SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS kemuka pelan 15 perkara kepada Iran untuk tamatkan perang

AS kemuka pelan 15 perkara kepada Iran untuk tamatkan perang

Pelan damai dihantar melalui Pakistan sebagai pengantara utama antara Washington dengan Teheran
Mar 25, 2026 | 1:04 PM

AS kemuka pelan 15 perkara kepada Iran untuk tamatkan perang

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, perang dengan Iran, Teheran, pelan penyelesaian 15 perkara
Orang ramai meninjau kesan kemusnahan susulan bedilan peluru berpandu Iran di kawasan tengah Israel pada 24 Mac 2026, ketika konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran terus memuncak, di tengah usaha Washington mengemukakan pelan 15 perkara bagi menamatkan perang di Timur Tengah. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington semakin hampir mencapai kemajuan dalam usaha menamatkan perang dengan Iran, termasuk memperoleh satu konsesi penting daripada Teheran, di tengah-tengah laporan bahawa Amerika telah mengemukakan pelan penyelesaian 15 perkara.

Dua sumber dipetik sebagai berkata cadangan itu telah dihantar kepada Iran melalui Pakistan yang menawarkan diri sebagai pengantara.

Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Encik Trump berkata pihaknya kini berhubung dengan “pihak yang tepat” di Iran bagi menamatkan konflik tersebut, sambil mendakwa Teheran menunjukkan kesediaan tinggi untuk mencapai perjanjian.

“Kami sedang berunding sekarang,” katanya.

Saluran televisyen Israel, Channel 12, pula melaporkan Amerika dan Iran dijangka mengisytiharkan gencatan senjata selama sebulan, tempoh yang akan digunakan untuk rundingan berasaskan cadangan berkenaan.

Cadangan itu antara lain menggesa Iran menghentikan semua kegiatan pengayaan uranium di negara itu dan menyerahkan bahan uranium yang sudah diperkaya.

Pelan itu dilaporkan merangkumi pembubaran program nuklear Iran, penamatan sokongan kepada kumpulan proksi, serta pembukaan semula Selat Hormuz.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan pelan tersebut telah diserahkan kepada Iran, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Iran turut dilaporkan akan menerima bantuan bagi membangunkan tenaga nuklear awam di Bushehr, sebuah lokasi penting yang didakwa Teheran diserang Israel, pada 24 Mac.

Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan berkenaan.

Encik Trump turut mendakwa Iran telah memberikan konsesi penting berkaitan tenaga bukan nuklear dan laluan strategik Selat Hormuz, walaupun beliau tidak menghuraikannya secara terperinci.

“Ia satu konsesi besar, bernilai sangat tinggi,” kata Encik Trump.

Presiden Trump berkata beliau optimistik usaha diplomasi dengan Iran dapat diteruskan.

Amerika bersama Israel telah melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang bermula dengan pembunuhan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Laporan CBS News memetik pegawai Kementerian Luar Iran yang hanya mengesahkan mereka menerima “beberapa cadangan” melalui perantara untuk diteliti, tanpa mengesahkan sebarang rundingan langsung dengan Washington.

Bagaimanapun, kedudukan Israel dalam pelan tersebut masih menjadi tanda tanya.

Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Danny Danon, menegaskan, beliau “tidak mengetahui” tentang sebarang penglibatan Israel dalam rundingan antara Amerika dengan Iran setakat ini.

Pelan yang dilaporkan itu juga tidak menyebut mengenai usaha menukar pemerintah Iran, walaupun negara itu sebelum ini bertindak tegas mengekang protes besar-besaran beberapa minggu lalu yang telah mengorbankan ribuan orang.

Dalam usaha diplomatik, Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, menyatakan kesediaan negaranya untuk menjadi tuan rumah rundingan antara Amerika dengan Iran.

“Kami bersedia menjadi tuan rumah rundingan bermakna dan muktamad bagi penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Konflik bermula pada 28 Februari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, dengan alasan kegagalan mencapai kemajuan mencukupi dalam rundingan berkaitan program nuklear Teheran.

Sejak itu, Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu yang semakin berkesan menembusi pertahanan Israel, dengan beberapa kawasan di Tel Aviv mengalami kemusnahan.

Walaupun terdapat isyarat rundingan, serangan ketenteraan antara pihak-pihak terlibat masih berterusan.

Sumber memaklumkan Washington dijangka menghantar ribuan anggota Divisyen Payung Terjun ke-82 ke Asia Barat sebagai langkah memperkukuh kehadiran ketenteraan.

Pada 24 Mac, lebih sedozen individu dilaporkan cedera di Israel, termasuk seorang bayi.

Israel pula menegaskan operasi ketenteraannya akan diteruskan.

Jurucakap tentera Israel, Encik Effie Defrin, berkata pelan perang negaranya “tidak berubah” dan akan terus memperhebat serangan bagi menghapuskan ancaman.

Dalam masa sama, Israel meningkatkan operasi terhadap kumpulan Hezbollah di Lebanon termasuk melancarkan serangan udara dan mengarahkan pemindahan penduduk di selatan Beirut.

Serangan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,072 orang di Lebanon dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Negara Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi turut melaporkan mereka telah berjaya memintas serangan dron dan peluru berpandu Iran yang berterusan.

Harga minyak global pula menunjukkan turun naik ketara, dengan minyak mentah Brent kembali melepasi paras AS$100 (S$127) setong selepas sebelum ini susut menyusuli isyarat rundingan. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg