SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Johor tingkat bekalan air, penyaluran di empangan dipergiat

Johor tingkat bekalan air, penyaluran di empangan dipergiat

Langkah diambil sebagai antara inisiatif penting tangani kesan kemarau, pastikan paras takungan kekal stabil
Apr 1, 2026 | 2:21 PM

Johor tingkat bekalan air, penyaluran di empangan dipergiat

Empangan Seluyut, Kota Tinggi, kemarau
Langkah penyaluran air mentah dari Empangan Seluyut di Kota Tinggi ini ke Empangan Upper Layang dilaksana sebagai antara inisiatif penting bagi menangani kesan kemarau serta memastikan paras takungan kekal stabil. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Kerajaan Johor mempergiat usaha memperkukuh bekalan air negeri menerusi penyaluran air mentah dari Empangan Seluyut ke Empangan Upper Layang, selain memastikan projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) berjalan lancar mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah penyaluran air tersebut dilaksanakan sebagai antara inisiatif penting bagi menangani kesan kemarau serta memastikan paras takungan kekal stabil.

Menurut beliau, usaha itu dipantau secara rapi oleh Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) bersama agensi berkaitan, termasuk kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan penyaluran air ke loji rawatan dapat diselaraskan mengikut keperluan semasa.

“Langkah penyaluran air mentah ini penting untuk memastikan paras takungan Empangan Layang kekal pada tahap normal, khususnya selepas cabaran kemarau yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada 31 Mac.

Beliau menjelaskan Sungai Sedili Besar mempunyai kapasiti pengeluaran air sehingga 866 juta liter sehari (MLD), dengan kira-kira 560 MLD digunakan untuk keperluan sedia ada termasuk Empangan Seluyut.

“Daripada jumlah itu, masih terdapat baki kapasiti sekitar 278 MLD yang boleh dimanfaatkan bagi keperluan tambahan,” katanya.

Menurut beliau, Syarikat Air Johor (Ranhill SAJ) memerlukan tambahan bekalan air mentah sebanyak 60 MLD dari Empangan Seluyut bagi menyokong keperluan Empangan Upper Layang.

“Dalam masa sama, Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2 Fasa 1 kini telah bersedia untuk beroperasi, manakala Fasa 2 dijangka mula beroperasi menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata dengan peningkatan kapasiti tersebut, penyaluran air ke Empangan Upper Layang dijangka dapat dipertingkatkan daripada sekitar 260 MLD kepada 300 MLD dalam operasi biasa.

“Pada waktu tertentu, kapasiti ini boleh mencecah sehingga 320 MLD mengikut keperluan,” katanya.

Encik Mohamad Fazli berkata usaha itu penting bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi untuk kegunaan domestik dan sektor industri.

“Saya yakin inisiatif ini akan memperkukuh ketahanan sistem bekalan air negeri serta memastikan rakyat terus mendapat bekalan yang mencukupi dan mampan walaupun berdepan cabaran cuaca dan perubahan iklim,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata satu mesyuarat penyelarasan turut diadakan bagi menilai kemajuan semasa projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

“Alhamdulillah, kemajuan fizikal projek ketika ini berada pada tahap yang baik dan terkawal, dengan pelaksanaan kerja dipantau secara tekal bagi memastikan ia mematuhi jadual yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan di tapak melibatkan pelbagai kerja utama termasuk kerja tanah, rawatan geoteknikal, pembinaan jambatan serta pemasangan sistem saliran.

“Pengurusan trafik juga dilaksanakan secara teratur bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.

Beliau menambah projek tersebut dijangka memberi impak positif kepada jaringan perhubungan negeri, khususnya dalam meningkatkan kapasiti laluan ke kawasan Desaru.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg