Kerajaan Johor sedang melaksanakan perancangan menyeluruh melibatkan pembinaan beberapa loji rawatan air (LRA) baru bagi memastikan bekalan air terawat negeri itu kekal mencukupi seiring peningkatan permintaan pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata purata penggunaan air terawat di Johor pada 2025 mencatatkan 2,034 juta liter sehari (JLH), meningkat sebanyak 36 JLH atau 1.65 peratus berbanding purata 2,001 JLH pada 2024.
Menurut beliau, unjuran penggunaan air terawat dijangka terus meningkat kepada 2,700 JLH menjelang 2030, 3,000 JLH pada 2035 dan 3,300 JLH menjelang 2040.
Namun, kapasiti reka bentuk maksimum LRA sedia ada di seluruh negeri Johor ketika ini hanya sekitar 2,352 JLH, sekali gus tidak mencukupi untuk menampung permintaan baru tanpa perancangan rapi.
“Sekiranya tiada langkah proaktif diambil, Johor berdepan risiko kekurangan bekalan air terawat pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Januari.
Beliau menjelaskan, dua projek pembinaan LRA kini sedang dilaksanakan, iaitu LRA Pakej Plant Semangar dengan kapasiti 50 JLH serta LRA Layang 2 Tahap 2 berkapasiti 160 JLH, yang masing-masing dijangka siap pada 2026 dan 2028.
Selain itu, dua lagi projek LRA iaitu Kayu Ara Pasong dan Semangar 3 kini berada dalam peringkat reka bentuk, dengan pembinaan fizikal dijangka bermula pada 2027 dan 2028.
“Apabila kedua-dua loji ini siap menjelang 2030, Johor akan memperoleh tambahan kapasiti sebanyak 178 JLH bagi menampung peningkatan permintaan air terawat,” katanya.
Encik Fazli turut memaklumkan satu lagi projek utama iaitu pembinaan LRA Sedili Besar yang dijadualkan dilaksanakan pada 2029, dengan keupayaan menghasilkan sehingga 600 JLH air terawat. Projek ini akan dimulakan sebaik sahaja kajian kebolehlaksanaan sumber air Sedili Besar dimuktamadkan.
Keseluruhan perancangan pembangunan LRA ini melibatkan kos dianggarkan RM3.9 bilion ($1.2 bilion) dan dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang bagi menjamin keterjaminan bekalan air untuk rakyat dan pembangunan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Fazli berkata kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM2.9 juta bagi menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu Kampung Semeriot dan Kampung Gelam di daerah Muar.
Daripada jumlah itu, RM2.4 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek menaik taraf Sungai Semeriot, dengan kerja-kerja awal dijangka dimulakan pada 2027 dan tempoh pelaksanaan selama dua hingga tiga tahun bagi memastikan penyelesaian yang lebih mampan.
Selain itu, RM500,000 turut diperuntukkan bagi menjalankan kajian menyeluruh Skim Sungai Semeriot yang melibatkan kawasan muara sungai serta beberapa kampung lain termasuk Kampung Paya Redan dan kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong.
Beliau berkata lawatan tapak yang melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, JPS Daerah Muar, penghulu serta ketua kampung telah dilaksanakan bagi memastikan perancangan dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan keperluan penduduk setempat.
“Usaha ini diharap menjadi titik permulaan kepada penyelesaian jangka panjang demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg