Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bergolak, dengan kian ramai pemimpin termasuk wakil rakyat dipecat dan digantung keahlian sejak 8 hingga 11 Mei.

Dalam perkembangan terbaharu setakat ini, sekurangnya-kurangnya sembilan wakil rakyat termasuk enam Ahli Parlimen (AP), digantung keahlian selama dua penggal berkuat kuasa 8 Mei lalu.

Manakala tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipecat, sebagaimana diumumkan Lembaga Disiplin Bersatu sejak 8 Mei.

Tiga Adun yang dipecat setakat ini ialah Adun Kok Lanas (Kelantan), yang juga Timbalan Speaker Dewan, Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Dua lagi ialah wakil rakyat dari Kedah, iaitu Adun Sungai Tiang merangkap Timbalan Speaker DUN Kedah; Encik Abdul Razak Khamis, dan Adun Suka Menanti, yang juga Ketua Bersatu bahagian Alor Setar, Encik Dzowahir Ab Ghani.

Sementara itu, enam AP yang digantung keahlian selama dua penggal pula termasuk dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, iaitu AP Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; dan AP Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Selain itu, turut terjejas ialah Datuk Khalib Abdullah (Rompin); Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh); dan AP Mersing, Encik Muhammad Islahuddin Abas.

Tiga lagi wakil rakyat yang digantung ialah Adun Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain, yang juga Ketua Armada Bahagian Padang Rengas, Perak; Adun Kuala Sepetang, Encik Ahmad Man; dan Adun Bukit Bunga, Encik Mohd Almidi Jaafar.   

Pemecatan dan penggantungan keahlian pemimpin terbabit dimaklumkan menerusi notis tindakan disiplin yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan wakil rakyat terbabit, mereka tidak akan merayu keputusan penggantungan itu, sambil menyatakan kekecewaan terhadap asas perjuangan Bersatu yang dilihat semakin tersasar.

Menurut notis itu, Lembaga Disiplin memutuskan tindakan pemecatan dan penggantungan keahlian atas tindakan pemimpin terbabit melanggar Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Difahamkan, semua wakil rakyat dan pemimpin parti yang dipecat dan digantung diketahui cenderung menyokong mantan Timbalan Presiden Bersatu, yang dipecat pada 13 Februari lalu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Datuk Mohamed Farid, dalam satu hantaran di Facebook pada 11 Mei, menyifatkan pemecatannya itu sebagai nikmat kebebasan daripada sebuah parti yang didakwanya telah tersasar daripada perjuangan asal.

Beliau mendakwa Bersatu kini menghalalkan hubungan sesama jenis, meruntuhkan silaturahim sesama Muslim serta secara terbuka mengangkat pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah.

“Saya akan terus berjuang atas prinsip amar makruf nahi mungkar, mengangkat agama Islam di Kelantan dan Malaysia, memartabatkan bangsa Melayu serta mengharumkan nama negara,” katanya.

Beliau turut memohon doa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan bersama rakan-rakan sealiran, termasuk bersama Datuk Hamzah.

Datuk Abdul Khalib pula dipetik media Malaysia sebagai berkata keputusan penggantungan keahlian beliau daripada Bersatu, tidak mengejutkannya kerana perkembangan itu sudah dijangka lebih awal.

“Saya melihat terdapat kumpulan tertentu cuba menguasai parti dan hanya memberi gambaran positif kepada Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Mungkin saya dilihat lebih condong kepada Datuk Hamzah kerana (saya) yakin dengan perjuangannya,” katanya mengulas punca penggantungan beliau.

Sebelum ini, selain Datuk Hamzah, beberapa pemimpin terkenal dalam Bersatu turut dipecat, antaranya AP Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; AP Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan AP Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal.