Topic followed successfully
Go to BHkuKedai emas JB jadi tumpuan pelabur Dubai
Kedai emas JB jadi tumpuan pelabur Dubai
Pasaran Singapura dorong pertumbuhan dengan membentuk 50% pelanggan
Kedai emas JB jadi tumpuan pelabur Dubai
Kedai Emas Syamsul sedang dalam peringkat perbincangan perniagaan dengan syarikat Emirates Gold, dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), bagi kerjasama menjadi pengedar rasmi emas yang diunjurkan bernilai sehingga RM100 juta ($32 juta) dalam tempoh lima tahun.
Pemiliknya, Datuk Seri Syamsul Omar, berkata pasaran Singapura memainkan peranan penting dalam pertumbuhan perniagaan kedainya dengan hampir 50 peratus pelanggan datang dari negara ini.
“Perbincangan ini masih di peringkat perniagaan ke perniagaan dan belum dimuktamadkan. Nilai RM100 juta itu adalah unjuran kasar bagi tempoh lima tahun, bukan pelaburan terus kepada syarikat kami.
“Berdasarkan data pelanggan, kira-kira 45 hingga 50 peratus pelanggan kami adalah dari Singapura. Ini menunjukkan pasaran rentas sempadan sangat signifikan,” katanya kepada pemberita pada 29 Mac.
Beliau berkata walaupun harga emas sejagat adalah seragam, faktor persepsi harga dan variasi reka bentuk menjadi tarikan utama kepada pelanggan dari republik itu.
“Ramai pelanggan Singapura melihat harga di Malaysia lebih menarik, selain reka bentuk emas yang lebih besar dan pelbagai pilihan,” katanya.
Menurutnya, permintaan daripada pelanggan luar negara termasuk Singapura terus meningkat dari semasa ke semasa, sekali gus mengukuhkan kedudukan perniagaan tempatan dalam pasaran serantau.
“Walaupun harga emas meningkat, ia tidak menjejaskan permintaan. Malah kita melihat pertambahan pelanggan baharu secara konsisten,” katanya.
Menurutnya, syarikatnya kini berada dalam kelompok tiga syarikat tempatan yang sedang dinilai untuk menjadi pengedar rasmi di Malaysia, berdasarkan keupayaan pengurusan dan rekod perniagaan.
“Setakat ini, ketiga-tiga syarikat dalam senarai tersebut adalah syarikat tempatan dan kita masih dalam proses penilaian sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Datuk Syamsul berkata jika kerjasama itu berjaya dimeterai, syarikatnya berpotensi mengembangkan operasi dengan pembukaan sehingga 50 cawangan dalam tempoh lima tahun, bergantung kepada prestasi dan permintaan pasaran.
“Perancangan 50 cawangan itu adalah unjuran daripada pihak mereka (Emirates Gold).
“Namun, kita realistik dan jika dapat capai 50 hingga 60 peratus daripada sasaran itu pun sudah memadai,” katanya.
Beliau berkata ketika ini syarikatnya hanya mempunyai satu cawangan, namun rancangan pengembangan sedang dirangka berdasarkan perkembangan semasa perniagaan.
Mengulas mengenai pasaran emas, beliau berkata harga emas ketika ini bersifat turun naik berikutan faktor sejagat termasuk perubahan tumpuan pelabur terhadap komoditi lain seperti minyak.
“Emas biasanya akan meningkat apabila berlaku ketidaktentuan global.
“Namun ketika ini, tumpuan pelabur beralih kepada komoditi lain menyebabkan harga emas turun sementara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin harga emas akan kembali meningkat dalam jangka panjang dan berpotensi mencecah antara RM800 dengan RM900 segram menjelang akhir tahun.
“Dalam industri, kita jangkakan harga emas akan meningkat semula. Penurunan sekarang tidak bermakna ia akan terus jatuh,” katanya.

