi masa depan dengan S’pura
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) giat memperkukuh strategi pembangunan masa depan, menjalin kerjasama dengan Singapura.
Langkah ini selaras dengan inisiatif Kejora 2.0 yang menekankan pendekatan menyeluruh dan berpandangan jauh.
Pengurus Besarnya, Encik Mohd Gadaffie Abd Aziz, menjelaskan lawatan ke agensi utama republik itu bertujuan menimba amalan terbaik dalam perancangan bandar, pembangunan industri dan membuat keputusan strategik jangka panjang.
Antara agensi yang dikunjungi termasuk Pusat Masa Depan Strategik (CSF), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan JTC Corporation, yang terkenal dengan perancangan bersepadu dan berdisiplin.
“Lawatan ini bukan sekadar melihat projek yang dilaksanakan di Singapura, tetapi memahami cara mereka berfikir, merancang dan membuat keputusan untuk jangka panjang.
“Kita mahu membawa pulang pendekatan yang sesuai untuk diaplikasikan dalam konteks pembangunan Johor Tenggara,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Usaha ini seiring dengan keperluan menilai semula peranan Kejora dalam landskap pembangunan negara yang berubah, terutamanya dengan kadar urbanisasi mencecah 70 peratus dan terus meningkat.
Perubahan ini menuntut Kejora beralih daripada pembangunan luar bandar semata-mata kepada model yang lebih relevan dan berdaya tahan untuk masa depan.
“Jika kita kekal dengan pendekatan lama, peranan kita mungkin tidak lagi diperlukan.
“Sebab itu Kejora 2.0 diperkenalkan bagi memastikan kita kekal relevan untuk 50 hingga 100 tahun akan datang,” tegasnya.
Encik Mohd Gadaffie menggariskan empat tunjang utama Kejora 2.0: institusi pemikir, pemegang amanah tanah, manusia dan masa depan, pembina ekosistem, serta platform kerjasama strategik.
Sebagai pemegang amanah, setiap keputusan harus mengambil kira kesan jangka panjang kepada generasi mendatang, bukan sekadar manfaat segera.
Untuk memastikan ketelusan, konsistensi dan impak tinggi, Kejora memperkenalkan ‘tujuh gerbang nilai’ sebagai asas penilaian setiap projek dan program.
Selain itu, Kejora giat mencari potensi kerjasama rentas sempadan, terutamanya dalam tenaga bersih seperti ladang solar, dan pertanian moden termasuk pertanian dalam bangunan.
“Singapura menawarkan kepakaran dan teknologi, manakala kita memiliki tanah dan sumber. Gabungan ini membuka ruang kolaborasi yang saling menguntungkan,” jelasnya.
Kejora juga meneroka sektor pelancongan baharu, merangkumi agropelancongan dan pelancongan industri sebagai pemangkin ekonomi tempatan.
Pendekatan pembinaan ekosistem menjamin setiap projek bukan sahaja dibangunkan, malah disokong sepenuhnya dari segi pemasaran, pengurusan, dan rangkaian agar kekal berdaya tahan.
“Kami mahu menjadi jambatan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara bersepadu.
“Matlamat utama adalah pembangunan yang membawa manfaat berterusan kepada rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
