Gelombang kedua pemecatan dan penggantungan keahlian ‘besar-besaran’ pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak awal Mei lalu, dilihat bukan sekadar isu disiplin dalaman parti.

Penganalisis, sebaliknya, mencerminkannya sebagai perebutan penakatan politik, yang berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), kian menghampiri.

Pandangan itu tambah berasas kerana pemimpin Bersatu dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai komponen utama dalam PN, dilihat kian cenderung berbalas kenyataan termasuk berbentuk sindiran keras, yang menyerlahkan ‘ketidaksefahaman’ dalam blok gabungan itu.

Pemerhati turut berpandangan kemelut itu bukan sahaja boleh menjejas keyakinan rakyat, khususnya pengundi Melayu terhadap Bersatu, malah membuka ruang kepada parti lawan termasuk blok kerajaan untuk memperkukuh naratif kestabilan politik, ketika Pakatan Harapan (PH) dan Umno yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan, turut bergelut dengan isu dalaman dan serangan politik.

Pemerhati politik, yang juga Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan.
Pemerhati politik, yang juga Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan. - Foto ARIFF AIZUDDIN AZLAN

HADAPI KRISIS DISIPLIN, PENAKATAN POLITIK

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, berkata apa yang berlaku dalam Bersatu ketika ini jelas menunjukkan parti itu sedang berdepan dua krisis, iaitu disiplin dan penakatan politik.

Bagaimanapun, katanya, polemik berkaitan penakatan politik dilihat lebih besar kerana ia turut memberi implikasi terhadap kedudukan dan kestabilan PN secara keseluruhan.

“Apa yang dilakukan oleh Lembaga Disiplin Bersatu (memecat dan menggantung keahlian pemimpin) jelas menunjukkan terdapat ketidaksepaduan dan ketidaksatuan dalam kalangan ahli parti itu.

“Terdapat segelintir ahli yang cuba membentuk sistem sokongan sendiri dengan membelakangkan parti,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Tindakan memecat dan menggantung keahlian kian ramai pemimpin Bersatu itu menyusul beberapa bulan selepas Ahli Parlimen (AP) Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden Bersatu pada 13 Februari.

Ia sekali gus menguatkan spekulasi mengenai usaha penyusunan semula kuasa dalam parti berkenaan.

Sejak 8 Mei, sekurang-kurangnya enam AP digantung keahlian selama dua penggal, manakala tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipecat parti.

Antara pemimpin kanan Bersatu yang digantung ialah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (AP Tanah Merah); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Khalib Abdullah (Rompin); Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh); dan Encik Muhammad Islahuddin Abas (Mersing).

Tiga Adun yang dipecat pula ialah Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Kok Lanas), Encik Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang), dan Encik Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti).

Awal sebelum ini, Bersatu telah memecat Datuk Wan Saiful Wan Jan (AP Tasik Gelugor); dan Datuk Saifuddin Abdullah (AP Indera Mahkota), pada Oktober 2025 dan Januari 2026.

Tindakan itu dikatakan berkait akuan bersumpah yang didakwa untuk menaikkan Datuk Hamzah sebagai Presiden parti, serta kelantangan mengkritik Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara terbuka.

AP lain yang turut dikenakan tindakan penggantungan lebih awal ialah Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah); Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal (Machang); dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), antara Oktober 2025 dengan Mac lalu.

Sebahagian besar pemimpin itu adalah penyokong Datuk Hamzah.

BOLEH LEMAHKAN BERSATU, PAS NILAI SEMULA KEDUDUKAN

Dr Ariff Aizuddin berkata jika krisis dalaman itu gagal dibendung, ia bukan sahaja semakin melemahkan Bersatu, malah boleh menyebabkan PAS menilai semula kedudukannya dalam gabungan pembangkang itu.

Perkembangan itu tidak mustahil berdasarkan beberapa kenyataan dan kritikan terbuka pemimpin PAS berhubung pergolakan dalaman Bersatu, termasuk cadangan PAS supaya Bersatu mempertimbangkan kedudukannya dalam PN.

“Jika krisis ini berpanjangan, tidak mustahil PAS akan mempertimbangkan untuk memperbaiki hubungan dengan Umno,” kata Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar itu.

Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub. - Foto FACEBOOK MOHAMMAD TAWFIK YAAKUB

PENGARUHI KEYAKINAN RAKYAT

Pandangan sama turut dikongsi penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, yang melihat konflik dalaman Bersatu sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan rakyat terutama penyokong dan pengundi terhadap PN.

Menurutnya, rakyat semakin muak dengan perebutan dan perbalahan dalam kalangan pemimpin politik yang pernah mentadbir negara sebelum ini.

“Rakyat melihat tingkah laku pemimpin politik dan mereka muak dengan perebutan serta perbalahan dalam kalangan pemimpin.

“Ini menjadi ‘peluru’ percuma kepada PH dan Umno untuk meningkatkan sokongan mereka sendiri serta memperhebatkan serangan politik terhadap PN,” katanya, yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik UM.

Dr Mohammad Tawfik berkata kemelut dalaman itu juga berpotensi menjejas prestasi PN pada pilihan raya akan datang sekiranya berlaku sabotaj politik atau pertandingan lebih daripada dua penjuru membabitkan bekas pemimpin Bersatu.

Menurutnya, senario sedemikian pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini apabila pemimpin yang tidak berpuas hati memilih untuk bergerak secara bebas atau menyokong pihak lawan.

“Situasi ini boleh memecahkan undi dan melemahkan peluang PN dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Bagaimanapun, di sebalik kemelut yang berlaku, kedua-dua penganalisis berpandangan langkah ‘pembersihan dalaman’ yang sedang berlaku juga berpotensi mengukuhkan semula Bersatu dalam jangka panjang.

LANGKAH ‘BERSIHKAN’ BERSATU

Dr Ariff Aizuddin berkata tindakan pemecatan dan penggantungan itu dilihat sebagai usaha Bersatu untuk membersihkan parti daripada kelompok tertentu yang dianggap boleh menjejas imej dan kestabilan parti.

“Apa yang dilakukan oleh Bersatu adalah cubaan membersihkan parti daripada segelintir pihak yang dilihat boleh merosakkan imej parti dan membawa Bersatu ke arah kemerosotan,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, mengakui pengaruh Datuk Hamzah masih belum sepenuhnya hilang, walaupun tidak lagi berada dalam parti.

“Walaupun beliau sudah dipecat, dari sudut sokongan, beliau masih dianggap relevan kerana masih mempunyai sokongan dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya.

Dr Mohammad Tawfik pula melihat proses yang berlaku ketika ini sebagai usaha penyusunan semula kekuatan dalaman parti terutama bagi kem Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilihat serasi dan sehaluan dengan Tan Sri Muhyiddin, bagi memastikan hanya satu kem dominan kekal dalam Bersatu.

“Saya juga melihat perkara ini sebagai proses pembersihan dalam Bersatu.

“Pemimpin yang kuat akan kekal, manakala yang tewas akan tersingkir.

“Dalam politik, tiada kawan atau lawan yang kekal, yang kekal ialah kepentingan,” katanya.

Beliau berpandangan kekuatan kem Datuk Mohamed Azmin dalam Bersatu mungkin berganda, berikutan wakil rakyat yang digantung tidak lagi mampu berbuat apa-apa dan semestinya tidak berpeluang bertanding mempertahankan kerusi pada pilihan raya akan datang, melainkan dipecat parti.

Beliau berkata walaupun proses ‘pembersihan’ tersebut meninggalkan ‘kecederaan dalaman’, ia mungkin membantu mengukuhkan semula Bersatu selepas semua pertikaian dalaman diselesaikan.

Menurutnya, keadaan sedemikian bukan sesuatu yang asing dalam politik dan hampir semua parti politik pernah melalui fasa perbalahan dalaman sebelum kembali stabil.

Beliau juga melihat dalam kemelut ini, pihak yang meraih keuntungan politik ialah Datuk Mohamed Azmin, yang berjaya menyingkirkan kem Datuk Hamzah dalam barisan kepimpinan parti, selain PH dan Umno.

“Saya setuju penakatan kem Datuk Mohamed Azmin telah dicapai dan Tan Sri Muhyiddin juga semakin lega kerana ‘api dalam sekam’ telah dipadam.

“Kem Datuk Azmin juga telah berjaya menyingkirkan kem Datuk Hamzah dalam barisan kepimpinan parti.

“PH pula mendapat bonus kerana ada ‘peluru’ percuma untuk ‘menembak’ musuh politik, sementara Umno mungkin lega kerana pesaing politik melemah ketika Umno sedang merawat ‘luka’ dan memulihkan parti,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mohammad Tawfik turut mengingatkan parti lawan supaya tidak mengambil mudah keadaan Bersatu ketika ini, kerana parti itu masih berpotensi bangkit semula selepas proses penyusunan semula selesai.

“Memang tidak dinafikan terdapat kecederaan akibat perbalahan dalaman, namun tidak mustahil Bersatu boleh menjadi lebih kuat selepas proses ‘pembersihan’ ini selesai,” katanya.