SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kanak-kanak jatuh dari tingkat 2: AP gesa percepat ganti jeriji flat kos rendah di Johor Bahru

Kanak-kanak jatuh dari tingkat 2: AP gesa percepat ganti jeriji flat kos rendah di Johor Bahru

Susulan insiden di Projek Perumahan Rakyat Desa Mutiara di Johor Bahru
Mar 25, 2026 | 2:54 PM

Kanak-kanak jatuh dari tingkat 2: AP gesa percepat ganti jeriji flat kos rendah di Johor Bahru

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Johor Bahru, gesa ganti jeriji, kanak-kanak jatuh
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kanan), memeriksa jeriji besi yang dipasang di PPR Desa Mutiara. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah Wee Tse, menggesa kerja penggantian jeriji penghadang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara dipercepat menyusuli kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan tersebut.

Beliau berkata kejadian itu bukan perkara kecil kerana melibatkan aspek keselamatan dan nyawa penduduk.

“Saya memandang serius insiden ini. Ia bukan sekadar isu kecil, tetapi melibatkan keselamatan penghuni khususnya kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Mac.

Encik Puah berkata beliau telah melawat mangsa di Unit Jagaan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta menyampaikan sumbangan kepada keluarganya sebagai tanda simpati.

Menurut Encik Puah, beliau juga bersedia menyediakan bantuan guaman kepada keluarga mangsa bagi membantu menguruskan perkara berkaitan dari sudut perundangan.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik keputusan kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta ($969,792) bagi menggantikan semua jeriji pengadang di setiap blok rumah kos rendah PPR Desa Mutiara yang melibatkan kira-kira 2,000 unit.

Namun, beliau menegaskan kerja tersebut perlu dimulakan segera dan disiapkan dalam tempoh 30 hari.

“Kita tidak mahu tunggu satu lagi tragedi berlaku hanya kerana kelewatan tindakan,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan pemeriksaan keselamatan dan penyelenggaraan dilakukan secara berkala, bukan hanya selepas berlakunya sesuatu kejadian.

“Pengumuman peruntukan sahaja tidak memadai jika pelaksanaan lambat dan pemantauan lemah,” katanya.

Encik Puah berkata keselamatan rakyat, khususnya kanak-kanak, tidak boleh dikompromi dan beliau akan terus memantau perkembangan isu tersebut sehingga tindakan sebenar dilaksanakan di lapangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata beliau telah turun padang meninjau sendiri keadaan di lokasi tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian itu.

Menurutnya, lawatan itu penting bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera demi keselamatan penduduk.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius agar setiap kemudahan yang disediakan benar-benar selamat untuk digunakan oleh penghuni,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, kerja penggantian pengadang tangga di Blok 2 telah dilaksanakan pada Julai 2023 dan siap sepenuhnya pada September tahun sama dengan mengekalkan reka bentuk asal bangunan itu.

Namun, hasil pemerhatian di lokasi mendapati terdapat beberapa pengadang tangga berhampiran yang rosak selain terdapat komponen struktur yang hilang.

Menurutnya, laporan badan pengurusan menunjukkan kejadian pada 22 Mac itu dipercayai berpunca daripada kegiatan vandalisme serta tindakan kanak-kanak yang bermain dan menolak struktur pengadang itu dengan kuat.

Dalam masa sama, beliau berkata faktor reka bentuk asal yang tidak disokong dengan pemasangan pendakap serta pasak dinding (wall plug) tambahan turut dikenal pasti sebagai antara punca kelemahan struktur.

Sehubungan itu, badan pengurusan telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan kerja pembaikan melalui pemasangan pendakap jenis ‘L’ serta pasak dinding besi jenis lebih kukuh bagi mengukuhkan struktur pengadang tangga.

Datuk Mohd Jafni berkata pemeriksaan menyeluruh juga akan dijalankan di semua blok bagi mengenal pasti sebarang keperluan penambahbaikan lain.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg