Delegasi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) menimba ilmu pembangunan pintar apabila mengadakan lawatan strategik ke JTC Corporation di Daerah Digital Punggol, Singapura, yang menjadi contoh daerah pintar bersepadu berasaskan teknologi dan ekonomi digital.

Lawatan yang diketuai Pengurus Besar Kejora, Encik Mohd Gadaffie Abd Aziz, memberi pendedahan langsung kepada model pembangunan yang menggabungkan perancangan guna tanah, strategi industri serta pembinaan ekosistem dalam satu pendekatan menyeluruh.

Menurut beliau, pendekatan yang dilaksanakan JTC bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah melibatkan penyepaduan industri, teknologi, bakat dan penyelidikan dalam satu rantaian nilai yang saling melengkapi.

“Model ini memberi gambaran jelas bagaimana ekosistem ekonomi boleh dibangunkan secara menyeluruh untuk menjana inovasi berterusan dan nilai jangka panjang kepada pembangunan wilayah,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 April.

Sepanjang lawatan, delegasi turut diberi taklimat oleh Penolong Ketua Pegawai Eksekutif JTC, Encik David Tan, mengenai pendekatan pembangunan daerah pintar yang menekankan kelestarian serta kesiapsiagaan masa hadapan.

Pengalaman tersebut, menurutnya, amat penting dalam usaha Kejora memperkukuh peranan sebagai agensi pembangunan wilayah yang lebih strategik dan berimpak tinggi, khususnya dalam merangka pembangunan berasaskan ekosistem serta penyepaduan antara industri dan institusi pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kejora turut mengadakan lawatan ke syarikat teknologi pertanian, Archisen Pte Ltd di Hyundai Motor Group Innovation Center Singapore di Jurong West, bagi meneliti model pertanian bandar berteknologi tinggi.

Lawatan itu memberi pendedahan kepada penggunaan automasi, sains tanaman serta sistem pintar dalam meningkatkan kecekapan dan mutu pengeluaran makanan, termasuk melalui kaedah pertanian menegak dalam persekitaran terkawal.

Encik Mohd Gadaffie berkata pendekatan tersebut menunjukkan bagaimana ruang terhad di kawasan bandar boleh dimanfaatkan secara optimum untuk menghasilkan sumber makanan secara mampan.

“Pendekatan ini bukan sahaja relevan dalam konteks keterjaminan makanan, malah membuka peluang kepada pemindahan teknologi serta kerjasama strategik antara Malaysia dengan Singapura dalam bidang agroteknologi,” katanya.

Beliau menambah Kejora optimis ilmu dan amalan terbaik yang diperoleh mampu dijadikan rujukan dalam membangunkan ekosistem agromakanan yang lebih moden, berdaya saing dan mampan di wilayah Johor Tenggara.

Tambahnya, komitmen meneroka inovasi dan teknologi baharu akan terus diperkasa bagi memastikan sektor pertanian kekal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi wilayah, di samping menjamin kelestarian dan keselamatan makanan untuk masa hadapan.